PORT DICKSON, 5 OKT – Duta Palestin di Malaysia telah kemukakan permohonan maaf berhubung insiden kekecohan yang berlaku di Wisma Transit.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman.
Menurut beliau, kesemua 127 warga Palestin termasuk 41 pesakit yang cedera tiba pada 16 Ogos lepas telah menerima rawatan sepenuhnya.
“..dan ingin saya tegaskan di sini, ianya merupakan 1 kes yang terpencil dan akan ditangani dengan profesional dan juga empati..” katanya.
Menurutnya lagi, mereka telah menginap di hospital terlalu lama sehingga tidak mempunyai peluang untuk keluar dan disebabkan mereka datang dari Gaza (wilayah yang dilanda perang), ia menyumbang kepada tekanan emosi mereka.
“Namun, saya ingin maklumkan bahawa kita mengadakan program ataupun aktiviti-aktiviti mereka ini untuk keluar. Bukan sahaja kita letakkan mereka di transit dan tidak keluar langsung,
Sebenarnya ada tetapi kita kawal, disebabkan faktor utama yang membuatkan kita mengambil keputusan tersebut adalah atas faktor keselamatan,” katanya lagi dalam sidang media di Sambutan Angkatan Tentera ke-91.
Mohammad menjelaskan lagi, mereka akan terus memberikan sokongan dan bantuan kepada mangsa dan melihat apakah langkah seterusnya untuk mereka laksanakan setelah mangsa-mangsa itu sihat sepenuhnya.
Terdahulu, pada 4 Ogos, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Malaysia memutuskan untuk membawa orang awam Palestin yang cedera untuk mendapatkan rawatan di Malaysia.
Pada 16 Ogos lalu, dua pesawat Airbus A-400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerbangkan 127 orang awam Palestin yang cedera dari Mesir ke Pangkalan Udara TUDM Subang. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Pertahanan #palestin
