KUALA LUMPUR, 9 OKT – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mempersoalkan sambutan luar biasa yang diberikan kepada 2 buah kapal tentera laut China yang berlabuh di Pulau Pinang pada 5 Oktober lalu.
Pengerusi Biro Antarabangsa BERSATU, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menyuarakan kebimbangan mengenai tindakan kerajaan yang kelihatan berbeza berbanding dengan protokol biasa.
Menurut Saifuddin, Malaysia sememangnya pernah membenarkan kapal-kapal tentera laut asing berlabuh di beberapa pelabuhan di negara ini, khususnya untuk mendapatkan bekalan makanan dan keperluan lain.
Pegawai serta anggota kapal-kapal ini juga diberi keizinan mendarat dengan prosedur biasa seperti cap pasport.
“Terdapat peraturan atau protokol antarabangsa yang biasanya digunakan oleh semua negara, termasuk Malaysia, apabila kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berlabuh di pelabuhan negara asing,” katanya dalam kenyataan, pada Rabu.
Beliau turut menjelaskan, kapal-kapal dari negara yang Malaysia mempunyai perjanjian pertahanan seperti Five Power Defence Arrangements (FPDA) melibatkan Singapura, Australia, New Zealand dan United Kingdom, sering berlabuh ketika latihan ketenteraan.
Kapal tentera laut China juga pernah berlabuh di Malaysia sebelum ini, namun peristiwa terkini menimbulkan tanda tanya.
“Adakah Kementerian Luar Negeri dirujuk terlebih dahulu? Adakah ini keputusan Kementerian Pertahanan? Mengapa mereka diberikan sambutan yang begitu hangat dan meriah?
“Mengapa mereka dizinkan melawat ke sekolah? Mengapa sekolah itu dipilih?” ujarnya lagi.
Bekas Menteri Luar Negeri itu juga mengingatkan kerajaan agar lebih peka terhadap sensitiviti rakyat, terutama ketika isu pencerobohan aset-aset China di perairan Malaysia, terutamanya di kawasan Sabah dan Sarawak.
Beliau turut merujuk kepada insiden melibatkan syarikat minyak Petronas yang menerima protes dari China berkaitan operasi di Kasawari.
“Kemasukan warga China yang sebahagiannya tidak dapat dikesan juga belum mendapat penyelesaian tuntas daripada kerajaan. Ini berkait rapat dengan keselamatan, kedaulatan, dan jati diri kita,” tegasnya.
Sehubungan itu, Saifuddin menggesa Kementerian Pertahanan (MINDEF), kerajaan negeri Pulau Pinang, serta Kementerian Pendidikan Malaysia untuk memberikan penjelasan segera berhubung isu ini demi kepentingan keselamatan dan kedaulatan negara.

Kapal Tentera Laut China dengan 1,800 jurulatih tentera laut berlabuh di dermaga Swettenham Pulau Pinang.
Sementara itu, media tempatan memetik kenyataan berkata, kunjungan silaturahim itu dibuat mengikut saluran rasmi dan Pegawai Residen Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Pulau Pinang turut hadir dalam kunjungan tersebut.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai dilaporkan berkata, beberapa pemimpin kerajaan negeri dan orang kenamaan turut diundang sebagai tetamu dalam kunjungan tersebut.
“Kunjungan pelatih-pelatih dari Naval University of China ke Sekolah Menengah Chung Ling (Persendirian) adalah atas hubungan pelajar dengan pelajar selain penganjuran aktiviti sukan dan kebudayaan. Kunjungan tersebut diuruskan oleh Pejabat Konsulat General China di Pulau Pinang,
“Oleh demikian, saya mohon orang ramai tidak membuat sebarang andaian tidak betul yang boleh mengganggu-gugat masyarakat,” seperti dilapor Sinar Harian.
Terdahulu, Kerajaan Pulau Pinang mengumumkan kedatangan 1,000 pelatih tentera laut China ke negeri ini untuk kunjungan silaturahim.
Pasukan tugas ke-83 Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) itu menaiki 2 buah kapal iaitu Kapal Latihan Qi Jiguang dan Kapal JinggangShan dari Zhanjiang, China.
Kedatangan mereka disambut oleh beberapa pergawai TLDM Pulau Pinang dan beberapa orang kenamaan termasuk pemimpin negeri.
Pelatih-pelatih itu dibawa melawat beberapa tempat menarik di negeri ini selain berkesempatan berinteraksi dengan penduduk tempatan ketika sesi lawatan tersebut.-airtimes.my
#semasa #China #lawatan #Malaysia #airtimes
