SUNGAI BESI, 22 FEB – Maktab Tentera Diraja (MTD) bukan sekadar melahirkan askar namun pemimpin sejati, kata Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar pada Sabtu.
Menurutnya, cogan kata ‘Serve to Lead’ yang dikongsi bersama Royal Military Academy Sandhurst (RMAS) turut mencerminkan standard kepimpinan bertaraf dunia yang diterapkan di MTD.
“Di hadapan saya sekarang adalah bakal pemimpin masa depan negara.
“Di sini, kamu belajar bahawa kepimpinan bukan sekadar memerintah, tetapi berkhidmat. Itulah roh sebenar ‘Serve to Lead’,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika memberikan ucapan sempena Perbarisan Tahunan Putera MTD 2024 di Padang Kawad MTD, Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar memberikan ucapan sempena Perbarisan Tahunan Putera MTD 2024 di Padang Kawad MTD, Kem Perdana Sungai Besi (Foto:Zulhaizi)
Mohd Nizam berkata, MTD membentuk pelajar menjadi lelaki sejati dan diajar bahawa kepimpinan adalah segalanya.
“Nama anda membawa reputasi dan melambangkan keunggulan MTD.
“Kepimpinan dan pembelajaran saling melengkapi antara satu sama lain,” ujar beliau.
Perbarisan tahunan kali ini menampilkan lapan detasmen yang diketuai Pegawai Rendah Kanan Muhammad Adif Hakimi Abdul Razak dari Kompeni Delta, dengan pembabitan keseluruhan 436 Putera.
Turut hadir menyaksikan acara perbarisan ialah Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk (Dr) Zulhelmy Ithnain. -airtimes.my
#MTD #Perbarisan #PAT #Pertahanan #kepimpinan #ATM #Malaysia #Airtimes