SEPANG, 9 Jan – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto tiba di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini untuk lawatan kerja sehari ke Malaysia.
Ketibaan beliau disambut Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Duta Besar Indonesia ke Malaysia Datuk Hermono pada pukul 10.15 pagi tadi.
Sebaik tiba, beliau melintasi barisan kawalan kehormatan statik oleh 28 pegawai serta anggota daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (1 RAMD) yang diketuai Kapten Raja Azri Syahir.
Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan, lawatan ini merupakan kunjungan kerja pertama Prabowo ke Malaysia sejak beliau dilantik sebagai Presiden pada Oktober 2024.
“Lawatan itu mencerminkan hubungan istimewa antara kedua-dua negara yang ditunjangi oleh kerjasama kukuh dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, sosio-budaya, pertahanan dan keselamatan,” jelas Wisma Putra.
Prabowo dijadualkan mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta makan tengah hari secara tertutup.
“Kedua-dua pemimpin akan membincangkan kerjasama dua hala, selain meneroka potensi kerjasama baharu bagi memperkukuh hubungan kedua-dua negara,” ujar kenyataan itu.
Dengan Malaysia mengambil alih peranan sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, kedua-dua pemimpin dijangka akan bertukar pandangan mengenai usaha memperkukuh Pembinaan Komuniti ASEAN, kerjasama serantau serta menangani cabaran global. -airtimes.my
#semasa #Malaysia #Indonesia #lawatan #airtimes #anwar #prabowo