KUALA LUMPUR, 15 Feb – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terus mengukuhkan komitmennya dalam kerjasama maritim serantau dengan menyertai Eksesais AMAN 2025 yang dianjurkan oleh Tentera Laut Pakistan (TLP).
Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada (MPA) Barat memaklumkan, latihan maritim multilateral ini berlangsung dari 7 hingga 11 Februari lalu di Karachi, Pakistan, serta perairan sekitarnya dan melibatkan lebih 60 negara, menjadikannya antara eksesais terbesar di rantau ini.
Menurut MPA Barat, eksesais AMAN yang diperkenalkan pada tahun 2007 kini memasuki edisi ke-9, dengan penyertaan TLDM dalam siri ini merupakan kali ketujuh.
Untuk tahun ini, TLDM diwakili oleh KD TERENGGANU, bersama Tim Pasukan Khas Laut (PASKAL) dan Tim Penyelam TLDM yang mempunyai kepakaran dalam Explosive Ordnance Disposal (EOD).
“Bertemakan ‘Together for Peace’, latihan ini bertujuan untuk meningkatkan kesalingoperasian antara angkatan laut pelbagai negara, memupuk kestabilan serantau, serta menzahirkan komitmen bersama terhadap keselamatan maritim dan usaha menentang ancaman keganasan serta jenayah maritim,” jelas MPA Barat dalam kenyataan.
Eksesais ini melibatkan 2 fasa utama, iaitu Fasa Pelabuhan (7 hingga 9 Februari) dan Fasa Laut (10 hingga 11 Februari).
Menurutnya, sepanjang Fasa Pelabuhan, pelbagai aktiviti telah dijalankan termasuk Majlis Pembukaan di Pakistan Navy Dockyard, AMAN Dialogue di Pakistan Naval Academy, serta program lain seperti sukan, pertunjukan budaya dan forum perbincangan strategik.
“Semasa AMAN Dialogue, Ketua Delegasi TLDM, Laksamana Muda Datuk Baharudin Wan Md Nor, yang juga Panglima Wilayah Laut 1, terpilih sebagai ahli panel dalam sesi keempat bertajuk ‘Blue Economy’, membincangkan topik keselamatan maritim dan pemeliharaan ekosistem laut.
“Penglibatan ini mengiktiraf peranan penting TLDM dalam arena maritim antarabangsa,” jelasnya lagi.
Dalam Fasa Laut pula, beberapa latihan maritim utama telah dilaksanakan, termasuk International Fleet Review (IFR) yang menghimpunkan semua kapal peserta dalam satu formasi maritim berprestij.
Ketua Delegasi TLDM turut diberi penghormatan untuk menghadiri IFR bersama pemimpin ketenteraan Pakistan dan menerima tabik hormat, satu pengiktirafan terhadap kewibawaan TLDM di peringkat global.
“Selain itu, Joint Counter-Piracy Demonstration turut diadakan, di mana Tim PASKAL TLDM berganding bahu dengan pasukan khas negara lain untuk mempamerkan keupayaan menangani ancaman lanun dan keganasan maritim,
“Aktiviti lain seperti Personnel Exchange Programme (PXP) juga memberi peluang kepada pegawai dan anggota bertukar pengalaman serta membina rangkaian profesional dengan rakan sejawat dari negara lain,” jelas MPA Barat lagi.
Tambahnya, penyertaan TLDM dalam Eksesais AMAN 2025 bukan sahaja meningkatkan keupayaan operasi bersama tetapi juga memperkukuh hubungan pertahanan dengan negara serantau dan antarabangsa.
“Penglibatan KD TERENGGANU serta Tim PASKAL dan EOD TLDM dalam eksesais ini mencerminkan komitmen TLDM untuk terus memainkan peranan aktif dalam memastikan keselamatan maritim dan kestabilan serantau melalui diplomasi pertahanan bersama rakan strategik,” ujarnya lagi.-airtimes.my
#TLDM #Malaysia #Pakistan #EksAman #maritim #airtimes