Zulhaizi Rosdi
Hospital Medan Malaysia rawat 500 pesakit, 13 pembedahan berjaya dilaksana setakat ini
KUALA LUMPUR, 24 APRIL – Hospital Medan Malaysia (HMM) kendalian Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya merawat seramai 500 pesakit luar dan melaksanakan 13 pembedahan sejak mula beroperasi di Sagaing, Myanmar.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM, Leftenan Jeneral Datuk (Dr) Zulkeffeli Mat Jusoh berkata, sepanjang Operasi Starlight III dilaksana, kesemua mangsa yang dirawat termasuk yang menjalani pembedahan adalah merupakan mangsa gempa bumi yang melanda negara itu pada 28 Mac lalu.
“Hari ini merupakan hari ketiga pasukan dari ATM bertugas di Myanmar dan setakat ini semuanya berjalan dengan lancar.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM, Leftenan Jeneral Datuk (Dr) Zulkeffeli Mat Jusoh ketika ditemui pada Sambutan Hari Raya ATM
“Sepanjang 3 hari di sana, kita juga telah mendapat bantuan daripada pihak Myanmar dimana selain daripada pakar-pakar yang kita hantar, mereka juga membantu dari segi penyediaan pakar-pakar perubatan termasuk 9 penterjemah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sambutan Hari Raya Aidilfitri ATM, di Wisma Perwira hari ini.
Sementara itu, Panglima ATM Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar berkata, pembukaan HMM di Myanmar ketika ini adalah merupakan sebahagian daripada langkah kerajaan dalam membantu serta menyokong rakan dalam ASEAN.
Pada 18 April lepas, Malaysia telah menghantar pasukan perubatan ATM ke Myanmar bagi melaksanakan Operasi Stralight III susulan gempa bumi kuat yang melanda Myanmar pada 28 Mac lalu. -airtimes.my
#HMM #ATM #PAT #OpStarlightIII #Malaysia #Myanmar #gempabumi #airtimes
Ketika negara sibuk mempertahankan sempadan dari ancaman luar, muncul satu bentuk ancaman yang lebih licik dan sukar dikesan serta mampu menyelinap dari dalam yang dikenali sebagai “Fifth Column” atau dalam bahasa mudahnya, “musuh dalam selimut”.
Istilah “Fifth Column”, mungkin kedengaran seperti sisa sejarah dari era perang dunia, tetapi hakikatnya konsep ini masih relevan malah semakin membimbangkan dalam dunia moden ketika ini.
Istilah fifth column bukanlah perkara baru, ianya muncul sekitar era Perang Saudara Sepanyol pada tahun 1930-an, apabila seorang berpangkat Jeneral menyebut bahawa dia bukan saja mempunyai empat kolum tentera menyerang dari luar kota, tetapi juga satu kolum kelima iaitu kumpulan penyokong yang menyelinap dari dalam.
Hingga ke hari ini, konsep it”fifth column” masih lagi kekal hidup dan relevan. Bezanya, mereka tidak lagi memakai uniform atau mengangkat senjata tetapi mereka bersembunyi di sebalik jawatan, sistem dan komuniti kita sendiri.
Golongan ini boleh jadi sesiapa saja yang kita tidak jangka, contohnya pegawai awam yang membocorkan maklumat sulit, petugas penguat kuasa yang memberi laluan kepada sindiket, malah pengguna media sosial yang sengaja menyebarkan kebencian dan keraguan terhadap institusi negara.
Apa yang mereka lakukan mungkin nampak kecil, tetapi ianya memberi kesan besar dan perlahan-lahan melemahkan pertahanan, kestabilan dan keyakinan rakyat.
Hari ini, ancaman fifth column jauh lebih kompleks dari yang kita fikirkan.Mereka kini boleh bergerak secara dalam talian, menyamar sebagai rakyat biasa di media sosial, menyebar fitnah, mencipta naratif jahat serta perlahan-perlahan menghakis kepercayaan rakyat terhadap pihak berkuasa.
Apa yang lebih merisaukan, fifth column ini tidak semestinya datang dari luar negara.
Ramai dalam kalangan mereka adalah rakyat tempatan, yang memahami budaya dan sistem negara dan lebih mudah untuk meresap masuk ke dalam institusi strategik.
Itulah sebabnya mereka sukar dikesan dan sering terlepas daripada radar.
Beberapa kes melibatkan pengkhianat seperti dilaporkan sama ada di luar atau dalam negara sudah cukup membuatkan kita berfikir semula.
Dunia pernah digemparkan dengan beberapa kes melibatkan pegawai yang membocorkan maklumat operasi, individu yang mensabotaj sistem keselamatan siber, serta ‘orang dalam’ yang menjadi tali barut untuk kumpulan ekstremis.
Semua ini bukan rekaan dan ia pernah berlaku atau mungkin masih berlaku tanpa kita sedari.
Salah satu taktik utama yang digunakan oleh fifth column adalah permainan psikologi.
Mereka tidak perlu sabotaj melalui fizikal, cukup sekadar mencipta ketidakpercayaan.
Bila rakyat mula ragu dengan integriti tentera, polis dan sistem kehakiman, maka runtuhlah benteng utama kita hingga menyebabkan rakyat hilang kepercayaan terhadap kerajaan.
Bila perkara ini berlaku, kita sudah dianggap kalah walaupun belum sempat mengangkat senjata.
Lebih membimbangkan, taktik ancaman ini sudah berpindah ke alam digital.
Media sosial menjadi medan baru untuk perang persepsi, dengan hanya beberapa ciapan atau hantaran tular, mereka boleh menggoncang keyakinan orang ramai.
Dalam masa sama, kita dapat lihat beberapa serangan siber terhadap sistem kerajaan, kebocoran data, dan cubaan pencerobohan digital yang dipercayai dilakukan oleh ‘orang dalam’ atau orang luar.
Bagi Malaysia, kerajaan tidak berdiam diri dan pelbagai langkah telah diambil bagi membendung masalah ini terjadi antaranya pengukuhan keselamatan siber menerusi Dasar Keselamatan Siber Negara (DKSN), penubuhan MyCERT dan pemantauan dalaman menerusi agensi-agensi kritikal.
Prosedur keselamatan untuk kakitangan strategik juga diperketat termasuk tapisan latar belakang dan pemantauan tingkah laku digital.
Namun, semua usaha ini hanya berkesan sekiranya ada kerjasama serta mempunyai tahap kesedaran yang tinggi dalam kalangan rakyat bagi melawan fitnah fifht column.
Selain itu, masyarakat perlu celik terhadap maklumat yang diterima, tidak mudah percaya pada provokasi, dan tidak menjadi penyambung lidah musuh tanpa sedar.
Apa yang penting untuk difahami ialah fifth column bukan hanya tentang pengkhianatan dalam bentuk tradisional.
Ia adalah ujian terhadap daya tahan negara dari sudut moral, sosial dan psikologi.
Cabaran sebenar masa kini ialah apabila pihak musuh tidak lagi perlu menyerang dari luar, tetapi mampu meruntuhkan kita dari dalam negara sendiri. -airtimes.my
#fifthcolumn #keselamatan #perisik #pengkhianat #nasional #Malaysia #airtimes
Malaysia Aviation Group intai peluang beli pesawat Boeing yang ditolak oleh China
KUALA LUMPUR, 21 APRIL – Malaysia Aviation Group (MAG) sedang mengadakan perbincangan bersama syarikat Boeing bagi mempercepatkan jangka masa pemerolehan pesanan pesawat Boeing.
Keputusan ini dibuat selepas terdapat slot pemerolehan yang ditolak oleh syarikat penerbangan China susulan perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.
Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Datuk Kapten Izham Ismail berkata, MAG turut meninjau keadaan itu sebagai peluang mendapatkan penghantaran pesawat dengan lebih awal walaupun banyak persaingan sengit dalam kalangan syarikat penerbangan bagi mendapatkan slot sedia ada.
“MAG kini dalam proses berbincang dengan Boeing mengenai kemungkinan mengambil alih slot itu bagi membolehkan kami dapat memenuhi jumlah (kumpulan pesawat) lebih awal.
“Semua pihak berminat…10,000 orang mahukan pesawat ini dan ianya kompetitif, malah kami sendiri amat berhati-hati dengan apa yang diingini,” katanya kepada Bernama pada Ahad.
Terdahulu, kerajaan China telah mengarahkan syarikat penerbangan negaranya untuk memghentikan penghantaran pesawat Boeing selepas ketegangan perdangannya dengan AS kian memuncak.
Susulan itu, pengeluar pesawat AS itu kemudiannya telah mula menerbangkan pesawatnya kembali ke AS.
