HAMILTON, 25 MAC – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, pada Isnin mengumumkan pengurangan kehadiran PBB di Gaza berikutan peningkatan keganasan Israel dan ancaman terhadap kakitangan kemanusiaan, termasuk serangan ke atas kompleks PBB minggu lalu yang meragut nyawa seorang kakitangannya.
Guterres dalam kenyataan memaklumkan, beliau telah membuat keputusan yang sukar bagi mengurangkan kehadiran organisasi ketika keperluan kemanusiaan semakin meningkat dan kebimbangan terhadap perlindungan orang awam semakin mendalam, walaupun menegaskan PBB ‘tidak akan meninggalkan Gaza’.
Bagaimanapun, PBB kekal berkomitmen meneruskan memberi bantuan yang diperlukan oleh orang awam bagi kelangsungan hidup dan perlindungan buat mereka.
“Dalam minggu lalu, Israel melancarkan serangan dahsyat ke atas Gaza, mengorbankan ratusan orang awam, termasuk kakitangan PBB, tanpa sebarang bantuan kemanusiaan dibenarkan memasuki Gaza sejak awal Mac,” menurut kenyataan dari pejabat jurucakapnya yang dipetik Anadolu Ajansi.
Justeru, Guterres mengutuk keras serangan Israel minggu lalu ke atas kompleks PBB yang mengakibatkan kematian seorang kakitangan PBB dari Bulgaria dan kecederaan serius enam orang lain.
Kerajaan Israel menyekat bantuan ke Gaza selama lebih 3 minggu, tempoh terpanjang sejak 7 Oktober 2023 ketika serangan besar-besaran bermula.
“Pegawai Israel menunjukkan bahawa mereka berhasrat untuk meneruskan aktiviti ketenteraan di Gaza. Berdasarkan maklumat yang ada sekarang, serangan yang melanda kompleks PBB di Deir Al Balah pada 19 Mac disebabkan oleh kereta kebal Israel,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, Guterres menuntut siasatan menyeluruh dan bebas terhadap serangan Israel dan menekankan bahawa semua pihak “terikat dengan undang-undang antarabangsa untuk melindungi kekebalan mutlak premis PBB”.
“Semua negara mesti menggunakan segala pengaruh mereka untuk menghentikan konflik dan memastikan penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa – dengan menggunakan tekanan diplomatik dan ekonomi serta memerangi kekebalan hukuman,” tambah Guterres yang turut menggesa agar penderitaan di Gaza dihentikan. -airtimes.my
#AirTimes #PBB #UN #Gaza #Israel