BANGKOK, 28 Jan – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin tiba di Bangkok untuk lawatan kerja rasmi selama dua hari, bermula hari ini.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau dijadualkan akan mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am Malaysia-Thailand ke-56 (56th GBC Meeting) bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Thailand, TYT Phumtham Wechayachai.
“Alhamdulillah, saya tiba di Bangkok, Thailand hari ini (Isnin) bagi lawatan kerja rasmi selama dua hari bermula esok. Lawatan ini merupakan lawatan kerja rasmi pertama saya ke Thailand sejak dilantik sebagai Menteri Pertahanan,
“Saya akan mempengerusikan 56th Malaysia-Thailand GBC Meeting secara bersama dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Thailand. Mesyuarat GBC ini berperanan sebagai platform utama dalam menguruskan kerjasama persempadanan melibatkan kedua-dua buah negara,” ujarnya.
Ketibaannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi pada jam 4.30 petang waktu tempatan disambut oleh Timbalan Setiausaha Tetap Pertahanan Thailand, Air Chief Marshal Surarit Kitchathorn, Timbalan Ketua Misi Malaysia di Thailand, Bong Yik Jui, serta Atasé Pertahanan Kedutaan Malaysia di Bangkok, Brigedier Jeneral Samsul Rizal Musa.-airtimes.my
#pertahanan #airtimes #Khaled #Malaysia #Thailand #sempadan