#MAG #Boeing #pemerolehan #pesawat #Malaysia #airtimes
Isu Jalur Gemilang: Latheefa sifatkan tindakan terhadap Sin Chew Daily keterlaluan
KUALA LUMPUR, 19 APRIL – Bekas Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya menyifatkan reaksi berlebihan termasuk siasatan jenayahterhadap kesilapan paparan Jalur Gemilang oleh akhbar Sin Chew Daily sebagai keterlaluan dan tidak wajar.
Menurut Latheefa, kesilapan itu jelas tidak disengajakan dan tidak munasabah untuk sesiapa yang waras mempercayai bahawa sebuah akhbar melakukan kesilapan sedemikian.
“Mengapa perlu ada reaksi yang begitu hebat, termasuk siasatan jenayah, sedangkan jelas kepada sesiapa yang waras bahawa ia adalah satu kesilapan yang tidak disengajakan? Tiada sebab yang munasabah untuk sebuah akhbar utama sengaja mencetuskan sabotaj terhadap diri mereka.
“Dakwaan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bahawa insiden ini mengancam keselamatan dan ketenteraman awam juga adalah tindak balas yang berlebihan dan bersifat menakut-nakutkan,” katanya dalam satu hantaran di laman X.
Tambah beliau, adalah mengejutkan apabila ramai ahli politik turut serta mendesak agar hukuman maksimum dikenakan terhadap pihak yang terlibat, termasuk hukuman penjara.
“Di mana suara kewarasan? Adakah kita akan mendakwa dan memenjarakan orang atas kesilapan yang tidak disengajakan? Itu tidak adil dan bukan cara yang betul.
“Patriotisme tidak boleh diukur hanya melalui simbol luaran seperti bendera semata-mata, malah ia adalah sesuatu yang tidak ketara dan lahir dari dalam diri,” katanya.
Jelasnya lagi, pihak Sin Chew Daily telah pun memohon maaf secara terbuka, membetulkan kesilapan dan mengambil tindakan dalaman yang sewajarnya.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sebelum ini mengesahkan Ketua Editor dan Timbalan Ketua Penyunting Sin Chew Daily ditahan bagi membantu siasatan berhubung isu penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap di muka hadapan akhbar itu.
Mereka yang telah dibebaskan dengan jaminan polis ditahan bagi membantu siasatan susulan lebih 40 laporan diterima berhubung isu kesilapan Jalur Gemilang itu di seluruh negara.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 3(1)(c) Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 serta Seksyen 4(1)(b) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
#JalurGemilang #Akhbar #SinChewDaily #KDN #PDRM #semasa #LatheefaKoya #airtimes
West Philippine Sea dalam Google Maps jadi simbolik ketegasan tuntutan Filipina di Laut China Selatan
Di saat dunia digoncangkan dengan isu perang dagangan dan juga tarif di antara Amerika Syarikat (AS) dan China, terdapat satu perkembangan geopolitik yang mungkin wajar diketengahkan. Pada April 2025, Google Maps telah secara rasmi label “West Philippine Sea” di kawasan barat Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Filipina di perairan Laut China Selatan.
Mungkin isu ini tampak tidak besar bagi kita, tetapi ianya dianggap sebagai kemenangan oleh warga Filipina.
Sekali imbas ia hanyalah satu nama di atas peta, tetapi dalam dunia geopolitik, setiap nama yang dipilih atau diabaikan boleh menjadi percikan kepada api konflik. Bagi sesetengah pihak, ini hanyalah kemas kini teknikal yang dianggap sebagai pengemaskinian biasa.
Namun bagi yang lain, ia adalah pengiktirafan simbolik antarabangsa terhadap kedaulatan dan cabaran besar kepada tuntutan sebuah kuasa besar.
Akan tetapi, tindakan ini telah memburukkan lagi ketegangan Filipina dengan China yang menganggap penamaan tersebut sebagai satu cabaran terhadap tuntutan mereka di Laut China Selatan.
Kehadiran label “West Philippine Sea” dalam platform global seperti Google Maps sekaligus memperkuatkan usaha Filipina untuk menegaskan haknya di peringkat antarabangsa.
Istilah “West Philippine Sea”, yang merujuk kepada bahagian barat ZEE Filipina dalam Laut China Selatan, bukan sekadar penjenamaan semula geografi, tetapi ia adalah manifestasi perjuangan kedaulatan sebuah negara kecil menentang pengaruh kuasa besar.
