KUALA LUMPUR, 26 Dis – Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah tampil mempertahankan integriti dalam pengiraan pencen veteran ATM susulan tohmahan dan fitnah yang dilemparkan terhadap Ketua Pengarah JHEV serta warga jabatan.
Isu ini timbul daripada tindakan dua pertubuhan tidak berdaftar di bawah Akta Veteran 2012, iaitu Persatuan Pembela Pejuang Malaysia (PPPM) dan Pertubuhan Suara Patriotik Rakyat Malaysia (PSPRM).
Menurut kenyataan JHEV, kedua-dua pertubuhan ini tidak memiliki status sah untuk melaksanakan aktiviti berkaitan isu veteran, termasuk pelarasan pencen dan formula kiraannya.
“Bagaimanapun, Ketua PPPM, Leftenan Komander Rafique Ali Ahmad Nordin (B), telah menyeru veteran ATM untuk berhimpun bagi membantah pengiraan pencen yang didakwa bercanggah dengan Perintah Pencen Angkatan Tentera (PPAT) 1982, tanpa membuat permohonan rasmi kepada JHEV.
“Mana-mana veteran ATM yang gagal hadir perhimpunan akan dianggap sebagai bersetuju dengan tiada tunggakan pelarasan pencen yang hendak dituntut dari Kerajaan kelak, dimana kesannya akan merugikan keluarga veteran tersebut masing-masing,
“Di samping itu, beliau turut menyatakan hasrat untuk mendapatkan penjelasan KP JHEV ATM semasa sesi perjumpaan meliputi perbezaan tuntutan bekas pesara hakim dan pesara awam yang telah menerima pampasan untuk dijawab oleh KP JHEV ATM,” jelas JHEV ATM dalam kenyataan.
Menurut JHEV, dalam pertemuan yang berlangsung pada 20 Disember 2024, Ketua Pengarah JHEV memberikan penjelasan mengenai formula pengiraan pencen bagi tahun 2024.
“Namun, formula ini tidak dipersetujui oleh wakil pertubuhan tersebut, yang terus mendesak agar formula pengiraan mereka diterima.
“Cadangan untuk mengadakan pertemuan kedua pada 23 Disember 2024 juga telah ditolak oleh Ketua Pengarah JHEV atas alasan pertubuhan berkenaan tidak mendapat kebenaran rasmi daripada pihak berkuasa,” ujar kenyataan itu.
Isnin lepas, media tempatan dilaporkan berkata, kira-kira 30 orang veteran tentera hadir ke JHEV Kuala Lumpur bagi mendapatkan penjelasan berhubung kiraan pencen susulan pelaksanaan SSPA.
Seorang veteran yang hadir, Rafique Ali Ahmad Nordin, 65, mendakwa kebanyakan bekas tentera tidak menerima kenaikan 8% seperti dinyatakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin
Fitnah dan buli siber
JHEV turut mengecam tindakan pertubuhan-pertubuhan ini yang menggunakan platform media sosial untuk menyebarkan tohmahan dan kenyataan berbaur fitnah terhadap Ketua Pengarah dan warga JHEV.
Menurut kenyataan itu, laman Facebook khas telah diwujudkan untuk menimbulkan kemarahan dan kebencian terhadap JHEV secara berterusan.
Sehubungan itu, JHEV ATM telah mengambil beberapa langkah bagi menjaga nama baik jabatan dan kebajikan warganya termasuk akan membuat aduan rasmi kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) serta Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD).
Selain itu, JHEV ATM turut akan meneliti tindakan undang-undang di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 terhadap individu atau kumpulan yang terlibat.
Dalam masa yang sama, JHEV turut menegaskan bahawa mana-mana veteran ATM yang memerlukan penjelasan boleh menggunakan saluran rasmi jabatan, termasuk kalkulator pencen yang telah dimuat naik ke portal rasmi JHEV.
“Jabatan juga bersedia untuk sesi libat urus dengan persatuan-persatuan veteran yang sah bagi memastikan kebajikan veteran ATM terus terpelihara,” jelas kenyataan itu lagi.
Sehubungan itu, JHEV menyeru semua pihak untuk tidak terpengaruh dengan tohmahan yang dilemparkan dan menggunakan saluran yang betul sekiranya terdapat sebarang kekeliruan atau tuntutan.
Jelasnya, jabatan ini komited untuk menjaga kebajikan Veteran ATM dan memastikan integriti perkhidmatannya terus dipelihara.-airtimes.my
#pertahanan #veteranATM #JHEVATM #airtimes #Mindef