if ( function_exists( 'wp_body_open' ) ) { wp_body_open(); } else { do_action( 'wp_body_open' ); } ?>
Home Semasa Kebakaran Putra Heights: ADUN, penjawat awam Selangor potong gaji bantu mangsa

Kebakaran Putra Heights: ADUN, penjawat awam Selangor potong gaji bantu mangsa

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 10 Apr – Sebagai tanda solidariti terhadap mangsa kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, kerajaan Negeri Selangor mengumumkan pemotongan gaji melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta penjawat awam berpangkat tinggi bagi meringankan beban penduduk terkesan.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata, sumbangan itu dijangka mengumpul dana sebanyak RM102,050 untuk disalurkan kepada keluarga mangsa yang terjejas.

“Bagi tujuan ini, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan pegawai atasan akan menyumbang RM1,000 daripada gaji mereka. ADUN dan Ahli Majlis pula akan menyumbang masing-masing sebanyak RM200 dan RM100, manakala penjawat awam Gred 48 ke atas akan memberi sumbangan RM50,

“Dana ini akan digunakan untuk membantu proses pemulihan yang dirancang oleh kerajaan negeri,” katanya pada Rabu.

Menurut beliau, bantuan tersebut diharap dapat meringankan beban mangsa yang kini dalam proses kembali ke kediaman masing-masing.

Setakat ini, sebanyak 270 rumah disahkan selamat dan boleh diduduki semula. Pemilik rumah juga boleh mula melakukan kerja-kerja pembaikan kecil.

Amirudin turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada Isnin hadapan berhubung pelaksanaan proses baik pulih rumah-rumah terjejas.

“Bagi rumah yang mengalami kerosakan kecil, kerajaan akan menilai keperluan bantuan dan akan menyediakan satu bentuk sumbangan standard yang akan disalurkan melalui Jawatankuasa Pemulihan,” ujarnya.

Selain itu, kerja-kerja pembersihan di kawasan terjejas akan dijalankan hujung minggu ini dengan sokongan kira-kira 1,000 sukarelawan.

Terdahulu, dalam kejadian pada pagi dua Syawal lalu, sepasukan anggota bomba dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran saluran paip gas di kawasan Putra Heights, Subang Jaya.

Berdasarkan laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), sebanyak 78 buah rumah dan 10 kedai telah musnah dalam kebakaran itu, manakala 237 buah rumah turut terjejas.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata seramai 219 daripada 469 ketua isi rumah yang terjejas telah menerima bantuan segera yang diumumkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 1 April.

Pejabat Daerah Petaling masih dalam proses memuktamadkan pengesahan individu yang terjejas dan dijangka selesai Jumaat ini.-airtimes.my

#PutraHeight #Selangor #potonggaji #ADUN #airtimes #Malaysia

 

Related Articles

Leave a Reply