Penggunaan istilah ini bukanlah perkara baharu, ianya mula diperkenalkan secara rasmi oleh kerajaan Filipina pada tahun 2011 melalui Perintah Eksekutif No. 29 yang ditandatangani oleh Presiden Filipina ketika itu, Benigno Aquino III.
Tujuannya jelas menegaskan bahawa kawasan perairan yang terletak dalam ZEE Filipina, khususnya di sekitar Kepulauan Kalayaan (Kepulauan Spratlys) dan Scarborough Shoal, adalah hak milik sah mereka berdasarkan undang-undang antarabangsa.
Istilah ini merujuk kepada bahagian Laut China Selatan yang berada dalam ZEE Filipina, sejauh 200 batu nautika dari pantainya, seperti yang termaktub dalam Konvensyen Undang-Undang Laut PBB (UNCLOS) 1982.
Nama “West Philippine Sea” menjadi simbol penentangan terhadap tuntutan luas China di Laut China Selatan yang berlandaskan “nine-dash line”, satu garis tuntutan sejarah yang ditolak oleh Mahkamah Timbang Tara Tetap (PCA) pada tahun 2016.
Cabaran besar timbul apabila China mendakwa hampir keseluruhan Laut China Selatan melalui ‘nine-dash line’ (adakalanya dikenali sebagai 11-dash line) satu tuntutan sejarah yang tidak diiktiraf oleh undang-undang antarabangsa.
Tuntutan ini bukan sahaja melibatkan Filipina, tetapi juga negara-negara seperti Malaysia, Vietnam dan Brunei.
Hingga kini, kepulauan yang kaya dengan hasil laut serta sumber tenaga seperti Spratly dan Scarborough Shoal menjadi rebutan antara kuasa-kuasa besar dunia.
Pada tahun 2016, Mahkamah PCA di The Hague memberikan kemenangan kepada Filipina dalam kes tuntutan terhadap China. Mahkamah memutuskan bahawa tuntutan ‘nine-dash line’ adalah tidak sah dan menganggap China telah melanggar hak berdaulat Filipina.
Namun, keputusan ini langsung tidak dipatuhi oleh Beijing apabila kapal pengawal pantai China (China Coast Guard, CCG) terus beroperasi di kawasan ZEE Filipina malah membina struktur buatan di beberapa terumbu yang dituntut.
Dalam ketegangan yang berlarutan ini, satu perkara tetap jelas tentang label “West Philippine Sea” bukan sekadar titik di dalam peta.
Ia adalah nadi kepada kehidupan rakyat Filipina yang bergantung harap kepada laut. Ianya juga dilihat sebagai medan ujian kepada keupayaan sebuah negara mempertahankan kedaulatan tanpa menimbulkan konflik bersenjata.
Ini juga merupakan persoalan tentang keadilan, perundangan dan ketidakseimbangan kuasa di pentas dunia.
Walaupun label “West Philippine Sea” ini dianggap sebagai pengiktirafan besar oleh kerajaan Filipina, terdapat juga cabaran atau implikasi terhadap kedaulatan Filipina dalam mempertahankan kawasan ZEE mereka.
Penggunaan nama “West Philippine Sea” sudah pastinya tidak disenangi oleh China. Negara kuasa besar Asia itu berpendapat penggunaan nama tersebut mencabar kedaulatan sejarah mereka terhadap Laut China Selatan, berdasarkan “nine-dash line” yang mereka dakwa.
Hal ini sekaligus akan menambahkan lagi ketegangan diplomatik antara Filipina dan China, serta antara China dan negara-negara yang menyokong Filipina.
Sejak 2011, istilah “West Philippine Sea” telah digunakan secara rasmi oleh kerajaan Filipina melalui Executive Order No. 29 yang menetapkan penggunaannya dalam dokumen rasmi kerajaan, peta negara, buku teks dan siaran media awam.
Ini bermakna dari segi dasar negara, istilah “West Philippine Sea” telah kukuh sebagai sebahagian daripada strategi kedaulatan dan identiti nasional. Dalam masa sama, Peningkatan penggunaan oleh Google Maps kini dijangka akan mempercepatkan kesedaran awam, terutama dalam kalangan generasi muda yang bergantung kepada teknologi dan maklumat digital.
