Home Pertahanan dan KeselamatanESSCOM: Duta Korea iktiraf usaha jaga keselamatan pelancong di ESSZONE

ESSCOM: Duta Korea iktiraf usaha jaga keselamatan pelancong di ESSZONE

by Nurulhuda
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 19 Dis – Usaha Eastern Sabah Security Command  (ESSCOM) dalam memastikan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) sentiasa terpelihara dan terjamin mendapat pengiktirafan daripada Duta Besar Republik Korea, Yeo Seung Bae.

Seung Bae menzahirkan penghargaan kepada ESSCOM kerana berjaya memastikan keselamatan pelancong khususnya rakyat Republik Korea yang mengunjungi ESSZONE.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan kunjungan hormat ke ESSCOM, pada Selasa lalu.

Selain itu, beliau turut menyatakan rasa selesa dengan kunjungan ini yang disifatkan sebagai amat penting khususnya bagi mengetahui tahap keselamatan di ESSZONE.

“Ia dilakukan supaya maklumat yang tepat dapat disampaikan kepada warga kami agar lebih ramai pelancong dari Republik Korea datang berkunjung ke Malaysia amnya, dan Sabah khasnya,” katanya.

Sementara itu, Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Duta Besar Republik Korea dan delegasi yang sudi mengadakan kunjungan ke ESSCOM.

“Saya berharap melalui kunjungan ini dapat mengukuhkan lagi hubungan antara kedua belah pihak dan paling utama selaras dengan hasrat Kementerian Dalam Negeri melalui ESSCOM,

“Kita juga berharap kerajaan Republik Korea dapat memberi keutamaan menarik balik nasihat perjalanan dan menggalakkan rakyatnya untuk datang berkunjung ke pantai Timur Sabah,

“Mudah-mudahan selepas kunjungan ini statistik kemasukan pelancong dari Republik Korea akan menunjukkan peningkatan yang signifikan,” tambahnya lagi.

Terdahulu, Duta Besar Republik Korea dan delegasi telah diberikan taklimat mengenai tahap keselamatan dan kesejahteraan masyarakat yang telah semakin mengukuh di ESSZONE.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ESSCOM, Datuk Dr Jamaluddin Mohd Ali; Timbalan Komander ESSCOM, Brigadier Jeneral Mohamad Ismail Kamarudin; Ketua Staf dan Pengarah Awam ESSCOM serta pegawai-pegawai kanan ESSCOM dan Kedutaan Besar Republik Korea.-airtimes.my

#keselamatan #PDRM #KDN #ESSCOM #Sabah #Malaysia #Korea #airtimes

 

 

Related Articles

Leave a Reply