Home SemasaJohor kembali cuti hujung minggu Sabtu, Ahad mulai Januari 2025

Johor kembali cuti hujung minggu Sabtu, Ahad mulai Januari 2025

by Nurulhuda
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 7 Okt – Cuti hujung minggu di negeri Johor akan ditukar semula kepada hari Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025.

Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah demikian selepas mendapat perkenan dan restu Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim serta pandangan daripada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

“Saya ingin mengumumkan bahawa mulai 1 Januari 2025, cuti hujung minggu di negeri Johor akan ditukar kepada hari Sabtu dan Ahad,” titah baginda dalam hantaran di media sosialnya, hari ini.

Baginda turut menitahkan agar Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Mufti Negeri Johor mengadakan perbincangan serta meneliti perkara ini dari setiap sudut dan aspek.

Tunku Mahkota Ismail turut berharap agar semua syarikat-syarikat swasta, pihak kerajaan serta pihak yang berkaitan akan memberi ruang dan masa yang mencukupi untuk para pekerja Muslim menunaikan Solat Jumaat pada waktunya.

Kenyataan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail di laman Facebook baginda, hari ini.

Sejak 1 Januari 2014, Sultan Ibrahim telah menetapkan cuti hujung minggu negeri Johor pada hari Jumaat dan Sabtu sebagai penghormatan kepada hari Jumaat, selaku penghulu segala hari, serta untuk mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi negeri.

Perubahan itu mengembalikan semula amalan cuti Jumaat-Sabtu yang telah dilaksanakan Johor sejak sekian lama, ketika ia merupakan sebuah Negeri Melayu Tidak Bersekutu.

Johor hanya mengubah cuti hujung minggunya kepada Sabtu dan Ahad pada tahun 1994 semasa pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Besar.-airtimes.my

#Johor #airtimes #malaysia #hujungminggu #DaulatTuanku

Related Articles

Leave a Reply