Apa menarik dan istimewanya dengan pakaian seragam tentera?
Pakaian seragam adalah simbol kehormatan dan tradisi, semangat kesatuan dan moral, kecemerlangan serta kebanggaan peribadi.
Ia mencerminkan ketertiban dan disiplin. Manakala lambang dan lencana pada pakaian seragam termasuklah aksesori mempunyai makna serta pengertian tersendiri walaupun cuma sebutir butang.
Lencana pangkat misalnya bukan semata-mata membezakan peringkat atasan dan bawahan, tetapi melambangkan kuasa, perintah dan pemerintahan yang dicetuskan semasa perang.
Sebab itu lencana pangkat pada pakaian seragam tentera tidak wajar sewenang-wenangnya ditiru pihak lain kerana ia mempunyai pengertian semasa peperangan dan bukan untuk melaram.
Justeru, seseorang hanya layak mengenakan pakaian seragam khususnya baju tentera atau pasukan keselamatan lain setelah menyertainya.
Tindakan pihak tertentu memakai pakaian seragam menyerupai pasukan keselamatan bukan baru, malah pelakuan sama akan sentiasa berlaku.
Terbaru, polis Selangor menyiasat beberapa individu sebuah pertubuhan berpakaian rasmi menyerupai pakaian istiadat pasukan keselamatan negara di sebuah majlis.
Ia dikesan melalui rakaman video tular di aplikasi TikTok jam 2.30 petang pada Jumaat.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 140 Kanun Keseksaan atau Seksyen 50(3) Akta Pertubuhan 1966 atau Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia (AKMM).
Jika sabit kesalahan Seksyen 140 Kanun Keseksaan, boleh dipenjara sehingga tiga bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Tular rakaman video di aplikasi TikTok memaparkan beberapa individu sebuah pertubuhan berpakaian rasmi menyerupai pakaian istiadat pasukan keselamatan negara di sebuah majlis pada Jumaat.
Bagi sabit kesalahan di bawah Seksyen 50(3) Akta Pertubuhan 1966 boleh dipenjara tidak lebih tiga bulan atau denda tidak lebih RM3,000
Video tular tersebut juga boleh mendatangkan kekeliruan kepada orang ramai yang menganggap perbuatan tersebut bukan satu kesalahan.
Dalam rakaman video tersebut juga boleh dilihat kebanyakan yang hadir mengenakan pakaian istiadat dengan pelbagai lencana pangkat setara pegawai kanan termasuk jeneral.
Sama ada mereka ini ahli pertubuhan berdaftar atau tidak, namun mengikut peruntukan undang-undang sedia ada pemakaian apa jua pakaian seragam yang menyerupai tentera atau polis tidak dibenarkan.
Sepatutnya tiada mana-mana pertubuhan boleh memakai atau mengenakan pakaian seragam dan aksesori seolah-olah menggambarkan mereka daripada pasukan beruniform.
Insiden paling menggemparkan tentang pemakaian seragam ala tentera ini oleh pertubuhan pula pernah berlaku 22 tahun lalu.
Pada yang masih ingat, polis pernah menumpaskan kegiatan sebuah pertubuhan haram, Pasukan Khas Persekutuan Malaysia (PKPM) yang mengenakan pakaian seragam menyerupai tentera.
Insiden pada tahun 2003 terbongkar apabila polis menangkap tiga lelaki di sebuah hotel di Taman Maluri, Kuala Lumpur sedang menjalankan temuduga merekrut ahli baharu.
Ketuanya, Nor Azami Ahmad Ghazali, 35 tahun, berpangkat Jeneral dalam PKPM selain turut mendakwa dirinya bakal perdana menteri Malaysia keenam.
PKPM adalah sebuah pertubuhan haram kerana tidak pernah mendapat kelulusan pihak berkuasa.
Pertubuhan itu dikatakan didaftarkan atas nama PKPM Services Bhd pada 8 Mei 2003 bagi menjalankan aktiviti perniagaan.
Sebaliknya menawarkan pelbagai jenis pangkat tentera seperti Leftenan Muda pada harga RM8,000, Leftenan (RM16,000) dan Kapten (RM25,000), kepada orang ramai.
Pada Ogos 2014 pula, berlaku kontroversi setelah polis menahan 154 anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS) Pulau Pinang, juga sebuah pertubuhan haram yang tidak berdaftar.
PPS yang menjalankan kawalan dan rondaan walaupun secara sukarela tetapi menggunakan lencana pangkat yang menyerupai pegawai kanan polis dalam kalangan ahlinya.
Paling sensasi ialah pelakuan seorang artis yang mengenakan pakaian istiadat dengan aksesori caca marba dalam satu majlis perkahwinan pada Disember 2012 sehingga mendapat teguran Kementerian Pertahanan pada waktu itu.
Dia mengenakan baju, seluar dan topi Polis Diraja Malaysia manakala lencana pada bahunya adalah lambang mejar jeneral Tentera Darat.
Lencana penerbangan di bahu kanan pula menggambarkan seseorang itu adalah anggota tentera udara.
Pakaian istiadat yang dikenakan tidak mencerminkan anggota beruniform di negara ini kerana ia tidak selari dengan imej pasukan berkenaan.
Dalam hal ini, perhatian juga harus diberi kepada sesetengah pihak berkuasa tempatan yang mengenakan pakaian seragam dengan corak celoreng menyerupai pasukan tentera.
Mempunyai anggota atau pegawai daripada bekas pasukan tentera atau polis tidak bermakna sesebuah entiti boleh dengan mudah meniru cara pemakaian dengan bersandarkan pada arahan pegawai berkuasa dalaman sahaja.
Kita tidak mahu etika pemakaian seragam menyerupai tentera atau polis ini lama-kelamaan menjadi satu kelaziman termasuk oleh entiti kerajaan sendiri.
Sekiranya tidak digazetkan, lambat laun kemegahan pada pakaian seragam tentera dan polis yang menjadi lambang kebanggaan akan menjadi tidak bermakna.
Isu ini mungkin menjadi sensitif pada sesetengah pihak untuk dibincangkan tetapi mahu atau tidak, ia perlu diberikan perhatian.-airtimes.my
#airtimes #pakaianseragam #tentera #pertubuhan #Malaysia #semasa