Home DiskusiUSCG STEADFAST: Misi pengambilan kapal baharu APMM bermula di Baltimore

USCG STEADFAST: Misi pengambilan kapal baharu APMM bermula di Baltimore

by Zulfadhli Azmie
A+A-
Reset

Pengukuhan keupayaan maritim negara kini menjadi keutamaan utama dalam menghadapi cabaran keselamatan serantau, khususnya di Laut China Selatan. Kawalan maritim juga bukan lagi hanya soal rondaan rutin tetapi lambang kehadiran strategik dalam perairan dunia yang semakin mencabar ini.

Dalam lanskap keselamatan serantau yang terus bergolak, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) terus memperkukuh keupayaan asetnya melalui penambahan aset berskala sederhana berkeupayaan tinggi.

Terbaharu, APMM bakal menerima sebuah kapal peronda bersenjata jarak sederhana milik bekas Pengawal Pantai Amerika Syarikat (USCG) Steadfast, yang dijangka menjadi nadi baharu penguatkuasaan dan pengawasan maritim negara.

Misi pengambilan kapal di Amerika Syarikat

Misi penting untuk membawa pulang kapal EX-USCG Cutter Steadfast secara rasmi akan bermula pada minggu ini apabila seramai 46 pegawai dan anggota APMM dijangka akan berlepas ke Baltimore, Amerika Syarikat pada 18 Julai ini.

Pasukan ini akan menjadi kru pertama bagi kapal USCG Steadfast, yang kini dalam peringkat akhir penyediaan sebelum pelayaran pulang ke Malaysia. Kapal tersebut dijangka beroperasi sebagai aset aktif Maritim Malaysia sebaik tiba di perairan Malaysia, sekaligus memperkukuh rondaan dan kawalan perairan di kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah menyifatkan pelayaran ini bukan sekadar misi pemindahan aset, tetapi simbol kepada pengiktirafan antarabangsa terhadap tahap profesionalisme dan kompetensi pegawai penguat kuasa maritim Malaysia.

Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah menyampaikan amanat kepada kru APMM yang akan berlepas ke Amerika Syarikat bagi melaksanakan misi pengambilan kapal EX-USCG Cutter Steadfast. Foto: Maritim Malaysia

Selain itu, beliau turut mengingatkan kepada kru-kru yang bakal terlibat bahawa pelayaran ini membawa akan nama negara dan perlu dilaksanakan dengan disiplin yang tinggi dan berintegriti.

Misi ini juga melibatkan empat pegawai teknikal APMM yang telah berada di Baltimore sejak Mei lalu. Di mana, mereka sedang menjalani latihan intensif dan pemeriksaan sistem kapal bagi memastikan kesediaan penuh sebelum pelayaran merentas lautan.

Penyelarasan antara kerajaan Malaysia dan Amerika Syarikat dalam aspek diplomatik dan teknikal dilihat berjalan lancar melalui saluran Foreign Military Sales (FMS) serta status Excess Defense Article (EDA).

Sejarah dan reputasi Kapal Steadfast

Sebagai sebuah kapal peronda bersenjata jarak sederhana dalam kelas Reliance yang terkenal dalam armada US Coast Guard, Steadfast mewarisi tradisi kecekapan operasi dan keupayaan pelbagai guna.

Kapal ini merupakan antara kapal pemotong jarak sederhana paling berpengalaman dalam sejarah USCG dengan 56 tahun perkhidmatannya sejak 1968, Steadfast telah melaksanakan lebih 330 misi SAR, seperti merampas lebih 1.6 juta paun ganja dan 27,700 paun kokain, serta memintas lebih 3,500 pendatang tanpa izin di laut lepas.

Dengan gelaran “El Tiburón Blanco” atau “Jerung Putih” yang diberikan oleh penyeludup dadah Colombia bukan sahaja satu pujian biasa, tetapi gambaran tentang reputasi kapal ini sebagai ancaman nyata kepada jenayah rentas sempadan.

Teknologi dan keupayaan operasi

USGC Steadfast memiliki ciri-ciri yang bersesuaian dengan keperluan operasi APMM. Dengan panjang 64.14 meter dan lebar 10 meter, kapal ini mampu mencecah kelajuan 18 knot dan menampung misi rondaan berpanjangan di kawasan pelayaran laut yang mencabar.

Kapal ini juga mampu membawa helikopter ringan seperti jenis MH-65 Dolphin (semasa berkhidmat di USCG), yang mungkin boleh disesuaikan kepada konfigurasi UAV atau helikopter tempur ringan milik APMM sekiranya diperlukan.

