Pengumuman kelulusan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) bagi penjualan aset ketenteraan bernilai sekitar AS$2.3 bilion (RM10.8 bilion) kepada Singapura pada 20 Januari 2026 bukan sekadar transaksi perolehan biasa. Ia mencerminkan perubahan ketara dalam landskap keselamatan Asia Tenggara yang semakin kompleks, khususnya dalam domain maritim yang menjadi nadi perdagangan global.
Kelulusan ini dimaklumkan melalui Agensi Kerjasama Keselamatan Pertahanan AS (DSCA) sebagai satu kemungkinan penjualan ketenteraan asing yang masih tertakluk kepada proses Kongres AS. Namun begitu, kelulusan awal tersebut memberi isyarat jelas bahawa Washington bersedia memperkukuh keupayaan rakan strategiknya di Asia Tenggara.
Skop dan kandungan penjualan
Pakej penjualan yang dicadangkan merangkumi 4 pesawat rondaan maritim Boeing P-8A Poseidon, beberapa unit torpedo ringan, serta peralatan sokongan berkaitan termasuk latihan, alat ganti, dan sokongan logistik. Secara keseluruhan, pakej ini direka untuk meningkatkan keupayaan pengawasan, pengesanan, dan tindak balas maritim Singapura dalam menghadapi ancaman semasa dan masa hadapan.
Menurut kenyataan DSCA, penjualan ini bertujuan membantu Singapura mengekalkan pasukan maritim yang berwibawa serta berupaya menyumbang kepada kestabilan serantau. Dalam konteks dasar luar AS, langkah ini selari dengan usaha memperkukuh rangkaian rakan keselamatan yang dianggap penting bagi keselamatan dan kemakmuran Indo-Pasifik.

P-8A Poseidon merupakan pesawat pelbagai misi rondaan maritim yang dihasilkan oleh Boeing. /Gambar: U.S Navy
Dimensi hubungan Pertahanan AS-Singapura
Walaupun Singapura bukan sekutu perjanjian rasmi Amerika Syarikat seperti Jepun atau Australia, statusnya sebagai Rakan Kerjasama Keselamatan Utama atau “Major Security Cooperation Partner” meletakkannya dalam kedudukan istimewa dalam strategi Washington. Kerjasama pertahanan kedua-dua negara telah lama berteraskan kepercayaan, termasuk akses logistik, latihan bersama, dan penggunaan kemudahan ketenteraan.
Kelulusan penjualan ini dimuktamadkan semasa lawatan Menteri Pertahanan Singapura, Chan Chun Sing ke AS, yang menyaksikan pertemuan strategik dengan Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth di Pentagon. Pertemuan tersebut membuktikan bahawa Singapura dilihat bukan sekadar sebagai pembeli sistem persenjataan, tetapi sebagai komponen penting dalam seni bina keselamatan Pasifik Barat.
Walaupun transaksi ini masih memerlukan kelulusan Kongres AS, lampu hijau daripada Jabatan Negara dan DSCA lazimnya mencerminkan sokongan politik yang kukuh daripada pentadbiran semasa.
Evolusi aset rondaan maritim Singapura
Dari sudut keupayaan, perolehan P-8A Poseidon menandakan fasa baharu dalam evolusi aset rondaan maritim Angkatan Tentera Singapura. Pesawat ini bakal menggantikan armada Fokker-50 yang telah berkhidmat lebih tiga dekad dan semakin terbatas dari segi jarak operasi serta keupayaan sensor.
P-8A dibangunkan berasaskan kerangka pesawat komersial Boeing 737-800 dan dilengkapi avionik serta sistem misi yang jauh lebih canggih. Ia mampu melaksanakan rondaan jarak jauh, pengawasan berterusan, dan operasi peperangan anti-kapal selam dengan ketepatan yang tinggi. Keupayaan terbang lebih lama serta kelajuan jet membolehkan liputan kawasan maritim yang lebih luas dalam masa singkat.
Menteri Pertahanan Singapura sebelum ini menyifatkan perolehan ini sebagai sebahagian daripada fasa pertama penyegaran keupayaan keselamatan maritim, dengan jangkaan pesawat mula beroperasi pada awal dekad 2030-an.

Walaupun kelihatan seperti sebuah pesawat penerbangan biasa, P-8A Poseidon mempunyai keupayaan untuk melaksanakan misi kawalan perairan, peperangan bawah permukaan dan juga perisikan. Gambar: US Navy
Gabungan pengawasan dan keupayaan tempur
Salah satu aspek paling signifikan dalam perolehan ini ialah gabungan fungsi pengawasan dan keupayaan ofensif. P-8A direka khusus untuk peperangan anti-kapal selam, termasuk keupayaan mengesan, menjejak, dan menyerang sasaran bawah permukaan menggunakan torpedo ringan.
Dengan kelulusan penjualan torpedo bersama pesawat ini, Singapura bukan sekadar memperoleh keupayaan pengesanan yang canggih, tetapi juga keupayaan tindak balas segera tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada platform permukaan. Ini meningkatkan tahap pencegahan dan keupayaan menafikan kebebasan bergerak aset maritim asing di perairan strategik.
Dalam masa sama, P-8A turut mempunyai peranan dwiguna. Keupayaan sensor yang sensitif menjadikannya aset penting untuk misi mencari dan menyelamat serta bantuan kemanusiaan, yang sering diperlukan di rantau maritim Asia Tenggara. -airtimes.my
#Airtimes #P-8A #pertahanan #AS #Singapura






