Sedar atau tidak, isu keselamatan dan pertahanan tidak lagi terhad kepada bentuk medan fizikal semata-mata. Selari dengan perkembangan semasa, domain keselamatan dan pertahanan telah berkembang dan turut melibatkan alam maya.
Bila disebut akan alam maya, perkara seperti algoritma digital, pembentukan naratif dan kawalan persepsi awam sebagai sebahagian daripada dimensi baharu peperangan dalam domain sebegini.
Fenomena ini berpunca daripada realiti keselamatan global yang semakin kabur antara keadaan aman dan konflik terbuka. Bentuk ancaman ini dikenali sebagai peperangan zon kelabu, iaitu strategi yang bertujuan melemahkan sesebuah negara tanpa menggunakan kekerasan ketenteraan secara langsung. Dalam konteks moden, medan tempur utama peperangan zon kelabu ialah ruang siber, khususnya media sosial yang berada dalam genggaman masyarakat awam.
Salah satu taktik paling berbahaya dalam zon kelabu ialah operasi melaga-lagakan dua negara melalui manipulasi sentimen rakyat secara terancang dan sistematik.
Memahami serangan zon kelabu di media sosial
Serangan zon kelabu di media sosial merujuk kepada usaha tersusun oleh aktor asing, sama ada entiti negara atau kumpulan upahan, untuk mempengaruhi pemikiran awam sesebuah negara. Objektifnya bukan untuk menawan wilayah, tetapi untuk memecahkan perpaduan, melemahkan kepercayaan dan mencetuskan permusuhan antara negara.
Dalam hubungan antarabangsa, taktik ini lazimnya menyasarkan negara jiran yang mempunyai sejarah sensitif melibatkan isu sempadan, budaya atau identiti. Penyerang akan menyamar sebagai pengguna tempatan atau mengendalikan rangkaian akaun palsu bagi menyebarkan kandungan yang bersifat provokatif. Kandungan ini direka untuk mencetuskan emosi, bukannya perbincangan rasional.
Apabila sentimen negatif berjaya ditanam, kebencian awam akan berkembang secara organik. Pada tahap ini, konflik tidak lagi memerlukan campur tangan langsung pihak penyerang kerana rakyat sendiri telah menjadi medium penyebaran naratif bermusuhan.

Ancaman siber global menggambarkan bagaimana ruang maya merentasi sempadan negara kini berfungsi sebagai medan peperangan zon kelabu, dengan operasi pengaruh dan manipulasi maklumat berlaku secara serentak di pelbagai rantau dunia. Foto Hiasan
Corak operasi di alam maya
Pelaksanaan taktik ini lazimnya mengikuti corak yang hampir seragam. Ia bermula dengan penciptaan atau manipulasi isu yang menyentuh emosi nasionalisme atau identiti. Kandungan tersebut mungkin berupa video lama yang disunting, imej palsu atau bahan tiruan berteknologi tinggi seperti deepfake serta video yang dihasilkan menggunakan kecerdasan buatan, AI.
Seterusnya, kandungan tersebut diperbesarkan melalui ribuan akaun automatik atau separa automatik yang bertindak serentak. Perkongsian berulang, komen provokatif dan penggunaan tanda pagar tertentu bertujuan memastikan kandungan tersebut muncul secara meluas dalam algoritma media sosial.
Apabila kandungan itu sampai kepada pengguna sebenar, reaksi emosi mula tercetus. Rakyat yang tidak menyemak kesahihan maklumat akan bertindak balas secara spontan, termasuk menghina atau menyerang negara yang disasarkan. Reaksi balas daripada rakyat negara yang satu lagi akan menyusul, sekali gus mewujudkan kitaran permusuhan yang berpanjangan.
Akhirnya, hubungan diplomatik menjadi tegang, kerjasama ekonomi terganggu dan persepsi awam terhadap negara jiran rosak, walaupun konflik tersebut dicetuskan oleh pihak ketiga yang tidak kelihatan.
Bukti bahawa ancaman ini bersifat nyata
Peperangan zon kelabu bukan sekadar teori akademik. Beberapa insiden geopolitik moden membuktikan keberkesanan dan bahaya taktik ini.
Krisis diplomatik Qatar pada tahun 2017 sering dirujuk sebagai contoh serangan siber bendera palsu. Agensi berita rasmi Qatar telah digodam dan kenyataan palsu dimuat naik, kononnya melibatkan pendirian kontroversi kepimpinan negara itu. Walaupun penafian dibuat dengan segera, naratif palsu tersebut telah digunakan untuk mengabsahkan tindakan sekatan diplomatik dan ekonomi oleh negara seteru.
Dalam kes Rusia dan Ukraine, operasi zon kelabu didakwa berlaku bertahun tahun sebelum pencerobohan fizikal pada tahun 2022. Media sosial digunakan untuk membina naratif bahawa kerajaan Ukraine bersifat ekstrem dan menindas etnik tertentu. Naratif ini bertujuan melemahkan sokongan antarabangsa serta memecahbelahkan persepsi rakyat kedua dua negara.

Algoritma, kecerdasan buatan dan platform media sosial menjadi senjata baharu peperangan maklumat, di mana kawalan naratif dan persepsi awam mampu mencetuskan ketegangan antara negara tanpa sebarang tembakan dilepaskan. Foto Hiasan
Di Asia Tenggara, corak serupa turut dikesan setiap kali isu sensitif berkaitan sempadan maritim atau warisan budaya timbul. Lonjakan akaun baharu yang bersifat agresif dan tidak mempunyai identiti jelas sering muncul serentak, dengan bahasa yang disesuaikan untuk mencetuskan kemarahan etnik dan nasionalisme sempit.
Implikasi terhadap keselamatan negara
Ancaman zon kelabu melalui media sosial sukar ditangani kerana ia tidak melibatkan serangan fizikal yang jelas. Namun, kesannya terhadap keselamatan negara adalah mendalam.
Pertama, kepercayaan diplomatik terhakis apabila tekanan emosi awam menyukarkan rundingan rasional antara kerajaan. Kedua, sumber keselamatan negara terpaksa dialihkan untuk mengawal ketenteraman awam akibat reaksi rakyat yang dipengaruhi hasutan luar. Ketiga, konflik maya berisiko mencetuskan eskalasi fizikal sekiranya sentimen tersebut meresap ke peringkat pasukan keselamatan di lapangan.
Dalam jangka panjang, keadaan ini melemahkan daya tahan nasional dan membuka ruang kepada manipulasi strategik oleh pihak asing.
Dalam peperangan zon kelabu, rakyat bukan sekadar pemerhati. Mereka merupakan sasaran utama dan pada masa yang sama berpotensi menjadi alat kepada musuh tanpa disedari.
Pertahanan negara tidak lagi terhad kepada peranan Angkatan Tentera Malaysia atau agensi keselamatan semata mata. Ia bermula dengan keupayaan masyarakat untuk menilai maklumat secara kritikal dan bertanggungjawab. Literasi media kini menjadi benteng terakhir dalam mempertahankan kedaulatan negara.
Setiap kali berhadapan dengan kandungan yang cuba melaga lagakan kita dengan negara lain, persoalan yang perlu ditanya adalah mudah. Siapakah yang benar benar mendapat keuntungan daripada permusuhan tersebut. – airtimes.my
#AirTimes #Diskusi #Malaysia #ZonKelabu #KeselamatanSiber #MediaSosialDanKeselamatan #PerangMaklumat #AncamanHibrid
