Home DiskusiAskar Wataniah: Aset simpanan strategik dalam kesiapsiagaan pertahanan Malaysia

Askar Wataniah: Aset simpanan strategik dalam kesiapsiagaan pertahanan Malaysia

by Aqilah Azman
A+A-
Reset

Berbicara mengenai pertahanan negara, semestinya digambarkan sebuah sektor yang kukuh terdiri dari kekuatan utama Anggota Tentera Malaysia (ATM) yang menjadi benteng hadapan keselamatan tanah air. Namun, keutuhan sesuatu operasi ketenteraan, tidak hanya bergantung kepada anggota tetap, sebaliknya turut diperkukuh dengan penyertaan pasukan simpanan. Dalam konteks ini, Askar Wataniah (AW) muncul sebagai komponen penting yang menjadi nadi tambahan kepada kesiapsiagaan pertahanan negara.

Meskipun pasukan ini kurang menonjol dalam liputan umum, ia berperanan besar sebagai barisan kedua yang mampu diatur gerak pada bila-bila masa. AW terdiri daripada rakyat Malaysia yang menyertai secara sukarela, sama ada melalui program Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) di universiti, Pasukan Latihan Askar Simpanan (PLAS) ketika pengajian, mahupun dalam kalangan penjawat awam dan sektor swasta.

Penyertaan mereka mencerminkan konsep pertahanan menyeluruh yang melibatkan rakyat dalam memastikan kedaulatan negara terjamin.

Wataniah sebagai “backup force

Walaupun berfungsi sebagai pasukan sokongan, AW sebenarnya memainkan peranan yang luas sebagai “backup force” dalam menghadapi ancaman atau risiko yang tidak dijangka. Ini menjelaskan bahawa, Kehadiran mereka melengkapkan struktur pertahanan negara yang bukan hanya digalas oleh anggota tetap, tetapi turut melibatkan orang awam yang bersedia untuk digerakkan bila diperlukan.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Mejar Jeneral Datuk Ya’cob Samiran, menegaskan bahawa tugasan ketenteraan tidak hanya menjadi tanggungjawab angkatan tetap. Menurut beliau, masyarakat awam juga mempunyai peranan penting dalam menyumbang kekuatan.

“Askar Wataniah dapat mempersiapkan diri jadi orang, anak-anak muda inilah yang sepatutnya kita bentuk dan selari dengan pertahanan menyeluruh, iaitu sistem pertahanan yang kita aplikasikan dalam tentera,” katanya ketika sesi pendaftaran pelatih Pusat Khidmat Latihan Negara (PLKN) 3.0 Siri 3/2025 baru-baru ini.

Keterlibatan ini jelas menunjukkan bahawa masyarakat dalam menyertai pasukan simpanan bukan sekadar simbolik, tetapi sebuah keperluan strategik. Ia membolehkan anak muda menjadi pelapis dan membina jati diri, disiplin, serta semangat patriotik yang menjadi aset penting kepada negara.

Menyokong operasi ketenteraan

Keterbatasan jumlah anggota tetap ATM menjadi faktor utama kepentingan AW. Dalam konflik berskala besar atau darurat yang memerlukan penglibatan lebih ramai anggota, pasukan simpanan mampu mengisi kelompongan tersebut. Mereka bukan sahaja menambah bilangan keanggotaan, malah turut menyokong operasi di lokasi berbeza secara serentak.

Selain itu, peranan AW tidak terbatas kepada operasi tempur semata-mata. Kehadiran mereka amat penting dalam bidang sokongan seperti logistik, kejuruteraan, komunikasi, dan perubatan. Bidang-bidang ini sering menjadi penentu kepada kelancaran dan kejayaan sesuatu operasi. Dengan kepelbagaian latar belakang anggota yang datang dari sektor awam dan swasta, AW membawa kepakaran tambahan yang tidak dimiliki sepenuhnya oleh anggota tetap.

Datuk Ya’cob turut menekankan bahawa, setiap anggota simpanan diberikan latihan asas ketenteraan agar mereka dapat melaksanan tugas dengan berkesan. Latihan ini juga memberi pendedahan kepada masyarakat untuk merasai pengalaman berkhidmat, sekali gus meningkatkan kesiapsiagaan kolektif negara.

“Pelatih-pelatih akan diberikan pendedahan itu dalam salah satu modul sebelum menamatkan latihan di kem PLKN ini,” tambahnya.

Menurutnya, AW ini adalah pasukan pelapis – pelapis kepada angkatan tetap dan melalui PLKN 3.0 itu juga menyediakan pelatih-pelatih ini untuk menjadi barisan pertahanan kedua, bahkan memupuk minat mereka untuk menjadi sebahagian anggota simpanan.

“Dalam siri yang lepas pun terdapat 148 yang telah menyertai Askar Wataniah dan 40 orang telah pun menjadikan angkatan tetap,” jelasnya.

Kepentingan dalam konteks ancaman keselamatan moden

Dunia hari ini menyaksikan landskap ancaman keselamatan yang lebih kompleks. Negara bukan sahaja berdepan risiko pencerobohan bersenjata, tetapi juga ancaman asimetrik seperti keganasan, serangan siber dan bencana alam. Kesemua cabaran ini menuntut tindakan pantas dan keberkesanan tinggi daripada pasukan keselamatan.

Dalam konteks inilah, AW kekal relevan dan kehadiran mereka memastikan keselamatan awam dan infrastruktur kritikal negara dapat dipelihara ketika ancaman berlaku. Misalnya, dikerahkan bagi membantu dalam situasi bencana alam atau misi kemanusiaan serta pemulihan kawasan terjejas.

Dalam pada itu, selain mengekalkan kesejahteraan rakyat, AW juga menjadi wadah penting dalam menyemai kesedaran pertahanan dalam kalangan masyarakat. Hal ini kerana, setiap latihan yang diketengahkan kepada mereka membentuk minda rakyat agar sentiasa peka dengan isu keselamatan.

Pembentukan sebuah pasukan simpanan seperti Askar Wataniah ini bukan sekadar anggota simpanan, sebaliknya sebuah aset strategik yang memperkukuh pertahanan negara. Keterlibatan sukarela oleh rakyat ini mengingatkan bahawa mempertahankan keselamatan negara bukan sahaja tanggungjawab angkatan bersenjata, tetapi juga komitmen nasional yang dikongsi bersama.

Sebagai “backup force“, keupayaan dan kekuatan mereka menjadi lebih penting, bilamana sesuatu ancaman moden bersifat pelbagai dimensi atau darurat itu berlaku. Pada masa sama, menambahkan kepakaran tambahan yang pelbagai bidang sokongan, selain menampung kekangan anggota tetap.

Dengan itu, bukan sahaja melahirkan generasi berjiwa patriotik, tetapi juga memastikan negara sentiasa mempunyai lapisan pertahanan tambahan yang menjadi pelindung dalam apa jua situasi mendatang. -airtimes.my

#Airtimes #anggotasimpanan #AskarWataniah #PALAPES #ATM #pertahanan #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply