KUALA LUMPUR, 31 Jan – Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT) Ke-23, berkuat kuasa hari ini.
Lantikan itu dibuat bagi menggantikan Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman yang bersara wajib selepas berkhidmat hampir 4 dekad bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Pelantikan beliau disaksikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam Majlis Serah Terima Tugas Panglima Angkatan Tentera di Wisma Pertahanan, hari ini.
Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Hafizuddeain Jantan; Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain; Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dan Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Zahani Zainal Abidin.
Pelantikan Mohd Nizam itu menyaksikan perubahan bersejarah apabila beliau memecah tradisi dan menjadi PAT pertama bukan dalam kalangan Panglima Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sedia ada.
Nizam, sebelum ini dilantik ke pangkat Leftenan Jeneral berkuat kuasa 23 Februari 2024 dan mengekalkan jawatan sebagai AKS PA, di Bahagian Perkhidmatan Anggota, Markas Angkatan Tentera Malaysia (MK ATM – BPA).
Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam kenyataan memaklumkan, di atas komitmen dan kecemerlangan sepanjang menabur bakti dalam perkhidmatan, pada hari ini, Mohd Nizam telah diberi kepercayaan untuk menerajui ATM.
Mohd Nizam adalah graduan Royal Military Academy Sandhurst, England, memulakan kerjaya ketenteraan sebagai Ketua Platun di Batalion Ke-19 Rejimen Askar Melayu Diraja, diikuti juruiring bekas Timbalan Panglima Tentera Darat dan bekas PAT, Jeneral Tan Sri Mohamed Hashim Mohd Ali.
Anak kelahiran Johor itu juga pernah diberi tanggungjawab sebagai juruiring Yang di-Pertuan Agong Ke-14, Allahyarham Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Sebelum menjawat jawatan sebagai AKSPA, beliau pernah menjawat jawatan beberapa jawatan penting, antaranya Panglima Briged Kedua Infantri Malaysia (2 Bgd), Ipoh dan seterusnya dilantik sebagai Pengarah Pengurusan Latihan di Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera
Darat, Port Dickson.
Selain itu, beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai Komandan MKN, PUSPAHANAS, di Putrajaya.
“Di peringkat antarabangsa pula, Jeneral Datuk Haji Mohd Nizam bin Haji Jaffar turut mencipta sejarah sebagai Pegawai Kanan Tentera Darat Malaysia pertama yang terpilih menghadiri Global Peace Operations Initiative (GPOI) Peace Support Operations Contingent Commander Course di Monterey, Amerika Syarikat sebelum dilantik sebagai Komander Malaysian Battalion (MALBATT) 2 di Lubnan,” jelasm MK ATM lagi. -airtimes.my
#ATM #panglima #airtimes #Nizam #pertahanan
