KUALA LUMPUR, 6 FEB – Kementerian Pertahanan (MINDEF) melaksanakan Pelan Transformasi PERHEBAT 2026 hingga 2035 bagi memperkasa bakal pesara dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) agar lebih berdaya saing dalam pasaran kerja era digital.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari memaklumkan, pelan jangka panjang itu memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan dan kesejahteraan sosioekonomi anggota ATM yang bakal bersara menerusi latihan peralihan, peningkatan kemahiran serta padanan kerjaya yang relevan.
“Pelan ini bertujuan memperkasakan sosioekonomi bakal pesara dan veteran ATM secara holistik dan mampan, sekali gus membangunkan mereka sebagai tenaga kerja berkualiti tinggi dan penggerak ekonomi negara,” katanya di Dewan Rakyat.
Pelaksanaan pelan tersebut melibatkan tiga fasa utama iaitu Pembangunan Kapasiti dan Pengukuhan Dasar, Pengkomersialan dan Pemerkasaan Industri Nilai Tinggi serta Keunggulan dan Kelestarian PERHEBAT.
Menurut beliau, Pelan Transformasi PERHEBAT dirangka selaras dengan kerangka Ekonomi MADANI serta hala tuju pembangunan negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 dan Ke-14, selain menyokong Dasar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara 2030.
Antara inisiatif utama ialah Kerjaya Kedua Perwira yang menghubungkan agensi awam dan syarikat swasta bagi menyediakan latihan industri berkualiti serta peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada bakal pesara dan veteran ATM.
“Inisiatif ini memberi fokus kepada pembangunan kompetensi, pengiktirafan kemahiran serta padanan pekerjaan yang lebih relevan dengan keperluan semasa, dengan sasaran pendapatan minimum RM2,200,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah) mengenai pelaksanaan program baharu di bawah Pelan Transformasi PERHEBAT 2026–2035 untuk memperkasa bakal pesara tentera serta meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam pasaran kerja era digital selepas tamat latihan.
Justeru, Pelan Transformasi PERHEBAT 2026-2035 merupakan langkah strategik MINDEF dalam meningkatkan kemahiran, meluaskan peluang pekerjaan serta menggalakkan keusahawanan berimpak tinggi untuk manfaat kumpulan sasar.
Selain itu, PERHEBAT turut menjalinkan kerjasama awam dan swasta dengan lebih 62 syarikat termasuk Kumpulan Lembaga Tabung Angkatan Tentera dalam sektor pembuatan, pengangkutan, perkhidmatan, teknologi hijau dan marin, telekomunikasi, penyelenggaraan dan pembaikan, serta agromakanan.
Dalam memperkukuh keusahawanan, Program Hebat E-Co diperkenalkan bagi menyokong veteran ATM membangunkan ekonomi secara berkelompok dalam sektor agrikultur, penternakan dan akuakultur, khususnya berkaitan keterjaminan makanan.
Program itu dipacu melalui kerjasama strategik bersama universiti awam bagi penyelidikan dan pembangunan, agensi kerajaan serta syarikat sektor awam dan swasta bagi mewujudkan ekosistem bersepadu yang menghubungkan veteran dengan industri dan pasaran.
Pada masa sama, pelaksanaan Recognition of Prior Experiential Learning dan Work-Based Learning membolehkan kemahiran yang diperoleh sepanjang perkhidmatan tentera diiktiraf secara rasmi, sekurang-kurangnya pada peringkat diploma.
Secara keseluruhan, Pelan Transformasi PERHEBAT 2026 hingga 2035 dilihat sebagai usaha berterusan Kementerian Pertahanan dalam memastikan peralihan kerjaya yang lebih tersusun serta masa depan sosioekonomi yang lebih mampan untuk veteran ATM. – airtimes.my








