Home Diskusi Disebalik penemuan UUV di Filipina dan Indonesia

Disebalik penemuan UUV di Filipina dan Indonesia

by Suraya Aziz

Penemuan kenderaan bawah air tanpa pemandu (UUV) di perairan bukanlah perkara baharu. Namun, kemunculannya setelah sekian lama sejak kali terakhir ia dikesan berhampiran perairan negara jiran Malaysia adalah membimbangkan.

Lebih-lebih lagi, ia dijumpai ketika pertindihan tuntutan antara China, Filipina, Brunei, Indonesia, Malaysia dan Vietnam ke atas Laut China Selatan yang semakin tegang.

Baru-baru ini, kerajaan Filipina mendakwa sekumpulan nelayan tempatan berjaya menemukan sebuah Kenderaan Dalam Air Tanpa Pemandu (UUV) di perairan San Pascual, Masbate, yang disyaki milik China.

UUV berwarna kuning yang bertanda “HY-119” dan “HY-L0119” pada badannya itu, walau bagaimanapun telah diserahkan kepada Polis Negara Filipina (PNP) dan Tentera Laut Filipina untuk siasatan lanjut.

Penemuan kenderaan bawah air tanpa pemandu (UUV) di perairan San Pascual, Filipina (Foto: FB Polis Negara Filipina (PNP))

Penemuan yang diumumkan secara terbuka minggu lalu ini mengingatkan kepada UUV jenis sea wing serupa yang ditemukan oleh nelayan Indonesia berhampiran Pulau Selayar di Sulawesi Selatan pada tahun 2020.

Manakala, 3 lagi UUV asing berjaya dijumpai di perairan Bangka (2019), Kepulauan Riau (2019) dan Masalembu (2020).

Kesemua kenderaan bawah air tanpa pemandu ini difahamkan turut dilengkapi sistem navigasi dan komunikasi canggih, seperti antena serta sensor visual yang mampu menjalankan operasi pemantauan dan pemetaan dasar laut.

Walaupun tidak bersenjata, potensi penggunaannya untuk tujuan ketenteraan telah menimbulkan kebimbangan di kalangan negara serantau.

UUV berwarna kuning yang bertanda “HY-119” dan “HY-L0119” ini dilengkapi lensa kamera dan antena. (FB: Polis Negara Filipina (PNP))

Jika diteroka semula fungsi utama kenderaan tanpa pemandu ini adalah untuk meninjau dan meneroka dasar laut.

Dalam konteks pertikaian di Laut China Selatan, UUV dipercayai digunakan untuk mengenal pasti kawasan strategik seperti lokasi persembunyian kapal selam, selain mengumpul data untuk tujuan perisikan, pengawasan, perolehan sasaran dan peninjauan (ISTAR).

Kehadiran UUV ini, lebih-lebih lagi di kawasan yang menjadi tumpuan tuntutan bertindih, membayangkan usaha pemetaan strategik yang berpotensi memberi kelebihan dalam aspek ketenteraan.

Adakah UUV pernah dilaporkan di perairan Malaysia?

Setakat ini, tiada laporan rasmi mengenai penemuan UUV asing di perairan Malaysia. Namun, ketiadaan laporan tersebut tidak semestinya bermaksud tiada kehadiran UUV di kawasan ini.

Mungkin sahaja insiden seperti ini tidak dihebahkan secara meluas atas faktor diplomasi atau keperluan siasatan lanjut yang lebih teliti.

Taburan kapal tinjauan daripada pelbagai negara di perairan Indo-Pasifik pada April 2020 (Foto: Asia Maritime Transparency Initiative of CSIS)

Umum mengetahui, Malaysia turut terlibat dalam tuntutan bertindih di Laut China Selatan. Maka ianya berpotensi menjadi lokasi operasi pemantauan dan perisikan oleh pelbagai pihak.

Sama seperti Filipina, China menuntut kira-kira 90 peratus daripada Laut China Selatan sebagai wilayah maritimnya melalui konsep nine dash-line meskipun tuntutan ini sudah ditolak oleh tribunal antarabangsa.

Namun, tindakan China ke atas negara berkenaan adalah lebih agresif memandangkan negara berkenaan bersikap lebih vokal.

Untuk rekod, Filipina telah mengemukakan kes terhadap China di Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa (Permanent Court of Arbitration) pada 2013 dan keputusan pada 2016 memihak kepada Filipina.

Keputusan ini sudah tentunya tidak dipersetujui Beijing. Malah, baru-baru ini, kapal pengawal pantai China mula bertindak agresif terhadap kapal peronda Filipina, termasuk insiden penggunaan meriam air dan pelanggaran kapal.

Dengan perairan yang strategik dan bersempadan dengan laluan perdagangan utama, tidak mustahil kehadiran UUV asing juga boleh berlaku di perairan Malaysia .-airtimes.my

#KeselamatanDanPertahanan #UUV #Maritim #Pencerohohan

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?