Permulaan dalam melangkah tahun baharu 2025, dengan menjalani kehidupan yang serba mencabar dan semakin kompleks ini, sudah pastinya menjadi satu lembaran baru buat seseorang untuk terus berdaya seiring dengan peralihan semasa. Perubahan dari semasa ke semasa pastinya menjadi faktor utama yang mendorong peningkatan kualiti serta kemajuan dalam pembangunan sesebuah negara.
Begitu pun, dalam mendepani persaingan dengan beberapa negara luar, khususnya penggunaan teknologi yang memberi banyak manfaat, ia mendorong kepada kemunculan perkara-perkara baru dan lebih berguna untuk masa depan. Kini, teknologi dilihat sebagai salah satu medium utama dalam kehidupan yang serba canggih dan moden ini.
Penggunaan teknologi sedikit sebanyak telah mempermudahkan dan melancarkan pengurusan bahkan menjadi perantara dalam perhubungan seseorang individu mahupun sebagai satu saluran pelbagai maklumat semasa yang berguna.
Namun, walaupun penggunaan teknologi media sosial yang meliputi banyak manfaat pada hari ini, ia juga tidak terlepas daripada kelemahan dan keburukan jika digunakan secara berlebihan atau ke arah yang tidak berfaedah. Lebih-lebih lagi, media sebuah lubuk informasi yang bercampur dan mampu diakses dari pelbagai sumber tanpa sebarang tapisan .
Dengan itu, Kerajaan telah bertindak mewujudkan Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang mula dikuatkuasakan bermula 1 Januari 2025 baru-baru ini. Perkara itu diumumkan oleh Kementerian Komunikasi dan Digital Malaysia (MCMC) pada 27 Julai tahun 2024 yang lalu. Menerusi langkah ini, kesemua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet yang digunakan oleh sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara ini, perlu membuat permohonan lesen tersebut.
Berikutan, kebelakangan ini terdapat beberapa kandungan yang menyentuh sensitiviti berkenaan unsur kaum, agama, raja (3R) yang dicetuskan oleh individu tidak bertanggungjawab. Adapun, isu 3R ini seringkali dijadikan bahan bagi menarik sokongan dalam hal politik dan kian dimainkan sehingga terdapat cubaan menggugatkan kedudukannya demi kepentingan dalam menjayakan manifesto.
Justeru, terdapat sebilangan individu turut menyentuh isu ini dengan membangkitkan kontroversi serta menimbulkan kebimbangan orang ramai, khususnya berkenaan agama serta kaum. Hal ini sering terjadi bilamana hadirnya ketidakpuasan dan ketidaksefahaman atau anti terhadap sesuatu kaum dan agama. Secara tidak langsung, ini telah melanggar garis perpaduan yang menjejaskan keharmonian negara, terdiri dari pelbagai kaum.
Selain itu, ada yang menjadikan media sosial sebagai salah satu tempat untuk ‘memancing‘ mangsa dengan cara penipuan (jenayah siber), ugutan dalam mendapatkan sejumlah wang atau keuntungan untuk peribadi, bahkan ada juga yang menggunakannya untuk menyebarkan fitnah, hasutan, kebencian dan buli siber.
Hal ini, sesetengah daripada mereka beranggapan teknologi dan media adalah sebuah platform yang boleh digunakan secara bebas dan ruang untuk mereka melontarkan pandangan tanpa mengambil kira impak buruk dari perilaku tersebut, malah menganggap memberikan keuntungan kepada mereka biarpun ianya melangkaui batas dan menyentuh sensitiviti.
Perkara tersebut sekaligus telah mencemarkan perpaduan rakyat yang seharusnya berada dalam lingkungan harmoni dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain. Maka, dengan adanya pelesenan ini dapat mengawal dan melindungi kesejahteraan agar tidak sewenang-wenangnya menyampaikan informasi berbentuk sensitif, ancaman serta kemarahan rakyat.
Dalam pada itu, Pakar Teknologi Maklumat Dr T. Sashi Kumar memaklumkan pelesenan tersebut membolehkan penyedia perkhidmatan beroperasi dengan lebih tanggungjawab dalam mengawal kandungan berunsur negatif bahkan bagi mengelakkan kegiatan buli siber daripada terus berleluasa.
“Negara sememangnya perlu mempunyai satu kuasa dominan dalam memastikan platform media sosial akur dengan peraturan kerana ia bukan bertentangan dengan hak asasi, kerana banyak negara maju turut melakukan perkara sama dalam melindungi pengguna media sosial dan demi menjamin keselamatan negara termasuk menjaga ketamadunan perilaku sosial atau identiti negara terus terpelihara,” katanya
Seterusnya, langkah pelesenan ini bagi memudahkan pengalihan keluar kandungan yang menyalahi undang-undang secara lebih cepat dengan mengesan kandungan tidak sewajarnya dengan menapis segala kandungan sebelum dimuatnaik ke laman sesawang mahupun aplikasi media sosial yang digunakan oleh individu dari pelbagai peringkat usia.
Akan tetapi, perkara yang menarik perhatian ini, ada yang berpandangan mengenai implikasinya terhadap kebebasan bersuara dan penggunaannya di mana selepas ini perlu lebih berwaspada dalam memuat naik sebarang informasi. Maka, Kerajaan menetapkan dan menegaskan langkah berkenaan diambil lebih semata demi keselamatan negara dan tidak mengekang hak kebebasan bersuara.
Bagaimanapun, menurut MCMC, pendekatan penguatkuasaan yang selaras keputusan Jemaah Menteri adalah bagi mengekang peningkatan kes jenayah siber, termasuk penipuan dalam talian, buli siber dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak serta mengawal penyebaran kandungan sensitif yang mengaitkan unsur kaum, agama, raja (3R).
Ini sekaligus bagi mewujudkan ketenteraman, persekitaran maya yang selamat dan selesa untuk digunakan oleh semua pengguna dan menanamkan rasa tanggungjawab dan beradab dalam diri pengguna. Dalam masa sama bagi memastikan keseimbangan antara kebebasan bersuara dengan keselamatan rakyat dan negara. -airtimes.my
#AirTimes #MCM #Pelesenan #Mediasosial #Malaysia