Home SemasaRUU PSB: Bukan rampas hak, tetapi selamatkan Melayu bandar – Anwar

RUU PSB: Bukan rampas hak, tetapi selamatkan Melayu bandar – Anwar

by Nurulhuda
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) atau Urban Renewal Act (URA) 2025 yang dibentangkan kerajaan bukan bertujuan merampas hak orang Melayu, sebaliknya memastikan masyarakat Melayu di bandar tidak terus hidup terpinggir.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, dakwaan pembangkang bahawa kerajaan menzalimi dan mengkhianati orang Melayu adalah tidak berasas.

“Jangan kita umpamanya buat tuduhan kita nak ketepikan orang Melayu, nak tindas mereka. Tak betul. Saya rasa di antara tugas saya ini menekan hal ini kerana nak menyelamatkan orang Melayu di bandar,

“Saya tidak mahu Melayu hidup merempat. Tengok sahaja yang bangunkan (kawasan) baru itu. Yang Berhormat Larut (Datuk Seri Hamzah Zainudin) tahu, baik Kerinchi, baik Wangsa Maju masa saya lakukan (pembangunan) dulu sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dengan dana yang besar,

“Jadi saya nak teruskan (pembangunan) itu sekarang kerana tertinggal puluh tahun,” katanya sewaktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Amzad Mohamed (PN–Kuala Terengganu) mengenai dakwaan bahawa RUU PSB membolehkan sesebuah kediaman dirobohkan dan dibangunkan semula secara paksa selepas hanya 30 tahun.

Menurut Perdana Menteri, pelaksanaan RUU PSB penting bagi membolehkan projek perumahan bandar dibangunkan semula supaya rakyat dapat menikmati kediaman yang lebih selesa.

Beliau turut menegaskan bahawa cadangan mengenai nilai ambang persetujuan yang dicadangkan dalam RUU itu sentiasa boleh dibincangkan.

“Tapi (RUU) ini mesti dilakukan. Tak boleh kita biar pembangunan bandar (seperti adanya) Menara Berkembar dan semua ada (tetapi) kemudian rumah merempat (tak selesa) macam itu (di kawasan bandar),

“Saya ingat kita (kena) lihat dari segi konteks itu, mesti dilakukan. Beri ruang kepada kerajaan untuk bangunkan rumah yang lebih selesa sesuai dengan masa sekarang bagi kebanyakan rakyat majoritinya Melayu,” tegasnya lagi.-airtimes.my

#semasa #airtimes #DSAI #Anwar #Melayu #RUU #PSB

 

Related Articles

Leave a Reply