Justeru, penggunaan “West Philippine Sea” bukan lagi sekadar satu istilah alternatif sahaja, ia adalah sebahagian daripada strategi nasional Filipina dalam mempertahankan hak maritim mereka.
Dengan usaha oleh pihak Malacanang, institusi serta media Filipina, dan kini platform global seperti Google Maps, istilah mula diketengahkan secara beransur-ansur disebalik gelombang konflik Laut China Selatan. -airtimes.my
#WestPhilippineSea #Filipina #Manila #China #Beijing #LautChinaSelatan #Maps #Airtimes
SINGAPURA, 15 APRIL – Parlimen Singapura telah dibubarkan hari ini sekaligus memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-14 dalam tempoh 3 bulan akan datang.
Pejabat Perdana Menteri Singapura dalam satu kenyataan berkata, atas nasihat Perdana Menteri, Presiden Tharman Shamungaratnam telah membubarkan parlimen pada Selasa, 15 April 2025.
Perdana Menteri, Lawrence Wong turut menasihatkan presiden agar hari penamaan calon diadakan pada hari Rabu, 23 April 2023 sekaligus telah mendapat persetujuan presiden.
Manakala, hari mengundi akan diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya dalam masa terdekat.
Terdahulu, Lawrence Wong telah mengambil alih teraju Parti Tindakan Rakyat (PAP) daripada Lee Hsien Loong pada Mei 2024, selepas lebih dua dekad di bawah kepimpinan Lee.
Pilihan raya kali ini akan menyaksikan pemilihan 97 Ahli Parlimen (AP), meningkat berbanding 93 AP sebelum ini, selaras dengan cadangan Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya.
Dijangkakan lebih 2.75 juta rakyat Singapura layak mengundi pada pilihan raya umum akan datang.
#Parlimen #Singapura #Pilihanrayaumum #Parlimenbubar #Airtimes
Eks Jungle Falcon bermula: Tentera Malaysia, UAE Perkukuh Taktik Peperangan Konvensional
KUANTAN, 14 APRIL – Tentera Darat Malaysia (TDM) mula melaksanakan Eksesais Jungle Falcon siri 2/2025 bersama dengan pasukan tentera Emiriah Arab Bersatu (UAE Land Forces, UAELF) di Kuantan Pahang, hari ini.
Panglima 4 Briged (Mekanize), Brigedier Jeneral Wan Mohd Faizal Shahrin W. Mohamad Fablillah berkata, konsep latihan kali ini adalah memfokuskan kepada peperangan konvensional yang memberi penekanan kepada operasi mekanis.
Menurutnya, matlamat utama latihan ini adalah untuk mempertingkatkan kebolehoperasian bersama dan persefahaman melalui prosedur-prosedur standard yang sama, sekaligus meningkatkan keupayaan kita sebagai satu pasukan.

Panglima 4 Briged (Mekanize), Brigedier Jeneral Wan Mohd Faizal Shahrin W. Mohamad Fablillah memberi ucapan perasmian EKS Jungle Falcon Siri 2/2025 di Padang Kawad 12 RAMD (Mek), Kem Daralockwood, Kuantan (Foto: Zulhaizi)
“Latihan ini merupakan manifestasi serta lambang kerjasama dan hubungan ketenteraan erat antara kedua-dua negara yang terus dipupuk dan diperkukuhkan.
“Latihan ini akan dilaksanakan dalam dua fasa iaitu Latihan Silang (CTX) dan Latihan Medan (FTX) yang berpotensi menjadi bentuk operasi yang akan dihadapi oleh kedua-dua angkatan dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan perasmian EKS Jungle Falcon Siri 2/2025 di Padang Kawad 12 RAMD (Mek), Kem Daralockwood, Kuantan pada Isnin.

Panglima 4 Briged (Mekanize), Brigedier Jeneral Wan Mohd Faizal Shahrin W. Mohamad Fablillah bersama Ketua Staf Emirates Brigade UAELF, Kolonel Staf Ateeq Zefna Alwaihi Zefna Alefairi merasmikan Eks Jungle Falcon siri 2/2025 (Foto: Zulhaizi)
Ujarnya lagi, latihan ini turut membuka peluang kepada semua peserta untuk memperoleh pengalaman baharu, kemahiran dan ilmu pengetahuan.
