WASHINGTON, 9 MAC – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyifatkan lonjakan harga minyak mentah global ketika ini sebagai harga yang berbaloi demi menghapuskan ancaman nuklear Iran.
Menerusi satu hantaran di media sosial, beliau menegaskan harga komoditi itu akan menjunam pantas sebaik sahaja ancaman tersebut dimusnahkan.
“Harga minyak jangka pendek ini adalah harga yang sangat kecil untuk dibayar demi keselamatan AS dan dunia. Hanya orang bodoh berfikir sebaliknya,” tegas beliau.
Kenyataan tersebut dikeluarkan ketika pasaran minyak mentah Brent melonjak hampir 24 peratus kepada $114.74 setong pada sesi dagangan pagi di Asia. Minyak mentah Nymex pula merekodkan peningkatan lebih 26 peratus pada paras $114.78 setong.
Kenaikan mendadak itu didorong oleh penutupan hampir keseluruhan laluan trafik perkapalan di Selat Hormuz sejak perang bermula seminggu lalu. Selat tersebut lazimnya mengendalikan sekitar satu perlima daripada bekalan minyak dunia.
Ketegangan perang itu turut mencetuskan jualan panik dalam pasaran saham Asia Pasifik. Indeks Nikkei 225 Jepun merosot lebih 7 peratus, manakala indeks Hang Seng di Hong Kong dan ASX 200 Australia masing-masing susut lebih 3 peratus dan 4 peratus.
Pasaran Korea Selatan menerima tamparan paling hebat apabila indeks Kospi jatuh lebih 8 peratus sehingga mencetuskan penangguhan dagangan automatik selama 20 minit bagi mengekang jualan panik. – airtimes.my

