KUALA LUMPUR, 22 FEB – Malaysia dan Perancis senada mempertingkatkan kerjasama dalam bidang pertahanan, ekonomi dan tenaga selain perdagangan, pelaburan, pelancongan dan kecerdasan buatan (AI).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan, kedua-dua negara sepakat mencari jalan penyelesaian isu berkaitan Myanmar dalam mewujudkan keamanan di negara itu menggunakan pendekatan diplomatik yang bersesuaian.
“Saya turut menyatakan kesediaan kerajaan menerima kehadiran Macron dan delegasi ke Malaysia Mei ini dalam usaha meningkatkan lagi hubungan antara kedua-dua negara,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.
Perkara tersebut dibangkitkan menerusi perbualan telefon bersama rakan sejawatnya, Presiden Perancis, Emmanuel Macron bagi membincangkan isu semasa antarabangsa, termasuk perkembangan selepas pertemuan di Sidang Kemuncak G20 di Rio De Janeiro, Brazil pada 19 November lalu.
Pada masa sama, Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada Macron atas sokongan terhadap pembangunan semula Gaza, ekoran kekejaman rejim zionis Israel sebelum ini. -airtimes.my
#AirTimes #AI #Pertahanan #Antarabangsa #Perancis #Malaysia