Home Semasa Kerajaan pertimbang peruntukan tambahan, bina semula rumah mangsa banjir – Anwar

Kerajaan pertimbang peruntukan tambahan, bina semula rumah mangsa banjir – Anwar

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 3 Dis – Kerajaan berhasrat untuk mempertimbangkan peruntukan tambahan bagi membantu mangsa banjir, terutamanya mereka yang mengalami kerosakan teruk pada kediaman mereka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan dalam jumlah yang munasabah akan diberi perhatian secara menyeluruh melibatkan mangsa di negeri-negeri terlibat.

“Yang saya pantau termasuk petang semalam, bantuan segera bagi mengatasi kerosakan-kerosakan yang telah dikenal pasti mencecah hampir RM1 bilion, keutamaan itu tentulah untuk memperbaiki sekolah, hospital jalan-jalan asas itu memang diberikan keutamaan segera, selain dari ganti rugi akibat bencana banjir,

“Saya setuju dengan Tumpat (Ahli Parlimen), kalau rumah musnah sepenuhnya, maka kerajaan harus beri pertimbangan untuk bagi ganti rugi yang agak munasabah agar dia boleh bina semula,

“Saya tak boleh beri jumlah secara spesifik di mana setakat ini peruntukan segera hanya RM1 bilion. Kita masih tunggu maklumat secara teliti keseluruhannya,

“Sekarang nampak reda (banjir) sedikit di Kelantan, Terengganu, tapi sudah membara di Pahang dan unjurkan di Johor akan juga terkesan…jadi kita akan lihat keseluruhannya,” katanya ketika waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat di sini, pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan daripada Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) berkenaan jumlah bantuan akan diberikan kepada penduduk yang rumahnya tenggelam sepenuhnya dalam kejadian banjir yang sedang melanda.

Dalam pada itu, Perdana Menteri memberi jaminan bahawa bantuan segera melibatkan keperluan asas mangsa seperti makanan dan minuman, serta pembaikan jalan-jalan rosak, akan diberi keutamaan.

“Tapi saya bagi jaminan yang segera, seperti makan minum mereka, keperluan asas, membaiki jalan-jalan rosak itu perlu diberikan keutamaan,

“Soal menaikkan taraf jalan negeri ke Persekutuan, saya tunggu laporan KKR (Kementerian Kerja Raya) dan Petra (Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air) untuk lihat semula,” ujarnya lagi.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan tambahan segera sebanyak RM50 juta akan disalurkan kepada Kelantan dan Terengganu di mana masing-masing menerima RM25 juta.

Beliau menegaskan bahawa peruntukan tambahan itu akan digunakan untuk membaik pulih sekolah-sekolah, pusat pemindahan sementara (PPS), serta infrastruktur lain yang rosak akibat banjir, dengan tindakan susulan dijangka bermula pertengahan bulan ini. airtimes.my

#banjir #Malaysia #bantuan #Anwar #airtimes #semasa

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!