Bayangkan anda sedang minum di sebuah kedai kopi yang sibuk. Tiba-tiba, seorang wanita yang sangat cantik dan sudah pasti, menjadi lumrah lelaki, kita akan cuba berkenalan. Apabila anda mula menyapa kerana ingin berkenalan, tanpa disangka dia menyambut sapaan itu dengan mesra. Dalam hati anda pasti akan gembira dan mula dibuai rasa seperti dalam filem Bollywood.
Dari sapaan biasa, menjadi hubungan akrab. Di sebalik kemesraan, dia kelihatan sangat berminat dengan kerja anda sebagai seseorang di sebuah jabatan yang penting. Walaupun anda seorang yang berhati-hati, sifat ramah, layanan dan pesonanya membuatkan anda rasa dihargai. Sedar atau pun tidak, si dia telah menjadi seseorang yang istimewa dalam lingkungan istimewa anda. Dek kerana rasa percaya, anda mula bercerita banyak perkara yang tidak sepatutnya (baca: rahsia).
Tanpa anda sedari, segala maklumat yang tidak sepatutnya diceritakan telah sampai kepada pihak ketiga, yang mempunyai kepentingan terhadap apa yang awak lakukan.
Itu adalah analogi mudah honeypot atau secara mudahnya disebut sebagai perangkap madu.
Mungkin di bahagian ini, anda mula perasan satu dialog yang agak ringkas tetapi mendalam dari filem Rock Oo!
“Sekarang ni ada tiga perkara yang boleh menjatuhkan sesebuah negara. Satu, rasuah. Kedua, tidak menepati masa. Ketiga, cinggey.” Cinggey merupakan bahasa pasar yang merujuk kepada wanita.
Honeypot satu taktik klasik yang menggunakan daya tarikan wanita untuk menjerat sasaran tertentu. Strategi ini mengeksploitasi emosi serta keinginan peribadi bagi menembusi benteng keselamatan yang paling kebal sekalipun. Ia merupakan salah satu kaedah tertua dalam dunia perisikan yang membuktikan bahawa kelemahan manusia sering kali menjadi punca kebocoran maklumat terbesar.
Pada kali ini, Air Times mengupas secara ringkas sejarah dan kisah Honeypot sebenar.
- Skandal Profumo: Apabila Seks Menggugat Keselamatan NATO

Skandal Profumo pula antara skandal politik terbesar pada abad ke-20 yang pernah menggemparkan sejarah Britain. Skandal ini juga membabitkan dunia risikan dan turut membawa kepada kejatuhan Perdana Menteri ketika itu, Harold Macmillan.
Pada kemuncak Perang Dingin tahun 1963, Britain dikejutkan dengan skandal yang bukan sekadar melibatkan zina, tetapi ancaman eksistensial terhadap keselamatan negara. John Profumo, Menteri Perang Britain, telah terjerat dalam hubungan sulit dengan seorang model muda, Christine Keeler.
Apa yang menjadikan kes ini berbahaya ialah Keeler dalam masa yang sama mempunyai hubungan dengan Yevgeny Ivanov, seorang atase tentera laut Soviet yang juga merupakan ejen perisikan GRU. Keberadaan Keeler di “tengah-tengah” antara menteri pertahanan sebuah kuasa nuklear dan seorang perisik komunis menimbulkan panik luar biasa.
Walaupun Profumo menafikan kebocoran maklumat, impak geopolitiknya sangat besar; ia meruntuhkan kepercayaan sekutu Amerika Syarikat terhadap Britain dan akhirnya menyebabkan kejatuhan kerajaan Konservatif pimpinan Harold Macmillan. Kes ini membuktikan bahawa nafsu seorang menteri boleh menjadi liabiliti terbesar bagi sesebuah pakatan tentera.
- Katrina Leung: “Parlor Maid” yang Mengoncang FBI

“Katrina Leung ‘Parlor Maid’- Wanita yang memanipulasi agen FBI lewat asmara, sambil membocorkan rahasia negara ke Beijing.
Katrina Leung, seorang wanita korporat yang berpengaruh di Los Angeles, merupakan aset berharga FBI selama 20 tahun dengan kod nama “Parlor Maid”. Namun, di sebalik statusnya sebagai pemberi maklumat, Leung sebenarnya adalah ejen talam dua muka untuk Kementerian Keselamatan Negara (MSS) China.
Leung menggunakan daya tarikan dan kebijakannya untuk menjalin hubungan sulit dengan dua ejen pengendalinya sendiri, James J. Smith dan Bill Cleveland. Melalui hubungan intim ini, Leung mendapat akses luar biasa kepada dokumen sulit tanpa perlu mencurinya secara paksa—dia hanya perlu menunggu ejen tersebut leka atau tertidur untuk menyelongkar beg bimbit mereka. Kes ini menjadi tamparan hebat kepada komuniti perisikan AS kerana ia mendedahkan bagaimana seorang wanita mampu “menjinakkan” ejen-ejen senior yang berpengalaman sehingga mereka buta terhadap protokol keselamatan asas.
- Christine Fang: Sasaran Terhadap Pemimpin Masa Depan

