KUALA LUMPUR, 10 APRIL — Malaysia menyambut baik pelarasan terkini dasar tarif Amerika Syarikat (AS), namun mengekalkan sikap berhati-hati terhadap ketidaktentuan dalam landskap perdagangan global, khususnya impaknya terhadap kestabilan ekonomi rantau ASEAN.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, tindakan AS menangguhkan kenaikan tarif untuk kebanyakan negara sambil mengenakan tekanan lebih besar terhadap China menimbulkan persoalan tentang hala tuju perdagangan dunia.
“Tiada yang pasti tentang tarif Trump, selain ketidakpastian! AS sekali lagi mengubah dasarnya, menangguhkan kenaikan untuk banyak negara tetapi meningkatkan tekanan ke atas China,
“Saya mengalu-alukan langkah ini, namun kita harus sedar bahawa ketidaktentuan ini menuntut kita menilai semula kesan jangka panjang terhadap ASEAN,” katanya dalam kenyataan di Facebook sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN yang dipengerusikannya, pada Khamis.
Menurut beliau, Malaysia kini sedang menganalisis secara mendalam implikasi daripada perubahan tersebut dan akan terus bekerjasama erat dengan negara-negara ASEAN bagi mengurangkan gangguan, memperkukuh daya tahan ekonomi serantau serta memelihara kestabilan perdagangan.
“Perpaduan ASEAN dan integrasi ekonomi serantau kini lebih penting daripada sebelumnya. Kita menghargai sokongan daripada rakan antarabangsa yang berkongsi visi untuk melihat seluruh rantau ini maju bersama,” tambahnya.
Tengku Zafrul turut menegaskan, Malaysia akan terus mengamalkan pendekatan terbuka dalam hubungan perdagangan dan pelaburan, termasuk dengan dua pemain utama ekonomi global iaitu Amerika Syarikat dan China.
“Malaysia komited untuk menjadi rakan dagang yang terbuka dan telus kepada semua negara, termasuk AS dan China,
“Kita juga akan meneruskan pendekatan mempelbagaikan pasaran, mengukuhkan hubungan sedia ada, serta meneroka peluang baharu sebagai langkah berjaga-jaga terhadap situasi ekonomi yang tidak menentu,” jelasnya.
Beliau turut menyatakan bahawa agenda reformasi ekonomi negara akan terus diberi keutamaan bagi memastikan daya saing Malaysia kekal kukuh dalam jangka panjang.
“Keutamaan kami adalah untuk mengharungi persekitaran global yang sentiasa berubah ini sambil melindungi dan memelihara kemakmuran ekonomi negara,” ujarnya lagi.
Kenyataan itu menyusul selepas Presiden AS, Donald Trump mengumumkan penangguhan kenaikan tarif terhadap kebanyakan negara selama 90 hari, bagi meredakan kebimbangan pasaran selepas ketidaktentuan yang berpanjangan, hari ini.
Meskipun begitu, Trump turut menaikkan kadar tarif ke atas China kepada 125 peratus, dengan alasan tindakan tersebut sebagai respons terhadap apa yang disifatkannya sebagai sikap tidak menghormati peraturan perdagangan antarabangsa oleh Beijing.
Untuk rekod, negara-negara ASEAN seperti Cambodia, Laos, Vietnam dan Myanmar dikenakan tarif antara 44 hingga 49 peratus.
Manakala, Thailand menerima kadar 36 peratus, diikuti Indonesia (32%), Malaysia serta Brunei masing-masing (24%), Filipina (17%) dan Singapura berdepan kadar asas sebanyak 10 peratus. -airtimes.my
#USA #tarif #Trump #perdagangan #ekonomi #pelaburan #China