KUALA LUMPUR, 19 Dis – Pendekatan mengeluarkan nota bantahan sebagai satu kaedah dalam menyelesaikan isu pertikaian melibatkan tuntutan di Laut China Selatan tidak mencukupi.
Sebaliknya, Timbalan Menteri Luar, Mohamad Alamin berkata, perbincangan dua hala antara pihak yang terlibat perlu diperhebat untuk mencapai penyelesaian yang lebih baik.
“Saya setuju bukan hanya perlu nota bantahan, tetapi mekanisme lain seperti perbincangan antara dua pihak, proses rundingan antara dua pihak juga perlu diperhebat supaya kita boleh bincang secara ‘adik beradik’ untuk menyelesaikan dan menjernihkan isu tertentu,
“Pendekatan kita harus ‘soft power, soft skill’ dalam urusan yang dilihat begitu kontroversi, jangan sampai ada isu menimbulkan ketegangan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.
Beliau berkata demikian susulan pandangan bekas menteri luar, Senator Anifah Aman pada sesi itu yang menyatakan pendekatan mengeluarkan nota bantahan bukan penyelesaian terhadap isu pertikaian tuntutan di perairan Laut China Selatan kerana ia sekadar untuk rekod pihak berkenaan.
Jelasnya, isu tersebut perlu ditangani dengan kaedah perbincangan hubungan dua hala.
“Tiada yang lebih penting daripada hubungan dua hala. Saya berhubung melalui telefon dengan kebanyakan, jika tidak semua, menteri ASEAN,
“Kalau ada sedikit masalah, kita telefon terlebih dahulu sebelum isu tersebut dibawa ke media atau dikeluarkan secara umum. Yang penting, saya ingin tekankan bahawa kita tidak boleh menyelesaikan masalah hanya dengan nota bantahan,
“Pergilah ketuk pintu dan katakan, bolehkah kita duduk dan berbincang. Supaya ini tidak menjadi masalah yang besar,” katanya.
Terdahulu, menjawab soalan tambahan Senator Datuk Bobbey Suan mengenai implikasi tindakan Filipina yang meluluskan akta baharu menyentuh soal tuntutan terhadap Sabah dan peta melanggar sempadan maritim negeri itu, Mohamad berkata kerajaan tidak berkompromi berhubung isu itu malah telah menghantar nota bantahan mengenainya.
Tegasnya, Sabah merupakan sebuah negeri yang menyertai Malaysia pada 1963 dan telah melaksanakan hak mereka untuk bersama-sama di dalam persekutuan berkenaan, melalui pengiktirafan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
“Jadi Filipina tidak ada hak untuk mengatakan bahawa Sabah itu adalah milik mereka dan dalam konteks ini, setelah mendapat nasihat daripada semua agensi, Kementerian Luar telah menghantar nota bantahan kita terhadap Filipina bahawa akta-akta yang telah diluluskan itu, tidak selari dengan semangat undang-undang antarabangsa kerana melangkaui sempadan maritim kita,” ujarnya lagi. -airtimes.my
#airtimes #semasa #Malaysia #LautChinaSelatan
