if ( function_exists( 'wp_body_open' ) ) { wp_body_open(); } else { do_action( 'wp_body_open' ); } ?>
Home Pertahanan dan Keselamatan Op PASIR perkukuh keselamatan, ekonomi Pantai Timur Sabah

Op PASIR perkukuh keselamatan, ekonomi Pantai Timur Sabah

by Zulfadhli Azmie

PUTRAJAYA, 26 Mar – Kementerian Pertahanan (MINDEF) menegaskan bahawa operasi cegah rintang berpadu di perairan Pantai Timur Sabah terus dilakukan bagi memastikan keselamatan kawasan tersebut, sekali gus merancakkan lagi ekonomi dan industri pelancongan setempat.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tindakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang melaksanaan Operasi PASIR (Op PASIR) telah berjaya meningkatkan keyakinan masyarakat dan pelancong terhadap keselamatan di kawasan berkenaan.

Operasi ini telah diterajui oleh Markas Angkatan Bersama (MK AB) dengan sokongan aset ketenteraan di darat, laut dan udara.

“Pelaksanaan Op PASIR ini merangkumi empat daerah utama iaitu Kudat, Sandakan, Lahad Datu dan Semporna,

“Kawalan keselamatan dijalankan secara berterusan melalui aturgerak trup di 21 pulau serta 19 pos daratan yang dipantau sepanjang masa,” katanya dalam Pemberitahuan Pertanyaan Lisan Dewan Negara pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan dari Senator Datuk Bobbey Suan yang ingin mengetahui status operasi cegah rintang berpadu di perairan Timur Sabah dan impaknya kepada keselamatan bagi meneruskan mobilasi ekonomi di kawasan tersebut.

Menurutnya, hal ini kerana, masih terdapat 14 buah negara belum menarik notis nasihat kepada warganya yang bercuti di Malaysia agar tidak pergi ke kawasan pantai timur Sabah.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, operasi ini turut diperkuat dengan pemantauan melalui bot peronda, radar pesisir pantai serta rondaan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Ujarnya, berdasarkan data kemasukan pelancong ke Pantai Timur Sabah, statistik menunjukkan peningkatan jumlah pelancong yang ketara.

“Pada tahun 2023, seramai 470,477 pelancong direkodkan, manakala angka tersebut meningkat kepada 683,936 orang pada tahun 2024,

“Peningkatan ini mencerminkan tahap keyakinan yang semakin tinggi terhadap keselamatan di kawasan tersebut,” jelasnya lagi.

Di samping itu, lawatan rasmi yang dilakukan oleh Suruhanjaya Tinggi British ke beberapa pulau di Semporna pada 4 Februari 2025, turut memberi gambaran positif terhadap keadaan keselamatan di kawasan berkenaan.

Lawatan tersebut bertujuan meninjau tahap keselamatan serta menarik minat lebih ramai pelancong asing untuk berkunjung ke destinasi pelancongan terkenal seperti Pulau Kapalai dan Pulau Sipadan.

MINDEF menegaskan bahawa keselamatan di Pantai Timur Sabah akan terus diperkukuh menerusi Op PASIR bagi memastikan kestabilan kawasan tersebut, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi tempatan.-airtimes.my

#Airtimes #MINDEF #OpPASIR #KeselamatanSabah #ATM #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply