KUALA LUMPUR, 31 Jan – Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera melalui Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan telah menerima kunjungan penanda aras daripada delegasi Universitas Hang Tuah (UHT), Surabaya, Indonesia.
Kor Kesihatan Diraja (KKD) memaklumkan, kunjungan ini merupakan hasil koordinasi bersama yang dilaksanakan oleh Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Menurutnya, kunjungan yang dilaksanakan pada 20 Januari lalu ini bertujuan untuk memperkukuh penanda aras dalam bidang Perubatan Ketenteraan, khususnya Perkhidmatan Hiperbarik, sebagai persediaan bagi program kepakaran perubatan maritim Universitas Hang Tuah.
UHT, yang ditubuhkan pada tahun 1987, merupakan sebuah institusi pengajian tinggi swasta di Indonesia yang memberi tumpuan utama kepada bidang perubatan maritim.
“Seramai 4 orang pensyarah UHT menyertai lawatan ini, diketuai oleh Kolonel Laut Dr. Hisnindarsyah, dr., M.Kes., M.H., Sp.KL., Subsp.KT(K), Ketua Program Studi Spesialis Kedokteran Kelautan, Fakulti Kedokteran UHT,
“Delegasi turut diiringi oleh pengurusan tertinggi Fakulti Perubatan dan Kesihatan Pertahanan (FPKP), UPNM yang diketuai oleh Prof Madya Dr. Mohd Fahmi Lukman, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Pascasiswazah), FPKP UPNM,” jelas KKD dalam hantaran di media sosialnya.
Ketibaan delegasi telah disambut oleh Ketua Jabatan Perubatan Hiperbarik merangkap Ketua Perkhidmatan Perubatan Bawah Air dan Hiperbarik ATM, Brigedier Jeneral (Dr) Mohamed Zaki Mohamed Mokhtar.
“HATTM merupakan hospital di Malaysia yang terkenal dengan perkhidmatan terapi oksigen hiperbarik,
“Lawatan para pakar dari Fakulti Kedokteran Universitas Hang Tuah (FK UHT) Surabaya ini akan menjadi langkah awal yang baik dalam pengembangan ilmu terapi oksigen hiperbarik, yang sangat memerlukan rakan kerjasama dalam bidang kesihatan ketenteraan,
“Pada masa ini, kami sedang berusaha mewujudkan unit rawatan rapi (ICU) mini di dalam kebuk hiperbarik, memandangkan banyak kajian menjelaskan bahawa proses resapan oksigen berlaku dengan lebih cepat dalam ruang bertekanan tinggi,” jelasnya.
Sepanjang lawatan, delegasi didedahkan kepada spektrum pengurusan kes klinikal hiperbarik yang dijalankan di HAT Tuanku Mizan, termasuk kes stabil hingga kes yang memerlukan pemantauan intensif di dalam kebuk hiperbarik yang disampaikan oleh Pegawai Perubatan Selam, Mejar (Dr) Muhamad Azrul Zakaria.
Lawatan ini diharapkan dapat memperkukuh hubungan profesional dan kolaborasi strategik antara Malaysia dan Indonesia dalam bidang perubatan ketenteraan, khususnya dalam perkhidmatan hiperbarik.
Jalinan erat bersama rakan serumpun seperti UHT serta Tentara Nasional Indonesia-Angkatan Laut (TNI-AL) bakal menyumbang kepada peningkatan martabat dan mutu perkhidmatan perubatan ketenteraan serantau.-airtimes.my
#pertahanan #Malaysia #Indonesia #KKD #ATM #airtimes
Berita penuh:
