Saban hari di era global yang semakin berkembang di setiap negara, masing-masing berlumba untuk memiliki aset teknologi yang canggih. Pemerolehan sistem dan aset yang berkualiti menjadi keperluan utama dalam memperkukuh pertahanan negara yang mementingkan keamanan.
Hal ini dapat dilihat apabila negara-negara Barat dan Timur Tengah kian maju dalam pemilikan aset ketenteraan moden. Inovasi dalam pembaharuan ketenteraan bukan sahaja meningkatkan keupayaan pertahanan, malah menarik minat negara lain untuk melabur atau menghasilkan sistem sendiri yang canggih, memperlihatkan kekuatan teknologi dan daya saing sesebuah negara.
#SorotanKandungan
Pembaharuan teknologi terkini bukan sekadar soal kelengkapan canggih, tetapi melibatkan perubahan menyeluruh terhadap doktrin, latihan dan kesiapsiagaan operasi. Dalam era AI dan peperangan digital, keupayaan menyesuaikan diri dengan pantas menjadi aset terpenting sesebuah angkatan. Namun, Malaysia masih berada di fasa awal pembangunan AI ketenteraan, dan memerlukan anjakan dasar dan pelaburan agresif agar tidak tercicir dalam persaingan serantau.
Dalam landskap peperangan moden yang semakin kompleks, teknologi bukan lagi sekadar alat sokongan, sebaliknya menjadi senjata utama untuk menyasarkan musuh. Kecerdasan buatan (AI) telah merevolusikan operasi ketenteraan, terutama dalam komunikasi taktikal dan keselamatan maklumat. AI meningkatkan kecekapan komunikasi medan tempur, namun turut mencetus ancaman baharu seperti serangan siber bertenaga AI yang licik, pantas dan sukar dikesan. Oleh itu, teknologi ini boleh menjadi aset atau liabiliti bergantung kepada penggunaan dan niat penggunaannya.
Malaysia turut tidak terkecuali dalam membina kapasiti teknologi pertahanannya, meskipun jumlah aset dan hasil tempatan masih belum mencapai tahap yang memuaskan.
Namun, sebagai sebuah negara yang bergantung kepada kestabilan digital dan keselamatan rangkaian untuk menjamin pertahanan dalam negeri dan serantau, Malaysia kini berdepan dengan dilema penting: sejauh mana kesiapsiagaan kita dalam menghadapi cabaran ini, dan adakah kita setanding dengan rakan serantau serta pelan global seperti “Readiness 2030″ yang dirangka oleh Kesatuan Eropah?
Persoalan ini menjadi semakin mendesak apabila landskap keselamatan global berubah dengan pantas susulan, digerakkan oleh lonjakan teknologi disruptif, kebangkitan kuasa serantau baharu, serta ketidaktentuan geopolitik yang melangkaui sempadan tradisional.
Teknologi Pertahanan sebagai Ukuran Daya Saing Negara(^kembali)
Pelan seperti ‘Readiness 2030′ yang menekankan daya tahan digital, integrasi pertahanan merentas domain, dan pelaburan besar dalam AI serta sistem autonomi, ia mencerminkan betapa seriusnya negara-negara EU menyiapkan pertahanan mereka untuk masa depan.
Namun, bagi Malaysia pula masih bergelut menstrukturkan semula pendekatan strategik secara menyeluruh. Meskipun terdapat kemajuan dalam sektor tertentu, termasuk pembangunan Command and Control, transformasi digital Angkatan Tentera Malaysia (ATM), serta keterlibatan dalam latihan multinasional, keselarasan antara polisi, ekosistem industri pertahanan tempatan, dan pembangunan sumber manusia masih belum sepenuhnya kukuh.
Lebih membimbangkan, pesaing serantau seperti Singapura, Indonesia, dan Vietnam kian pantas membangunkan integrasi teknologi terkini dalam rangka pertahanan mereka. Singapura, misalnya, bukan sahaja melabur besar dalam pertahanan siber, malah telah mewujudkan unit operasi AI taktikal untuk kegunaan ketenteraan. Indonesia pula, melaksanakan inisiatif National Defence Industry Revitalization yang lebih menyeluruh. Manakala, Vietnam pula memperkukuh penyelidikan teknologi ketenteraan melalui kerjasama strategik bersama Rusia dan India.
Dalam konteks ini, Malaysia perlu menggariskan pelan jangka sederhana dan panjang yang selari dengan cabaran semasa. Ini termasuk menilai semula tahap interoperabiliti ATM, mempercepatkan integrasi AI dalam latihan dan pemantauan, serta mewujudkan kerangka dasar yang menggalakkan sinergi antara agensi awam dan swasta.
Hanya dengan pendekatan bersepadu dan kesedaran geopolitik yang mendalam, barulah kita dapat memastikan kesiapsiagaan negara bukan sekadar bersifat kosmetik, tetapi benar-benar tangkas, lestari, dan setanding dengan norma antarabangsa.
Di samping, Malaysia kini juga berada dalam fasa penting membina keupayaan teknologi pertahanannya dalam suasana keselamatan yang kian rumit. Teknologi ketenteraan bukan lagi pilihan, tetapi menjadi ukuran daya saing dan kedaulatan negara.
Jurang teknologi pertahanan: Malaysia dan cabaran dalam era dominasi AI(^kembali)

Kehadiran sistem teknologi telah membuka ruang kepada sektor pertahanan untuk berfungsi sebagai satu alat yang berdaya menjamin keselamatan secara efisien. FOTO: GAMBAR HIASAN
Dalam dunia multipolar pasca-pandemik dan krisis geopolitik yang sangat dinamik hari ini, penguasaan teknologi AI dan biosekuriti menjadi asas kekuatan geopolitik.
Kerajaan juga baru-baru ini telah mencadangkan penubuhan sistem pertahanan siber dengan mewujudkan ‘pasukan tentera’ yang berkemahiran dalam mengendalikan AI untuk menangani sebarang ancaman dengan pantas. Penggunaan siber dalam sebarang operasi, sekaligus memperlihatkan keupayaan ATM dalam mempertahankan negara dalam apa jua situasi.
“Penubuhan tentera siber bagi menangani ancaman dan salah guna AI amat diperlukan. Banyak negara mengguna pakai konsep ini seperti di Jerman dikenali sebagai The Cyber and Information Space Command (CIR) of the Bundeswehr, India (Defence Cyber Agency), China (PLA Strategic Support Force), dan USA (United States Cyber Command (USCYBERCOM),” kata, Pensyarah Pusat Pengajian Pengkomputeran Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Azizi Ab Aziz.
Dalam pada itu, Azizi turut berkata, AI turut berperanan penting memerangi propaganda keganasan secara dalam talian melalui analisis, tingkah laku, penapisan kandungan, respons automatik, dan pengesanan maklumat palsu.
“Contohnya, teknologi AI boleh digunakan pengesanan dan penapisan kandungan, analisis tingkah laku pengguna, respons automatik dan penyederhanaan kandungan, pengesanan kesilapan maklumat, mesej serang-balas, kerjasama dan perkongsian data,” jelasnya.
Maka, penggunaan AI ini mampu beroperasi secara maya tanpa keperluan kehadiran fizikal atau beban logistik yang tinggi.
Namun, jika dibandingkan dengan negara serantau seperti Singapura, Indonesia, Thailand, serta kuasa besar seperti China, Amerika Syarikat atau Korea Selatan, dan juga Turkiye, Malaysia masih jauh, ketiadaan strategi AI menyeluruh meletakkan Malaysia dalam kedudukan berisiko dari segi kecekapan operasi dan ketahanan strategik.
Ini berikutan, Malaysia pada tahap ini, juga belum mempunyai ekosistem teknologi pertahanan yang mampu menyamai keupayaan negara lain, khususnya dalam pangkalan data ketenteraan, jaringan taktikal AI, dan sistem kendiri (autonomous systems). Malaysia jelas masih berdepan jurang besar dari segi pelaburan, penyelidikan, dan pelaksanaan teknologi pertahanan untuk lebih meluas.
Ke arah pemerkasaan industri pertahanan peringkat global(^kembali)
Di samping, kebangkitan industri pertahanan negara-negara lain turut memberi kesan dan sebagai faktor pendorong pembangunan teknologi tempatan dalam sektor pertahanan.
Sementara itu, Malaysia masih bergantung kepada pembelian luar untuk aset utama seperti jet pejuang, radar, kapal perang dan sistem pertahanan udara, walaupun terdapat inisiatif Transfer of Technology (ToT) seperti dalam pembelian LCS dan FA-50.
Justeru, usaha ke arah pembangunan teknologi tempatan masih terhad dan bersifat fragmentasi. Ini jelas, industri pertahanan Malaysia masih di peringkat awal dalam pembangunan aset-aset tempatan berbanding negara lain yang sudah melangkah lebih jauh.
Akan tetapi, inisiatif seperti National Defence and Security Industry Policy (DIPN) cuba mengubah keadaan ini dengan menekankan pemerkasaan industri pertahanan tempatan, namun pelaksanaannya masih awal dan bergantung kepada komitmen politik, dana penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta kerjasama awam-swasta.
Oleh itu, dalam dunia yang semakin didorong oleh teknologi autonomi, seharusnya Malaysia perlu mempercepatkan transformasi industri pertahanan melalui pendekatan “Dual Use Defence Innovation”, pelaburan berani dalam R&D, serta jalinan kukuh antara kerajaan, industri, dan akademi.
Persaingan hari ini bukan sekadar soal kekuatan senjata, tetapi sejauh mana keupayaan teknologi untuk memperkukuh kedaulatan, ketangkasan krisis, dan pertahanan maklumat. Dalam era AI dan perang siber, kelewatan bermakna ketergantungan berterusan dan itu adalah risiko strategik yang besar dan tidak boleh dibiarkan. -airtimes.my
#Airtimes #AI #Pertahanan #ATM #Siber #Malaysia