Home Pertahanan dan Keselamatan Langkah menyeluruh, Kerajaan perkukuh keselamatan perairan Sabah

Langkah menyeluruh, Kerajaan perkukuh keselamatan perairan Sabah

by Aqilah Azman

KUALA LUMPUR, 12 MAC – Kerajaan memperkukuh keselamatan perairan negara, khususnya di Pantai Timur Sabah melalui pendekatan menyeluruh, merangkumi kawalan keselamatan, kerjasama antarabangsa dan penggunaan teknologi terkini bagi membanteras ancaman jenayah rentas sempadan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah menyatakan, Operasi Sanggah Kawasan Keselamatan Timur Sabah (ESSCOM) terus diperhebat sebagai inisiatif menyeluruh, bersepadu dan berkesan.

Beliau berkata, pelaksanaan operasi itu bagi mengukuhkan kawalan di kawasan berkenaan dalam meningkatkan keselamatan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone).

“Kita melaksanakan Op Gasak Laut dan Darat serta Op Bersepadu (OB) di kawasan ESSZone, selain Pusat Pemeriksaan Laut (SCP) sebagai pos kawalan laut di perairan ESSZone serta pengoperasian 40 pos ATM dan 46 pos Pasukan Gerakan Am (PGA),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Dalam pada itu, Shamsul Anuar turut memberitahu, radar pengawasan strategik dipasang di pulau utama ESSZone, membabitkan lima radar seliaan ESSCOM, sembilan radar ATM dan satu radar pengawasan APMM serta pemasangan sistem pemantauan gentian optik di Pulau Sebatik, Tawau.’

“Pembangunan Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Sabah Fasa 2 juga sedang giat dijalankan di Pusat Kawalan Kawasan (ACC) Sandakan yang bertindak sebagai pusat kawalan utama mengurus operasi pengawasan dan koordinasi aset.

“Selain itu, Remote Sensor Site (RSS) Malawali, Sabah bertindak sebagai pusat pengumpulan data di kawasan terpencil atau kawasan strategik di pesisir pantai,” katanya.

Jelasnya lagi, perolehan aset pesawat tanpa pemandu (UAV) juga dilaksanakan bagi kawasan laut terbuka dan dron pemantauan di kawasan berisiko tinggi dalam mengesan aktiviti penyuludupan dadah.

Selain penggunaan teknologi dalam membanteras isu dadah, pelbagai langkah turut dilaksanakan melalui kerjasama dengan negara jiran, meningkatkan keupayaan risikan dan perkongsian maklumat dengan Filipina, Indoenesia, serta negara lain.

“Kerajaan juga memperkukuh jaringan perisikan melalui kerjasama antarabangsa dengan perkongsian maklumat bersama agensi penguatkuasaan antarabangsa iaitu Filipina dan Indonesia yang ditingkatkan melalui Mesyuarat Kerjasama antara Malaysia, Indonesia dan Filipina yang diterajui Majlis Keselamatan Negara (MKN),” nyatanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Edward Linggu Bukut yang ingin mengetahui usaha dalam meningkatkan kawalan keselamatan, kerjasama dengan agensi penguatkuasaan antarabangsa serta pelaksanaan teknologi terkini bagi menangani isu di pulau di Pantai Timur Sabah yang berpotensi menjadi pusat pemerdagangan dadah. -airtimes.my

#AirTimes #ESSZone #ESSCOM #APMM #PDRM #ATM #Sabah #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?