KUALA LUMPUR, 24 FEB – Kementerian Pertahanan (MINDEF) mempergiat usaha menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia dan syarikat tempatan menceburi bidang pembuatan aset pertahanan negara menerusi pelaksanaan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN).
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari menjelaskan, DIPN merupakan dokumen strategik yang menetapkan hala tuju jelas bagi membangunkan industri pertahanan tempatan secara lebih tersusun, berdaya saing, dan mampan.
Menurut Adly, antara inisiatif utama ialah pemerkasaan Program Kolaborasi Industri atau Industrial Collaboration Programme (ICP). Melalui program ini, syarikat tempatan yang memerlukan teknologi boleh memohon pemindahan teknologi bagi memantapkan produk masing-masing.
“Kementerian memastikan ICP benar-benar dapat memindahkan teknologi kepada syarikat tempatan yang berkeupayaan serta mampu memanfaatkannya untuk menghasilkan produk,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara.
Selain itu, MINDEF turut memperkasa aktiviti penyelidikan serta pembangunan Research and Development (R&D) dalam kalangan syarikat tempatan. Usaha ini bertujuan menyokong inovasi serta pembangunan produk pertahanan buatan tempatan.
Bagi menyokong aktiviti R&D, kerajaan juga menyediakan peruntukan langsung serta dana melalui ICP. Dana tersebut disalurkan menerusi Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE).
Di samping itu, Portal Industri Pertahanan turut diwujudkan sebagai platform sehenti kepada syarikat tempatan. Portal berkenaan menyediakan tiga perkhidmatan utama iaitu permohonan ICP, permohonan R&D serta penawaran teknologi untuk sektor pertahanan.
Dalam masa yang sama, MINDEF turut menetapkan syarat kandungan tempatan sekurang-kurangnya 30 peratus bagi perolehan berkaitan.
“Semua aktiviti penyelenggaraan dan baik pulih Maintenance, Repair and Overhaul (MRO) akan dilaksanakan oleh syarikat tempatan sahaja, melainkan aktiviti MRO dalam tempoh waranti yang dikendalikan oleh OEM sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff berhubung inisiatif kerajaaan untuk menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia dan syarikat tempatan menceburi bidang pembuatan aset pertahanan negara.
Justeru, langkah tersebut dilihat sebagai usaha menyeluruh untuk memperkukuh ekosistem industri pertahanan negara, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada rakyat Malaysia untuk terlibat secara langsung dalam pembangunan aset strategik negara. – airtimes.my




