Home Pertahanan dan Keselamatan Penghantaran logistik MALBATT 850-12: MK AB buktikan keupayaan global ATM

Penghantaran logistik MALBATT 850-12: MK AB buktikan keupayaan global ATM

A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 26 Mac – Markas Angkatan Bersama (MK AB) telah melaksanakan penghantaran logistik strategik melibatkan Dangerous Goods Kelas 1 bagi menyokong Misi MALBATT 850-12 di Kem Marakah, UNP 2-1.

Operasi yang dilakukan pada Ahad lalu, turut mencatat sejarah dengan penggunaan pesawat kargo RAYA Airways buat pertama kali dengan membawa muatan seberat 20.77 tan ke destinasi berkenaan.

Menurut MK AB, penghantaran ini bertujuan menampung keperluan stok Dangerous Goods serta menyokong operasi dan latihan di bawah Misi United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL).

“Keperluan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan dalam memastikan kesiagaan operasi MALBATT 850-12 serta pematuhan terhadap keperluan logistik strategik bagi misi pengaman antarabangsa,” jelas MK AB.

Misi ini diketuai oleh Komander Rasid Mat TLDM, dengan Mejar Hisratull Hisham sebagai Pegawai Koordinasi Pergerakan yang bertanggungjawab dalam penyelarasan keseluruhan operasi logistik dan pematuhan prosedur pergerakan udara antarabangsa.

Koordinator Utama dalam Penyelarasan Penerbangan Kargo, Kapten Hani Salman telah memainkan peranan dalam memastikan kelancaran aspek teknikal penerbangan, penyelarasan kargo, serta pematuhan terhadap piawaian keselamatan penerbangan dan logistik ketenteraan.

Ia turut diselaraskan bersama Atase Pertahanan (DA) Arab Saudi, Kolonel Din Izuan Mahar Afandi, serta Mejar Mohd Firdaus bin Rosnam TUDM yang mendapatkan kelulusan clearance overfly merentasi ruang udara negara-negara terlibat.

“Selain itu, kerjasama diplomatik melalui Malawakil di Thailand, India, Myanmar, Oman, Arab Saudi, Bahrain, Jordan, Syria, UAE, dan Lubnan telah memastikan pematuhan kepada peraturan penerbangan antarabangsa serta mempercepatkan proses kelulusan diplomatik,

“Proses ini dikoordinasikan oleh En Azizul bin Buang, yang bertindak sebagai Pegawai Pelaras bagi kelulusan Diplomatic Channel Overfly dan Landing.

Selain aspek diplomatik dan penyelarasan antarabangsa, MK AB menjelaskan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) turut memainkan peranan kritikal dalam aspek keselamatan pergerakan logistik serta pematuhan terhadap peraturan keselamatan penerbangan dan kargo berisiko tinggi.

“Setiap pergerakan telah dirancang dengan teliti bagi memastikan penghantaran ini memenuhi piawaian keselamatan, keberkesanan operasi serta keperluan misi ketenteraan,

“Kejayaan operasi ini membuktikan keupayaan MK AB dalam pengurusan rantaian bekalan strategik serta kecekapan dalam mengendalikan penghantaran logistik ketenteraan kompleks ke kawasan operasi luar negara,

“Ia juga mencerminkan komitmen Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam menyokong operasi pengaman antarabangsa, selain memperkukuhkan keupayaan logistik ketenteraan negara dalam menangani cabaran penghantaran berisiko tinggi,” jelas MKAB lagi. -airtimes.my

#MKAB #Lubnan #Malaysia #Malbatt #Raya

 

Leave a Reply