Sepertimana dijangka, Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA) ditutup sebagai ‘penganjuran berjaya’ dengan data-data ‘luar biasa’. Sudah tentu kedua-dua ayat ini agak ‘cliche’ dan lazim digunakan bagi menggambarkan keadaan pameran pada tahun penganjurannya.
Tidak menafikan LIMA 2025 telah mengkagumkan ribuan pengunjung yang hadir terutamanya orang-orang awam. Bagi mereka, peluang dua kali setahun untuk melihat dan mendengar deruman enjin pesawat-pesawat tempur di angkasa bukan selalu diperoleh.
Cuma secara peribadi, kayu ukuran kepada kemeriahan penganjuran LIMA saban tahun ialah kehadiran pesawat-pesawat udara baik tentera atau komersial, dan paling penting pasukan aerobatik. Dengan kehadiran hanya dua tim aerobatik setelah Surya Kiran dari Tentera Udara India (IAF) menarik diri kemudian, di situ ukuran LIMA 2025 mula dilihat.
Mahu tidak mahu, pelan kontingensi terpaksa digerakkan apabila pesawat-pesawat TUDM yang sepatutnya hanya menjadi pelengkap kepada LIMA mengambil alih tugas sebagai tunjang aerobatik.
Pada usia lebih 20 tahun, khidmat Hornet F/A-18D Pikachu dengan corak jalur kuning dipertaruhkan. Dijadikan tarikan keupayaan TUDM ialah pesawat Sukhoi SU-30MKM istimewa yang diberi nama Toruk Makto, maka hari-hari berlegar ia di ruang angkasa Langkawi untuk memikat penonton. Walaupun kehebatan juruterbang pesawat Hornet dan Sukhoi generasi 4.5 ini tidak disangkal, tetapi adalah lebih baik jika ada lebih banyak pasukan aerobatik yang melakukan pertunjukkan.
Jadi, tidaklah nampak ia seperti hari TUDM seperti diperkatakan umum apabila pesawat-pesawat kita sendiri yang menguasai ruang angkasa Langkawi. Ini kerana sejak diwujudkan lebih 30 tahun lalu, identiti LIMA adalah sebagai pameran udara dan maritim antarabangsa yang mana pasukan aerobatik merupakan tarikan wajib.

Pasukan aerobatik negara Indonesia, The Jupiters sememangnya dilihat memberikan sokongan berterusan kepada pameran LIMA dengan penglibatan berterusan mereka. Foto: Air Times/Zulhaizi
Selain itu, pesawat-pesawat sama ada tentera atau komersial yang hadir untuk pameran statik juga penting pada LIMA sesuai dengan prestijnya. Sepanjang dekad tersebut, penganjur LIMA telah berjaya memikat pasukan-pasukan aerobatik terbaik dunia hadir seperti Red Arrows milik RAF dan Thunderbird USAF.
Kehadiran pasukan-pasukan nama besar ini benar-benar melonjak reputasi LIMA pada dekad tersebut. Rusia juga pernah mempamerkan aksi hebat helikopter Mi-8 semasa LIMA 1999, tidak ketinggalan helikopter tempur Rooivalk dari Afrika Selatan.
Turut diingati kehadiran pesawat-pesawat Eurofighter Typhoon dan Dassault Rafale. Biarpun pada masa itu tiada liputan media sosial yang ketara, LIMA menjadi acara eksklusif.
Imbas kembali pada edisi lepas, LIMA 2023 menyaksikan persembahan aerobatik yang sangat memukau melibatkan pasukan Jupiter Indonesia (KT-1B), August 1st China (J-10), Black Eagles ROK (T-50) dan Al Fursan Al Emarat dari UAE (MB-339). Semestinya jaguh masa itu ialah Russian Knights (Su-35SM and Su-30).

Kehadiran The Russian Knights amat dinanti-nantikan memandangkan mereka tidak tiba pada hari-hari pra-LIMA seperti kebiasaan sebelum ini. FOto: Air Times/Zulfadzli
Sekiranya tim aerobatik August 1st hadir pada LIMA 2025, sudah pasti ia menjadi perhatian ramai kerana menerbangkan pesawat Chengdu J-10 iaitu jenis sama seperti diguna Pakistan dalam konflik dengan negara jirannya. J-10 juga tercalon semasa pencarian pesawat LCA/FLIT TUDM sebelum diketepikan FA-50M.
Boleh dibayangkan laman media sosial akan dipenuhi dengan gambar dan video aksi-aksi peswat-pesawat J-10 August 1st. Semasa LIMA 2019 pula, selain Russian Knights dan Jupiter, Tentera Udara India menghantar dua buah pesawat HAL Tejas termasuk sebuah untuk melakukan pertunjukan udara.
Istimewanya LIMA 2019 merupakan kemunculan kali pertama Tejas di luar negara yang mana pihak HAL melakukan pelbagai persiapan untuk memastikan Tejas memikat perhatian. Sama seperti China, India pada masa itu sedang melobi untuk program LCA/FLIT TUDM dengan Tejas.
Dengan tema ‘Inovasi Hari Ini Pencapaian Masa Hadapan’, edisi ke-17 LIMA juga sepatutnya menampilkan pesawat berteknologi mutakhir termasuk helikopter sesuailah dengan slogan tersebut. Ramai ingin melihat penyertaan pesawat tempur generasi kelima atau yang hampir-hampir dengannya tetapi tidak kesampaian.
Sebagai perbandingan, Pertunjukan Udara Singapura (Singapore Air Show) sejak 2020 telah dapat memikat Amerika Syarikat menghantar pesawat F-35 untuk melakukan pameran statik dan pertunjukan udara. Ia diteruskan lagi pada Singapore Airshow 2022 dan Singapore Airshow 2024. Pesawat F-35 USAF hadir bersama pesawat pengisi minyak KC-46A.
Sepertimana diketahui, Singapura adalah bakal pengguna pertama dan mungkin satu-satunya pesawat gen 5 F-35 ini di rantau Asia Tenggara. Tidak kurang hebatnya Sambutan Hari Ulangtahun Ke-88 Tentera Udara Diraja Thailand yang diadakan pada Mac lalu di Pangkalan Udara Don Mueang. Tim aerobatik August 1st dan Surya Kiran hadir mempamerkan pertunjukan manakala AS menghantar dua pesawat F-35A Lightning II.
Sekiranya ingin kekal dengan status dan prestij yang digembar gemburkan sebagai pameran udara terulung di rantau ini, LIMA tidak boleh ketinggalan. – airtimes.my
