Home Diskusi Jelajah keselamatan dalam talian: Pendekatan kerajaan mengawal kadar jenayah

Jelajah keselamatan dalam talian: Pendekatan kerajaan mengawal kadar jenayah

by Aqilah Azman

Informasi serta kandungan yang pelbagai di media sosial merupakan suatu yang menjadi keutamaan buat masa kini. Penularan mesej berbentuk teks mahupun digital di layar sosial sudah pastinya menjadi pilihan berbanding mengikuti cara lama seperti membaca akhbar.

Tidak dinafikan perkongsian yang mudah, pantas dan padat ini memberikan kelebihan yang bermanfaat secara terus kepada pengguna media sosial. Namun, tetap perlu berwaspada agar tidak terjerat dengan helah mahupun sebarang bentuk provokasi atau fitnah.

Kebelakangan ini, seiring perkembangan teknologi yang maju dan kepentingannya dalam penggunaan harian telah menjadi faktor utama dan pendekatan dalam melakukan apa sahaja perkara yang diingini oleh sesetengah individu tanpa sebarang batasan.

Keligatan dalam penyebaran maklumat palsu atau berita tanpa sebarang tapisan serta kebebasan yang dimiliki oleh pengguna, telah mencetuskan fenomena yang negatif dan memberi impak buruk dalam kalangan masyarakat hari ini termasuk kanak-kanak yang giat menggunakannya.

Terbaharu, selepas wujudnya pelaksanaan Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memohon untuk menarik semula sebanyak 18,785 kandungan di media sosial yang melanggar undang-undang Malaysia bagi tempoh tiga minggu bermula 1 Januari 2025.

Menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, kerajaan akan terus membuat sekatan ke atas kandungan tertentu di semua media sosial selepas Akta tersebut diperkenalkan.

Dalam pada itu, Fahmi menyatakan, terdapat lebih 84 peratus daripada jumlah tersebut berkaitan judi dalam talian, scam, buli siber, iklan produk yang tidak dibenarkan dan selebihnya adalah lain-lain kesalahan.

“Namun, masih ada platform yang membenarkan iklan (langgar undang-undang) dan kita minta supaya mereka dikenakan sekatan tertentu,” katanya.

Foto: Fahmi Fadzil

Berdasarkan rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM), jumlah kes jenayah dalam talian pada tahun 2024 meningkat sebanyak 35, 368 dengan nilai kerugian berjumlah lebih RM1.5 bilion. Manakala, sebanyak 34, 495 kes dengan jumlah kerugian berjumlah RM1.22 bilion pula direkodkan pada tahun 2023.

“Kita dapati perjudian dalam talian dan scam menjadi kesalahan yang paling banyak dilakukan di pelbagai platform media sosial sepanjang tempoh tersebut,” jelasnya selepas merasmikan Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian di Universiti Malaysia Kelantan, Pengkalan Chepa.

Justeru, inisiatif MCMC tersebut merupakan langkah usaha untuk memastikan persekitaran dalam talian yang lebih selamat dengan bertujuan meningkatkan tahap kesedaran masyarakat bermula dengan mahasiswa.

Menurut Fahmi Fadzil lagi, jelajah ini akan diperluaskan kepada seluruh masyarakat termasuk guru-guru dan ibu bapa dan dalam masa sama bagi memupuk kesedaran bahawa kanak-kanak di bawah 13 tahun yang tidak menggunakan media sosial serta yang berumur 13 tahun ke atas boleh menggunakannya dengan selamat.

Berikutan, bermula Januari 2025 terdahulu kerajaan ada menguarkan akan menumpukan had umur menerusi proses perlesenan kepada penyedia platform media sosial, di mana umur bawah 13 tahun tidak boleh membuka akaun media sosial. Namun terkini, kerajaan buat masa ini tidak berhasrat untuk mengikut langkah seperti negara lain yang mengehadkan akses media sosial berdasarkan had umur, sebaliknya mengambil pendekatan yang seimbang dalam menangani isu keselamatan dalam talian terutama melibatkan kanak-kanak.

“Kita pada waktu ini tidak berhasrat untuk mengikut bulat-bulat apa yang dilakukan oleh mana-mana negara lain, tetapi kita akan imbangi mengambil kira latar belakang sosio-budaya dan juga landskap perundangan dan kawal selia sedia ada dalam negara kita,” nyata Fahmi Fadzil.

“Ibu bapa mereka faham bagaimana untuk menggunakan media sosial termasuk mengawal akses konten tertentu kepada anak-anak mereka. Untuk guru adalah untuk memastikan mereka tidak mendedahkan anak murid kepada pemangsa,” tambahnya.

Hal ini, dengan adanya pemantauan serta pendedahan menerusi jelajah tersebut, ia sekaligus bagi menyelamatkan pengguna daripada terjerumus menjadi mangsa penipuan serta perbuatan jenayah dalam talian yang dilihat kian berleluasa.

Oleh itu, seharusnya kita perlu sama-sama memainkan peranan penting dalam memerangi perbuatan jenayah dalam talian ini, agar dapat melindungi anak-anak dan keluarga daripada menjadi salah satu mangsa jenayah di media sosial.

Turut hadir dalam program jelajah tersebut, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Pengerusi Lembaga Pengarah UMK Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan dan Ketua Pegawai Hal Ehwal Negeri MCMC Bukhari Yahaya.-airtimes.my

#AirTimes #MediaSosial #JenayahSosial #MCMC #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?