Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 bukan sekadar mempengerusikan mesyuarat tahunan serantau, tetapi membawa makna simbolik terhadap kesepaduan politik, kestabilan ekonomi dan semangat kejiranan yang membentuk identiti Asia Tenggara. Peranan ini menjadi wadah bagi negara anggotanya mengimbangi pengaruh kuasa besar, menyelesaikan pertikaian secara diplomatik, serta memperjuangkan kepentingan bersama di pentas global.
Secara tidak langsung, tanggungjawab ini mengangkat peranan kepemimpinan Malaysia, selain memperkukuh kedudukan Kuala Lumpur sebagai kuasa penghubung dan pengimbang di rantau ini. Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 turut dihangatkan dengan penyertaan Timor-Leste yang buat pertama kalinya diundang sebagai anggota penuh selepas sekian lama menanti peluang menjadi sebahagian daripada blok serantau itu.

Penyertaan rasmi Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN menandakan satu titik penting dalam sejarah diplomasi Asia Tenggara. Ia bukan sahaja mencerminkan penerimaan komuniti ASEAN terhadap Timor-Leste sebagai rakan sejajar, tetapi juga mengisyaratkan komitmen rantau ini untuk memperkukuh inklusiviti dan perpaduan di bawah semangat “Satu ASEAN”.
Dalam konteks ini, langkah tersebut bukan sekadar menambah bilangan ahli, tetapi melengkapkan mozek geopolitik rantau dengan suara baharu yang membawa harapan terhadap solidariti dan kemajuan bersama. Perkembangan ini menggambarkan kematangan politik serantau dan tekad ASEAN untuk memperkukuh perpaduan dalam kepelbagaian.
Sekali gus, Kuala Lumpur kini menjadi tumpuan apabila detik bersejarah ini diraikan dengan simbolisme yang mendalam, memberi pengiktirafan terhadap perjuangan panjang sebuah negara muda untuk berdiri setara di pentas serantau.
Jejak dan perjuangan Timor-Leste
Timor-Leste bukanlah nama yang lagi asing dalam kerangka ASEAN. Negara kecil yang terletak di hujung timur kepulauan Nusantara ini telah menyuarakan hasrat keahlian sejak awal dan memohon secara rasmi pada 2011, selepas memperoleh persetujuan prinsip keahlian pada 2002, tidak lama selepas memperoleh kemerdekaannya daripada Indonesia.
Sejak itu, Dili secara konsisten menyatakan hasrat untuk menyertai blok ini dengan melihat ASEAN sebagai landasan penting bagi kestabilan politik dan pembangunan ekonomi. Namun, perjalanan keahlian itu tidak mudah. Hampir satu setengah dekad diperlukan daripada permohonan rasmi hingga penerimaan penuh bagi membuktikan kesiapsiagaan institusi dan kemampuan pentadbiran negara dalam memenuhi piawaian ASEAN.
Proses penilaian dijalankan secara menyeluruh dengan menekankan tiga dimensi utama: keupayaan institusi pentadbiran, keupayaan ekonomi, serta komitmen terhadap prinsip Piagam ASEAN (ASEAN Charter). Dalam hal ini, Malaysia antara negara yang menyokong kuat penyertaan Dili sejak awal. Kuala Lumpur melihatnya sebagai langkah memperkukuh integrasi geopolitik rantau ini, khususnya dalam menghadapi persekitaran global yang semakin berpecah dan kompetitif.
Dari sudut sejarah, Timor-Leste memiliki hubungan unik dengan Asia Tenggara. Meskipun kecil dari segi keluasan dan populasi, pengalaman negara ini mencerminkan ketahanan politik serta sosial yang luar biasa. Selepas melalui dekad konflik, penentangan dan pembinaan semula pascaperang, Timor-Leste kini tampil dengan aspirasi baharu dan menjadi sebahagian daripada komuniti ASEAN yang stabil dan makmur.
Implikasi terhadap keselamatan dan pertahanan serantau
Penyertaannya bukan hanya bersifat simbolik, tetapi membawa dimensi strategik terhadap landskap keselamatan serantau. Ia memperluas kehadiran ASEAN di Laut Timor dan kawasan tenggara Nusantara, sekali gus membuka ruang kerjasama baharu dalam bidang maritim, kawalan sempadan serta keselamatan tenaga.
Bagi Malaysia, perkembangan ini memberi peluang memperkukuh konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) dalam konteks ASEAN. Keanggotaan Timor-Leste membolehkan negara itu diserap dalam pelbagai rangka kerja keselamatan seperti Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan ADMM-Plus, menumpukan kerjasama dalam aspek latihan bersama, operasi bantuan kemanusiaan dan tindak balas bencana.
Dari sudut geopolitik, kehadiran Timor-Leste turut meningkatkan keperluan penyelarasan antara negara anggota dalam menghadapi ancaman bukan tradisional. Isu seperti penyeludupan rentas sempadan, perikanan haram, jenayah siber dan pemerdagangan manusia, menuntut ASEAN untuk memperkukuh koordinasi maklumat risikan serta keupayaan teknikal bersama. Dalam hal ini, Malaysia berpotensi menjadi peneraju melalui kepakaran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta agensi keselamatan lain yang berpengalaman dalam operasi pelbagai negara di bawah ASEAN dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Selain itu, hubungan pertahanan dua hala Malaysia–Timor-Leste juga berpeluang berkembang melalui program latihan ketenteraan, pertukaran pegawai serta kerjasama maritim di bawah inisiatif ASEAN Defence Interaction Programme. Ini selaras dengan aspirasi Malaysia untuk memperkukuh diplomasi pertahanan yang inklusif dan menyeluruh.
Cabaran dan masa depan ASEAN

Walau bagaimanapun, penyertaan Timor-Leste turut membawa cabaran tersendiri. Dari segi kapasiti institusi, negara ini masih berdepan kekangan dalam pentadbiran awam, pembangunan infrastruktur dan penyelarasan dasar nasional dengan kerangka ASEAN. Ekonominya yang masih bergantung besar kepada hasil minyak dan gas, menjadikannya rentan terhadap turun naik harga global.
Dalam konteks integrasi serantau, kemampuan Timor-Leste menyesuaikan dasar perdagangan, pendidikan dan keselamatan dengan negara jiran memerlukan masa serta bantuan teknikal berterusan. ASEAN pula perlu menyeimbangkan antara matlamat inklusiviti dan kecekapan institusi agar peluasan keahlian tidak menjejaskan keberkesanan dasar serantau.
Namun begitu, keputusan menerima Timor-Leste sebagai anggota penuh menjadi manifestasi keutuhan ASEAN dalam menghadapi cabaran geopolitik semasa. Ia membuktikan kesediaan rantau ini untuk berkembang secara inklusif sambil mengekalkan prinsip asas keamanan, kestabilan dan kerjasama.
Penyertaan Timor-Leste bukan sekadar simbol penerimaan, tetapi cerminan kepada semangat ASEAN yang sentiasa menyesuaikan diri dengan realiti dunia baharu. Di tengah pergolakan global, keputusan ini mengingatkan bahawa perpaduan serantau bukan lagi pilihan, tetapi keperluan strategik yang menjamin keamanan dan kesejahteraan Asia Tenggara. -airtimes.my
#Airtimes #Timor-Leste #ASEAN #serantau #AsiaTenggara #pertahanan #keselamatan #Malaysia
