Home Semasa Malaysia, Mesir senada tolak usaha halau rakyat Palestin, tegas perjuangan Gaza

Malaysia, Mesir senada tolak usaha halau rakyat Palestin, tegas perjuangan Gaza

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 15 Feb – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan pendirian tegas Malaysia mempertahankan hak rakyat Palestin dalam menentukan nasib dan usaha pembinaan semula di Gaza.

Dalam perbualan telefon bersama Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi, Anwar dengan tegas menolak sebarang percubaan untuk memaksa warga Palestin keluar dari Gaza, yang disifatkan sebagai tindakan mencabul hak asasi serta menjejaskan perjuangan Palestin bagi mencapai kemerdekaan.

“Saya mengulangi pendirian Malaysia untuk terus membantu rakyat Palestin terutama membabitkan bantuan kemanusiaan dan perubatan serta pembangunan semula, di samping tekal menyokong perjuangan menuntut keadilan buat Palestin,

“Saya dan Presiden El-Sisi senada dalam pendirian menolak usaha menghalau rakyat Palestin keluar dari bumi Gaza. Langkah ini bakal memberi dampak buruk terhadap usaha mewujudkan sebuah negara Palestin yang merdeka,” jelasnya dalam hantaran di Facebook, pada Jumaat.

Beliau juga menyampaikan penghargaan terhadap sokongan berterusan Mesir dalam memudahkan bantuan kemanusiaan dan perubatan kepada rakyat Palestin yang menderita di bawah serangan kejam rejim Zionis Israel.

“Presiden El-Sisi dan saya dengan tegas menolak sebarang percubaan untuk memaksa warga Palestin keluar dari Gaza, kerana tindakan sedemikian akan menjejaskan perjuangan Palestin dan usaha untuk menubuhkan sebuah negara Palestin yang merdeka,” kata Anwar.

Presiden El-Sisi turut menyatakan sokongan terhadap usaha digerakkan Jepun dan Malaysia untuk membangunkan semula Gaza menerusi inisiatif Kerjasama Asia Timur Untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD).

“Gerakan membantu Palestin pasti lebih berkesan sekiranya lebih banyak negara bersolidariti dan bersama-sama dalam usaha ini,” tambahnya lagi.

Selain isu Gaza, Anwar dan El-Sisi turut mengulangi komitmen untuk memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Mesir dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, pelaburan, perdagangan, pendidikan, dan budaya, sekali gus mempertingkatkan kerjasama strategik antara kedua-dua negara.-airtimes.my

#semasa #Malaysia #Palestin #Gaza #kemanusiaan #airtimes

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?