 Kapal USCG Steadfast, yang digelar “El Tiburón Blanco” oleh kartel dadah Colombia, kini bakal menyertai armada APMM sebagai aset rondaan strategik berpengalaman. Foto: PA3 Kurt Fredrickson

Selain itu, reka bentuk dan keupayaannya turut membolehkan pemasangan pelbagai sistem sensor dan komunikasi  yang menjadikan keupayaan ini sesuai untuk operasi pelbagai dimensi strategik termasuk pemantauan pelantar minyak, penguatkuasaan terhadap pencerobohan nelayan asing, serta kawalan ke atas laluan strategik di sekitar Sabah dan Sarawak.

Kepentingan geopolitik dan keselamatan serantau Malaysia

Perolehan kapal ini ke dalam pihak APMM turut mencerminkan pendekatan realistik kerajaan dalam memanfaatkan aset pertahanan terpakai daripada rakan strategik antarabangsa. Model ini bukan sahaja menjimatkan kos, tetapi membolehkan tempoh operasional yang pantas tanpa menunggu proses pembinaan kapal baharu yang lebih memakan masa dan perbelanjaan besar.

Selain itu, pemilihan Steadfast melalui FMS juga membuka ruang kerjasama latihan, penyelenggaraan dan pemindahan pengetahuan dengan rakan strategik dari Amerika Syarikat.

Dalam konteks geopolitik pula, kehadiran kapal seperti Steadfast membawa nilai lebih daripada sekadar platform penguatkuasaan melainkan sebagai mesej bahawa Malaysia serius dalam mempertahankan kedaulatan maritimnya.

Ketika kuasa-kuasa besar memperhebatkan pengaruh mereka di perairan serantau, APMM kini memiliki satu lagi aset dengan jangkauan operasi yang mampu memberi tindak balas lebih berkesan terhadap pencerobohan, penyeludupan dan ancaman bukan konvensional yang semakin kompleks di perairan Malaysia.

Kelewatan ketibaan dan isu logistik

Namun begitu, di sebalik naratif positif ini, terdapat satu perkara yang tidak boleh diketepikan. Pada asalnya, kapal Steadfast dijangka tiba di Malaysia sekitar suku pertama tahun 2025.

Kenyataan ini disampaikan secara rasmi dalam sidang media pada Ogos 2024 oleh pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia ketika itu, Laksamana Madya Datuk Saiful Lizan Ibrahim. Tarikh ketibaan tersebut diumumkan sejurus selepas kapal ini dinyahtauliah oleh USCG dan dimasukkan ke dalam senarai EDA untuk pemindahan antarabangsa.

Namun dalam kenyataan media rasmi Maritim Malaysia pada ini, kapal ini hanya dijangka tiba pada pertengahan November 2025 iaitu hampir sembilan bulan lewat daripada sasaran awal.

Walaupun tidak disebut secara langsung sebagai kelewatan, perubahan garis masa ini menimbulkan persoalan berkaitan proses penyediaan akhir kapal dan penyelarasan logistik yang mengambil lebih masa daripada dijangka.

Namun, pemerhati pertahanan menjangkakan bahawa antara punca kelewatan mungkin termasuk kerja baik pulih tambahan, keperluan konfigurasi sistem bersesuaian dengan SOP APMM, serta latihan tambahan yang perlu dilengkapkan oleh kru.

Selain itu, proses pemindahan kapal EDA sememangnya melibatkan prosedur ketat dan perlu mematuhi peraturan kedua-dua negara, termasuk aspek dokumentasi, keselamatan teknikal, dan pelayaran rentas hemisfera.

Barisan pertama kru APMM kapal Steadfast bersama Ketua Pengarah Maritim Malaysia sebelum memulakan misi pengambilan kapal di Baltimore, Amerika Syarikat. Foto: Maritim Malaysia

Walaubagaimanapun kelewatan ini tidak mengganggu operasi keseluruhan APMM, perkara ini memberi gambaran bahawa sebarang perolehan strategik perlu diuruskan dengan ketelusan maklumat dan komunikasi efektif kepada umum.

Dalam dunia keselamatan maritim yang kini turut diperhatikan oleh rakyat, ketepatan garis masa dan keberkesanan pelaksanaan menjadi sebahagian daripada penilaian awam terhadap keberhasilan sesuatu misi.

Namun begitu, apabila Steadfast akhirnya tiba di perairan negara dan dijangka akan membawa impak nyata kepada keupayaan operasi APMM. Dari segi simbol dan fungsi, kehadiran “Jerung Putih” dalam armada negara bukan sahaja menambah bilangan aset melainkan menambah keyakinan bahawa Malaysia bersedia menghadapi cabaran yang semakin rumit di laut.-airtimes.my

#AirTimes #PertahananKeselamatan #APMM #USCGSTEADFAST #Malaysia #US

Related Articles

Leave a Reply