KOTA BHARU, 10 APRIL – Kementerian Pertahanan (MINDEF) menegaskan dua hukuman akan dikenakan ke atas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terbabit dengan kes buli, sekiranya didapati bersalah.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, selain berdepan tindakan daripada kementerian atau ATM, hukuman tersebut juga melibatkan tindakan di peringkat MINDEF dan juga undang-undang negara.
“Mindef tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota ATM yang melanggar batasan dalam latihan sehingga membawa kepada buli,” tegas beliau.
Pada masa sama, Adly turut menjelaskan bahawa pihaknya dapat membezakan antara latihan ketenteraan yang tegas dan tindakan buli.
“Mindef tidak akan membenarkan buli berlaku, walaupun kita (ATM) agak tegas dalam sesi latihan kerana ada modul (latihan) yang perlu diikuti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Aidilfitri Madani Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama di sini pada Khamis.
Menurutnya lagi, kementerian telah mengambil tindakan sewajarnya melalui pusat pendidikan seperti di Maktab Tentera Diraja (MTD) yang mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang sentiasa ditambah baik, walaupun kes tersebut adalah kes terpencil.
“SOP pendidikan di MTD sentiasa diperkemaskan antaranya penambahan warden asrama, pengasingan pelajar junior dan senior serta pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) lebih banyak di institusi pengajian itu,” jelasnya.
“Jika unsur-unsur buli dikesan, kita akan terus memanggil pelajar terlibat untuk diberikan nasihat sebagai langkah pencegahan awal,” katanya.
Adly turut memaklumkan, MINDEF mempunyai jawatankuasa dalaman yang akan membuat keputusan berkait dengan kes itu.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim dan Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad. -airtimes.my
#AirTimes #ATM #MINDEF #buli #Malaysia