“Para anggota dari UAELF juga berpeluang untuk menjalankan operasi dalam keadaan iklim dan cuaca serta rupa bumi Malaysia, manakala anggota TDM dapat mempelajari teknik dan pendekatan baharu sepanjang latihan ini.

Panglima 4 Briged (Mekanize), Brigedier Jeneral Wan Mohd Faizal Shahrin W. Mohamad Fablillah bersama anggota perbarisan di majlis pembukaan Eksesais Jungle Falcon siri 2/2025 (Foto: Zulhaizi)
“Malah, latihan ini juga akan meningkatkan keupayaan anggota untuk melaksanakan operasi mekanis dengan lebih cekap dan berkesan,” katanya.
Latihan bilateral yang dilaksanakan mulai 14 hingga 26 April ini akan melibatkan seramai 77 Pegawai dan 766 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dari kedua-dua negara.
Latihan kali ini merupakan siri kedua dilaksanakan di negara ini selepas julung kalinya diadakan pada tahun 2023 -airtimes.my
#TenteraDarat #TDM #UAELF #Eksesais #JungleFalcon #Pertahanan #Malaysia #airtimes
BEIJING, 11 APRIL – China mengumumkan larangan eksport item dwi-guna kepada 12 syarikat pertahanan Amerika Syarikat (AS), berkuatkuasa semalam.
Larangan ini adalah sebagai langkah balas terhadap tekanan perdagangan dan campur tangan Washington dalam isu keselamatan serantau.
Kementerian Perdagangan China berkata, sebarang urusan eksport melibatkan barangan berkepentingan dwi-guna termasuk teknologi yang boleh digunakan untuk tujuan ketenteraan dan awam kepada firma terbabit diharamkan
“Tiga syarikat utama yang disenaraikan ialah American Photonics, Novotech Inc. dan Echodyne,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Selain itu, China turut mengarahkan supaya semua aktiviti eksport yang berkaitan dengan firma terbabit dihentikan serta-merta tanpa pengecualian.
Sembilan lagi entiti yang terlibat dalam sekatan ini termasuk Marvin Engineering Company Inc, Exovera, Teledyne Brown Engineering Inc, BRINC Drones Inc, SYNEXXUS Inc, Firestorm Labs Inc, Kratos Unmanned Aerial Systems Inc, Domo Tactical Communications dan Insitu Inc.
Dalam masa sama, China juga mengumumkan akan menaikkan levi ke atas barangan AS sebanyak 50 peratus, menjadikan kenaikan sebanyak 34 peratus berbanding yang diumumkan sebelum ini dan akan dilaksanakan pada Khamis, untuk menjadikan jumlah duti tambahan ke atas import AS kepada 84 peratus. -airtimes.my
#tarif #China #AS #Beijing #UAV #global #airtimes
WASHINGTON, 8 APRIL – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump hari ini telah mengenakan tarif tambahan sebanyak 50 peratus ke atas barangan dari China.
Tarif tambahan ini dibuat susulan tindakan balas terhadap China yang mengumumkan cukai 34 peratus terhadap produk AS.
Trump sebelum ini telah mengenakan tarif sebanyak 34 peratus ke atas barangan China sebagai sebahagian daripada penetapan dasar tarif AS sebanyak 10 peratus yang dikenakan terhadap semua negara.
Dalam catatan media sosial pada Isnin, Trump memberi tempoh 24 jam kepada Beijing untuk membatalkan tindakan balasnya atau menghadapi tarif tambahan 50 peratus.
“Semalam, China mengenakan tarif balas sebanyak 34 peratus, di atas tarif tinggi sedia ada, subsidi haram terhadap syarikat-syarikat serta manipulasi mata wang yang berlarutan sejak sekian lama, walaupun saya telah memberi amaran.
“Washington akan menamatkan semua rundingan dengan China berhubung permintaan Beijing untuk mengadakan pertemuan,” katanya.
Menurut Trump, Washington akan memulakan rundingan dengan mana-mana negara yang tidak bertindak balas terhadap dasar tarif AS.
Kedutaan China di AS kemudiannya menuduh Washington sebagai pembuli ekonomi dan menegaskan bahawa Beijing berhak melindungi hak dan kepentingannya.
Tindakan drastik ini menjadikan jumlah keseluruhan tarif baru AS ke atas barangan China mencecah 84 peratus iaitu paras tertinggi dalam sejarah. -airtimes.my
#tarif #cukai #ekonomi #AS #Trump #China #Global #Airtimes
