PUTRAJAYA, 23 JAN – Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan agensi di bawahnya dalam usaha memberikan perkhidmatan yang lebih efisien kepada rakyat dengan meningkatkan integriti keselamatan negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pameran inovasi di Sidang Kemuncak dan Ekspo Keselamatan Antarabangsa Asia 2025 (AISSE 25), memperlihatkan salah satu penyelesaian terhadap keselamatan siber yang canggih dan kompleks serta teknologi komuniti yang pintar.
Tambahnya, sistem pemantauan berkuasa teknlogi Kecerdasan Buatan (AI) adalah antara tumpuan yang memberi kesan dengan lebih pantas seiring kemajuan inovasi dan beranggapan ia sebagai alat teknologi yang luar biasa.
“KDN dan seluruh agensinya akan embrace AI sebagai solusi dan hasil akhirnya mestilah sistem penyampaian yang lebih cekap dan isu-isu integriti,” katanya pada media selepas Majlis Penutupan Sidang Kemuncak dan Ekspo Keselamatan Antarabangsa Asia 2025 (AISSE 25) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), semalam.
Menurutnya lagi, ini termasuk dalam memberi jawapan terhadap isu keselamatan termasuk kawalan sempadan dan seumpamanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, penganjuran ini bukan sahaja membincangkan topik dan segmen keselamatan dalam persidangan antarabangsa dari segi domestik, bahkan turut menadapat pandangan daripada penyertaan antarabangsa daripada pakar-pakar dalam bidang masing-masing.
“Sidang kemuncak ini juga sekaligus mengukuhkan peranan Malaysia sebagai peneraju bagi mempromosikan kerjasama serantau selaku pengerusi ASEAN,” ujarnya.
Dengan itu, Saifuddin berkata, AISSE 25 merupakan antara pameran inovasi terkini yang mengagumkan dan sekaligus mencerminkan komitmen Malaysia dalam menyatukan negara-negara ASEAN untuk menangani cabaran keselamatan bersama.
Sehubungan itu, beliau turut mengumumkan penganjuran AISSE 27 dalam perancangan dan akan menjanjikan dengan sasaran penyertaan yang lebih besar serta impak yang lebih signifikan.
“Saya menyeru semua pihak yang berkepentingan, sektor kerajaan, entiti swasta, organisasi masyarakat sivil untuk menjadikan permulaan dan ini sebagai satu momentum yang boleh menghasilkan produk AISSE yang lebih produktif,” ucapnya yang menutup tirai AISSE 25.
Turut hadir di program sulung yang dikendalikan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) khususnya di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM) antaranya, Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Seri Razarudin Husain, Ketua Setiausaha KDN, Datuk Awang Alik Jeman, dan Timbalan Ketua Setiusaha KDN, Dato’ Hj Abdul Halim Hj Abdul Rahman.
AISSE 25 yang berlangsung selama tiga hari bermula 20 Januari 2025 berjaya menarik kehadiran lebih 18,000 pelawat perdagangan dan pegawai kerajaan yang menyaksikan penyertaan daripada 348 syarikat yang mewakili 48 negara, serta 1,000 delegasi persidangan yang terbabit secara langsung dalam 36 bengkel. -airtimes.my
#AirTimes #AISSE25 #PDRM #KDN #PICC #Keselamatan #AI #Malaysia