ISTANBUL, 24 SEPT – Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan mengeaskan keperluan reformasi dalam sistem Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sambil menyatakan negaranya bersedia menyumbang terhadap proses itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Erdogan berkata, Turkiye akan terus memberikan segala bentuk sokongan bagi menjayakan usaha reformasi, dengan menekankan keutamaan memelihara keamanan dunia semakin difahami berdasarkan cabaran global sejak beberapa tahun lalu.
“Keperluan untuk menyemak semula sistem PBB semakin jelas dalam beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya ketika pertemuan dengan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, di New York pada Selasa.
Menurut kenyataan Direktorat Komunikasi Turkiye, pertemuan itu bagi membincangkan isu serantau dan global, khususnya serangan Israel di Gaza.
Erdogan menegaskan, serangan Israel bukan sahaja menyasarkan rakyat Palestin, tetapi juga keamanan serantau dan global, dan masyarakat antarabangsa perlu meningkatkan tekanan terhadap Israel bagi memastikan bantuan kemanusiaan ke Gaza dapat disalurkan tanpa gangguan.
Dalam masa sama, Erdogan turut menyatakan Turkiye sedang menggandakan usaha untuk menamatkan perang Rusia-Ukraine, dengan menekankan keperluan segera gencatan senjata dan keamanan berkekalan. – airtimes.my
#Airtimes #Erdogan #PBB #Turkiye #Gaza #Ukraine #Rusia
