Home Pameran PertahananSingapore Air Show 2026F-35A, Su-30MKM dan Jupiter bakal gegarkan ruang udara Singapore Airshow 2026

F-35A, Su-30MKM dan Jupiter bakal gegarkan ruang udara Singapore Airshow 2026

by M.Daim
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 23 JAN – Pameran Aeroangkasa Singapura (Singapore Airshow 2026) yang memasuki edisi ke-10 bakal menjanjikan pertunjukan udara pada Februari depan.

Tumpuan utama pemerhati pertahanan dan peminat penerbangan pastinya terarah kepada penampilan sulung F-35A Lightning II milik Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) dan kehadiran Sukhoi Su-30MKM milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Pihak penganjur Singapore Airshow 2026, Experia Events, mengesahkan bahawa segmen persembahan udara melibatkan 6 tentera udara dan 2 pengeluar pesawat komersial yang berlangsung pada 3-8 Februari 2026.

Selain RAAF dan TUDM, ruang angkasa Singapura akan dimeriahkan dengan ketepatan formasi pasukan aerobatik Jupiter dari Tentara Nasional Indonesia- Angkatan Udara (TNI-AU), pasukan helikopter Sarang dari Tentera Udara Republik India, dan pasukan aerobatik Bayi dari Tentera Udara Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA-AF).

Tuan rumah, Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) pula akan menampilkan Pasukan Persembahan Bersepadu (Integrated Display Team) yang menggabungkan aksi jet pejuang F-16C dan helikopter AH-64D Apache.

Mengulas mengenai jangkaan tinggi terhadap pameran tahun ini, Pengarah Urusan Experia Events, Leck Chet Lam memberikan jaminan bahawa edisi kali ini akan memukau pengunjung.

“Pertunjukan udara sentiasa menjadi antara acara kemuncak yang paling dinantikan di Singapore Airshow dan barisan 2026 mencerminkan sokongan antarabangsa yang kuat untuk acara ini,

“Kami berbesar hati untuk mempersembahkan gabungan pelbagai pesawat tentera dan komersial yang mempamerkan kedua-dua teknologi canggih dan kemahiran kru udara dari seluruh dunia,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.

Beliau menambah bahawa pihak penganjur tidak sabar untuk mengalu-alukan profesional industri dan orang ramai untuk menikmati persembahan udara yang menakjubkan ini.

Bagi sektor komersial, Airbus A350-1000 dan COMAC C919 akan terbang bagi mencerminkan kemajuan pesat penerbangan komersial.

Menurut Experia Events, pertunjukan udara ini diadakan sekali sehari pada jam 12:00 tengah hari pada 3 Februari, dan 11:00 pagi pada 4 serta 5 Februari.

Bagi sesi hujung minggu ‘Weekend@Airshow’ pada 7 dan 8 Februari, aksi udara dijadualkan berlangsung dua kali sehari pada jam 11:00 pagi dan 3:30 petang, namun jadual ini tertakluk kepada perubahan semasa. Pameran statik turut akan menampilkan lebih 35 pesawat merentasi sektor komersial, tentera, dan sistem tanpa pemandu daripada gergasi industri seperti Airbus, Bombardier, COMAC, serta Dassault.

Orang ramai yang berminat menghadiri sesi Weekend@Airshow boleh mendapatkan tiket menerusi SISTIC pada harga SGD 39 untuk dewasa dan SGD 19 bagi kanak-kanak berusia 3 hingga 12 tahun. Penganjur turut menawarkan pakej kumpulan berharga SGD 250 yang merangkumi empat tiket serta satu label tempat letak kereta.

Acara dwitahunan ini disifatkan sebagai salah satu pameran aeroangkasa dan pertahanan antarabangsa paling berpengaruh bagi pihak berkepentingan membentuk masa depan industri penerbangan global. Dianjurkan oleh Experia Events Pte Ltd, orang ramai boleh melayari www.singaporeairshow.com untuk maklumat lanjut mengenai acara yang berlangsung dari 3 hingga 8 Februari ini. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply