JOHOR BAHRU, 24 SEPT – Malaysia dan Indonesia menegaskan komitmen memperkukuh kawalan keselamatan di Selat Melaka menerusi Operasi Patroli Terkoordinasi (PATKOR OPTIMA) MALINDO 2025.
Operasi siri ke-32 itu, digerakkan dari 10 September hingga 23 September, menyaksikan penglibatan agensi penguat kuasa maritim kedua-dua negara di bawah penyelarasan Coordinated Operations Control Committee (COCC) MALINDO.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim, Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, operasi kali ini berjaya mencapai objektif utama membanteras jenayah rentas sempadan.
“Sebanyak 2,641 pemeriksaan dijalankan, manakala 27 tangkapan dan rampasan dibuat melibatkan kesalahan di bawah Akta Perikanan, Akta Imigresen 1959/63, Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, serta Akta Penagih dan Penyalahgunaan Dadah dan Bahan 1983,” katanya dalam satu hantaran di akaun media sosial rasmi Maritim Malaysia, hari ini.
Susulan itu, Malaysia telah menggerakkan 46 aset laut dan udara, manakala Indonesia menyumbang lima aset bagi memperkukuh rondaan sepanjang perairan strategik Selat Melaka.
Sementara itu, Markas Operasi Bersepadu turut diwujudkan di Pusat Latihan Pasukan Polis Marin (PULAMAR), Johor Bahru dengan penglibatan 22 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi.
Majlis penutup di Johor Bahru, disertai Ketua Tim Perancang Operasi Maritim (TPOM) Indonesia, Laksamana Pertama Bakamla Ivan Gatot Prijanto bersama pegawai kanan kedua-dua negara.
Kejayaan operasi ini menzahirkan kesungguhan Malaysia dan Indonesia dalam memastikan Selat Melaka kekal selamat sebagai laluan perdagangan antarabangsa yang kritikal. – airtimes.my
#Airtimes #Maritim #Pertahanan #Johor #Indonesia #Malaysia



