Home Pertahanan dan KeselamatanMejar Jeneral Marzuki Mokhtar dilantik Ketua Pengarah JLKN

Mejar Jeneral Marzuki Mokhtar dilantik Ketua Pengarah JLKN

by Aqilah Azman
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 1 APR – Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) secara rasmi memulakan lembaran baharu dengan pelantikan Mejar Jeneral Datuk Marzuki Mokhtar sebagai Ketua Pengarah yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan tersebut bagi menggantikan Dato’ Ya’cob Samiran yang menamatkan kontrak perkhidmatan selepas hampir satu tahun tiga bulan menerajui jabatan itu.

“Pelantikan ini menandakan kesinambungan kepimpinan dalam memperkasakan lagi pelaksanaan PLKN 3.0 pada masa hadapan. Dengan latar belakang dan pengalaman yang luas sebagai Panglima Latihan Tentera Darat sebelum ini, saya yakin dapat memacu lagi jabatan ini dengan lebih cemerlang,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Tambahnya, usaha tersebut penting bagi memastikan objektif program tercapai dalam membentuk disiplin, jati diri serta semangat kebersamaan dalam kalangan generasi muda melalui pelbagai modul latihan.

Marzuki ditemui selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Pengarah JLKN yang berlangsung di ibu pejabat jabatan itu. Majlis tersebut disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan (MINDEF), Datuk Lokman Hakim Ali.

Beliau dilahirkan pada 16 Mei 1967 di Bagan Serai, Perak, berkelulusan Ijazah Sarjana Sains Sosial dan Pengajian Pertahanan. Marzuki menyertai Tentera Darat Malaysia pada Mac 1986, sebelum ditauliahkan ke dalam Rejimen Askar Melayu Diraja pada 4 April 1987.

Kerjaya ketenteraannya bermula di Sarawak sebagai Ketua Platun di Batalion Ke-5 Rejimen Askar Melayu Diraja.

Sepanjang lebih 40 tahun perkhidmatan, beliau berpengalaman luas dalam bidang latihan. Beliau pernah memegang pelbagai jawatan penting termasuk Pegawai Memerintah, Ketua Staf formasi, Pengarah Cawangan Operasi dan Latihan di Markas Pemerintahan Medan Timur serta Panglima Briged ke-12 infantri Malaysia.

Pelantikan ini dilihat sebagai langkah penting dalam memastikan kesinambungan serta pengukuhan pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara 3.0. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply