Home Semasa Pencarian MH370: Kerajaan sedia beri kerjasama jika ada hasil positif

Pencarian MH370: Kerajaan sedia beri kerjasama jika ada hasil positif

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 26 Dis – Kerajaan Malaysia sedia memberikan kerjasama penuh dalam usaha pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 sekiranya pencarian tersebut membuahkan hasil yang positif.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, walaupun tragedi kehilangan MH370 telah berlalu lebih sedekad, banyak persoalan yang masih belum terjawab.

Namun, kerajaan perlu mengimbangi antara usaha mencari pesawat tersebut dan memastikan perbelanjaan wang rakyat digunakan secara berhemah dan berkesan.

“Selepas lebih sedekad pesawat Malaysia Airlines MH370 hilang dari radar,  masih banyak persoalan dan misteri belum lagi terungkai,

Pandangan saya, kerajaan perlu mengimbangi keperluan mencari MH370, tetapi pada masa sama memastikan nilai terbaik dalam membelanjakan wang rakyat,” katanya dalam hantaran di Facebook pad Rabu.

Beliau juga menegaskan bahawa bukan hanya keluarga mangsa yang terlibat, tetapi seluruh rakyat Malaysia berhak mendapatkan jawapan kepada persoalan yang masih belum terungkai sejak kehilangan pesawat itu pada 8 Mac 2014.

“Kerajaan akan memberikan kerjasama sepenuhnya jika pencarian berjaya membuahkan hasil yang dinanti-nantikan selama ini,” tambahnya.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dilaporkan berkata, jemaah menteri pada 13 Disember lepas secara prinsip menerima tawaran syarikat robotik marin Ocean Infinity untuk meneruskan operasi pencarian bangkai pesawat MH370.

Beliau berkata, operasi pencarian di dasar laut akan tertumpu di satu lokasi baru yang dianggarkan berkeluasan 15,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi dan ia berdasarkan prinsip ‘no find, no fee’, iaitu kerajaan tidak perlu mengeluarkan sebarang bayaran sekiranya bangkai pesawat tersebut tidak ditemukan.

Tragedi MH370 yang melibatkan kehilangan 239 penumpang dan anak kapal hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China pada 8 Mac 2014.-airtimes.my

#Malaysia #MH370 #airtimes #Anwar #DSAI #tragedi

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?