KUALA LUMPUR, 27 Jan – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menegaskan, sokongan teguh negaranya terhadap perjuangan kemerdekaan Palestin, seiring dengan pendirian Malaysia.
Perkara tersebut dinyatakan dalam sidang media bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Menara Berkembar Petronas, hari ini.
“Kami berada di satu garis. Kami tetap mendukung kemerdekaan Palestin,” ujar Prabowo.
Prabowo menekankan bahawa penyelesaian konflik Palestin hanya boleh dicapai melalui penyelesaian dua negara (two-state solution).
Beliau turut menyatakan sokongan terhadap gencatan senjata yang sedang berlaku dan berharap ia dapat berkekalan.
“Kami sangat tegas bahawa satu-satunya penyelesaian adalah penyelesaian dua negara. Itu pendirian yang selalu kami sampaikan,” ujarnya lagi.
Dukungan Indonesia terhadap Palestin juga pernah disuarakan Prabowo semasa Sidang Kemuncak D-8 ke-11 yang berlangsung di Istana Presiden New Administrative Capital, Kairo, Mesir, pada Disember 2024. Dalam persidangan tersebut, beliau menggesa negara-negara anggota Organisasi Kerjasama Ekonomi D-8 supaya bersatu mempertahankan Palestin.
“Tanpa perpaduan, tanpa mengatasi perbezaan, kita tidak akan menjadi kuat. Kita mengatakan bahawa kita menyokong Palestin, tetapi jika kita lemah, bagaimana kita dapat membantu Palestin?” ujar Prabowo.
Terdahulu, Prabowo dan Anwwar Ibrahim mengadakan pertemuan dua hala dan bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.
Antara topik dibincangkan ialah pelaburan dan perdagangan, pertahanan, pembangunan kapasiti, kesalinghubungan dan kerjasama dalam ASEAN.
Sebagai jiran rapat yang mempunyai hubungan kukuh dan ahli pengasas ASEAN, lawatan negara ini mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk memperkukuh hubungan strategik demi kemakmuran bersama.
Hubungan itu merentasi pelbagai bidang termasuk politik, ekonomi, pertahanan, kesalinghubungan, pendidikan dan sosiobudaya.-airtimes.my
#airtimes #Anwar #Probowo #Malaysia #Indonesia