Christine Fang berada “di mana-mana”, bersama beberapa orang yang mengenalinya. Gambar bersama Eric Swalwell, Ro Khanna, Judy Chu, dan Mike Honda, dan beberapa Datuk bandar, ahli dewan undangan negeri, ahli majlis bandaran, kakitangan, serta ahli politik terkemuka yang lain.
Berbeza dengan kes klasik yang menyasarkan rahsia sedia ada, kes Christine Fang (atau Fang Fang) menunjukkan taktik honeypot moden yang lebih licik: pelaburan jangka panjang. Antara tahun 2011 hingga 2015, Fang mendekati ahli-ahli politik muda di California yang sedang meningkat naik, termasuk Ahli Kongres Eric Swalwell.
Fang tidak semestinya mencari rahsia negara pada hari pertama. Sebaliknya, dia membantu mengumpul dana kempen dan membina rangkaian pengaruh melalui daya tarikan peribadi dan hubungan romantik dengan beberapa datuk bandar di AS. Taktik ini bertujuan untuk meletakkan “aset” China di kedudukan yang sangat dekat dengan pembuat dasar masa depan sebelum mereka memegang jawatan sensitif. Ia adalah peringatan bahawa honeypot hari ini bukan hanya tentang “mencuri pelan”, tetapi tentang “menanam pengaruh” di dalam koridor kuasa.
- Perangkap Digital: Tentera Israel dan Aplikasi Palsu

Hamas menggunakan gambar wanita muda untuk menarik berpuluh-puluh askar Israel melalui sembang di dalam talian, sekali gus mendedahkan lokasi dan pergerakan mereka.
Dalam era digital, honeypot tidak lagi memerlukan pertemuan fizikal di bar atau hotel mewah. Hamas dilaporkan telah berjaya menggunakan taktik ini terhadap anggota Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dengan menggunakan profil wanita cantik palsu di media sosial.
Melalui foto-foto yang mengghairahkan, perisik Hamas yang menyamar sebagai wanita muda akan memujuk askar-askar Israel untuk memuat turun aplikasi sembang kononnya untuk berkomunikasi secara peribadi. Hakikatnya, aplikasi tersebut adalah malware yang membolehkan Hamas mengawal kamera, mikrofon, dan mendapatkan data lokasi GPS daripada telefon bimbit askar tersebut. Taktik ini sangat berkesan sehingga pihak tentera Israel terpaksa melancarkan kempen kesedaran besar-besaran untuk mengingatkan anggota mereka bahawa “wanita cantik” yang menyapa di skrin telefon mungkin sedang memegang picu peluru di seberang sana.
Mengapa Taktik Ini Masih Relevan?

Mengapa dalam zaman satelit dan kecerdasan buatan (AI), taktik kuno seperti honeypot ini masih digunakan? Jawapannya mudah: Ego dan emosi manusia tidak berubah mengikut teknologi. Walaupun sistem komputer boleh dikunci dengan enkripsi yang paling rumit, manusia tetap mempunyai titik lemah dalam bentuk keinginan untuk dihargai, kesunyian, dan nafsu. Agensi perisikan sedar bahawa jauh lebih mudah untuk “menggodam” hati seorang pegawai tinggi daripada menggodam pelayan (server) yang dikawal ketat.
Selain itu, honeypot memberikan sesuatu yang tidak boleh diberikan oleh penggodaman siber, iaitu peluang ugutan (blackmail). Apabila seorang sasaran terperangkap dalam situasi yang memalukan atau melanggar undang-undang, mereka akan menjadi “hamba” kepada pihak lawan. Rasa takut akan kerjaya musnah dan maruah keluarga tercalar sering kali memaksa sasaran untuk menyerahkan maklumat rahsia secara berterusan demi menutup pekung sendiri.
Mati semut kerana gula, hancur segalanya kerana senyuman manis
Sejarah telah membuktikan bahawa tembok pertahanan yang paling tebal sekalipun boleh runtuh dengan satu “senyuman yang manis”. Pengajaran daripada kes-kes di atas sangat jelas: dalam dunia perisikan dan keselamatan negara, tidak ada istilah “kebetulan” apabila melibatkan pertemuan dengan individu yang terlalu sempurna atau terlalu berminat dengan urusan kerja anda.
Sebagai penjawat awam atau anggota keselamatan, kewaspadaan adalah perisai utama. Jangan biarkan diri menjadi mangsa “honeypot” hanya kerana dibuai oleh pesona sementara. Jika kita merenung semula, teramat benarlah dialog ringkas dalam filem Rock Oo! Sentiasalah beringat, di sebalik kemanisan madu, mungkin tersimpan racun yang mampu memusnahkan kedaulatan sebuah negara. -airtimes.my
#Airtimes #Honeypot #Wanita #Pertahanan #KeselamatanNegara #AncamanPerisikan #Blackmail #Digital










