KUALA LUMPUR, 25 Mac – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan bahawa majlis pecah tanah bagi pembinaan masjid di Jalan Masjid India akan diteruskan pada Khamis ini.
Beliau menegaskan bahawa pembinaan masjid itu akan berjalan mengikut perancangan walaupun terdapat pandangan berbeza daripada beberapa pihak.
Menurutnya, keperluan membina masjid itu adalah bagi menampung kapasiti masjid dan surau sedia ada yang semakin sesak di kawasan berkenaan.
“Kawasan-kawasan amalan di situ, masjid-masjid berdekatan, sesak. Perlu ada tempat baharu. Jadi, sebab itu saya akan teruskan untuk meletakkan batu asas di masjid pada 27 hari bulan (Mac) ini,
“Saya minta semua pihak, termasuk jawatankuasa kuil, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Jakel, DBKL, berbincang secara sederhana dan sopan bagi memastikan penyelesaian yang harmoni,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Polis Ke-218 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), hari ini.
Rancangan untuk menempatkan semula sebuah kuil bagi memberi laluan kepada pembinaan masjid itu telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan orang ramai, termasuk daripada golongan peguam.
Terdahulu, peguam yang mewakili jawatankuasa Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman mendakwa DBKL pernah mengarahkan kuil yang asalnya dibina pada 1893 itu berpindah beberapa meter ke lokasi sedia ada.
Namun, pada 2014 tanah tersebut dikatakan telah dijual kepada Jakel Trading Sdn Bhd tanpa pengetahuan pihak kuil, untuk pembangunan sebuah masjid.
Sementara itu, Timbalan Presiden MIC, M Saravanan turut menyatakan bahawa Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman itu telah wujud lebih 100 tahun dan tidak pernah dipindahkan seperti dakwaan sesetengah pihak.
Sehubungan itu, Anwar menegaskan, pihak kerajaan berharap agar semua pihak dapat menyelesaikan perkara ini secara harmoni tanpa sebarang ketegangan.
Tambahnya, kelulusan untuk membina masjid itu telah diberikan sejak tahun 2019, manakala kebenaran pembangunan diluluskan pada 2020 dan 2021 pula projek kuil tersebut mula dibangunkan.
“Ini bukan keputusan saya sahaja, ia sudah melalui beberapa peringkat kelulusan sejak tiga pentadbiran Perdana Menteri yang lalu,” tegasnya.-airtimes.my
#kuil #DSAI #Jakel #masjid #airtimes #semasa #anwar