KUCHING, 4 Okt – Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Darat Australia (TDA) akan menjalani Eksesais HARINGGAROO Siri 74/2024 mulai 17 hingga 31 Oktober ini.
Sel Perhubungan Raya Markas 1 Divisyen Infantri Malaysia (1 Div) memaklumkan, latihan bilateral yang akan dilaksanakan oleh Briged Kesembilan Infantri Malaysia (9 Bgd) itu melibatkan kawasan am Sibu.
“Batalion Ketiga Rejimen Renjer Diraja (TDM) dan Rifle Company Butterworth (TDA) akan merupakan pelaku eksesais ini,
“Eksesais akan dilaksanakan di kawasan am Sibu-Stapang-Nanga Sekuau,” jelas pihak 1 Div dalam kenyataan pada Jumaat.
Sehubungan itu, pengguna jalan raya, pemilik kawasan ladang, kebun dan penduduk setempat dinasihatkan tidak melakukan sebarang aktiviti pemburuan binatang atau aktiviti lain di kawasan latihan untuk bagi menjamin keselamatan latihan yang dilaksanakan.
Sementara itu, Panglima 9 Briged Infantri Malaysia, Briged Jeneral Ahmad Norzaini Badrun berkata, objektif utama latihan adalah bagi mengeratkan lagi hubungan silaturrahim di antara TDM dan TDA dalam memperkasakan latihan bersama.
Beliau juga menasihatkan warga tempatan dan penduduk kampung di kawasan sekitar latihan dimohon untuk memberi kerjasama yang baik kepada pasukan tentera yang sedang berlatih. -airtimes.my
#TDM #TDA #Malaysia #australia #eksesais #airtimes #pertahanan
