Home Semasa Himpunan Rakyat Benci Rasuah tuntut reformasi besar-besaran

Himpunan Rakyat Benci Rasuah tuntut reformasi besar-besaran

by Suraya Aziz

KUALA LUMPUR, 25 JAN – Tiga tuntutan utama terhadap Kerajaan Malaysia antara agenda utama dalam Himpunan Rakyat Benci Rasuah yang disertai sekurang-kurangnya 200 peserta, kebanyakannya mahasiswa dari pelbagai institut pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara, hari ini.

Peserta himpunan mula berkumpul di hadapan pusat beli-belah SOGO, Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR), sekitar jam 2 petang sebelum berarak membawa sepanduk sejauh dua kilometer ke Dataran Merdeka.

Setiausaha Sekretariat Rakyat Benci Rasuah, Zaim Zulkifli ketika ditemui media, pada Sabtu (Foto: Zulhaizi)

Mengulas lanjut, setiausaha Sekretariat Rakyat Benci Rasuah, Zaim Zulkifli menjelaskan, pihaknya akan mengemukakan tiga tuntutan rasmi kepada kerajaan dalam masa terdekat.

“Tiga tuntutan itu ialah menyegerakan pemisahan Jabatan Peguam Negara (AGC) dari Pejabat Perdana Menteri, pembebasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dari kuasa eksekutif serta pelaksanaan Akta Pendanaan Politik untuk mengelakkan salah guna kuasa,

“Kita tuntut SPRM dijadikan suatu institusi yang lebih bebas dan diberikan kuasa melangkaui siasatan seluruh negara. Pembebasan ini bermaksud SPRM harus diletakkan di bawah parlimen supaya tanggungjawab mereka adalah kepada rakyat, bukan kerajaan atau pembangkang,” katanya pada Sabtu.

Jelasnya, selain tuntutan berkenaan, satu memorandum sedang dipertimbangkan untuk dipanjangkan ke peringkat tertinggi termasuk ke istana.

Zaim yang juga mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) berkata, tuntutan tersebut tidak mustahil dilaksanakan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebahagian peserta himpunan berarak menuju ke Dataran Merdeka sambil memegang sepanduk (Foto: Zulhaizi)

Dalam perkembangan lain, beliau turut menafikan dakwaan bahawa himpunan itu mendapat tajaan daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan dilaksanakan tanpa sebarang notis kepada pihak berkuasa.

“Tak ada. Kita memang bebas sebenarnya. Memang tiada langsung parti politik yang nak bagi duit sebab kita sendiri kata tidak boleh mana-mana parti politik biayai waktu himpunan ini,” nafinya.

Zaim juga menjelaskan, pihaknya telah menyerahkan notis pemberitahuan awal mengenai himpunan tersebut kepada polis pada 15 Januari lalu, namun terdapat permintaan untuk semakan semula atas alasan dokumen tidak lengkap.

“Saya tidak nampak salah untuk kami buat perhimpunan hari ini memandangkan kawasan ini adalah kawasan awam. Pembangkang buat boleh, mengapa kami tidak,” katanya lagi.

Untuk rekod, perarakan dan perhimpunan berlangsung dalam suasana aman, dengan kehadiran kira-kira 200 anggota polis dan petugas keselamatan di sepanjang perjalanan.

Manakala, kawasan sekitar Jalan TAR menuju ke Dataran Merdeka turut ditutup sementara sejak tengah hari atas dasar keselamatan pengguna jalan raya. -airtimes.my

#PerhimpunanRakyatBenciRasuah #Korupsi #Mahasiswatolakrasuah #AirTimes

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?