Home Pertahanan dan Keselamatan Dakwaan trak ATM tergelincir semasa bawa calon SPM tidak benar

Dakwaan trak ATM tergelincir semasa bawa calon SPM tidak benar

by Suraya Aziz

KELANTAN, 03 DISEMBER 2024 – Dakwaan yang tular di media sosial sejak kelmarin mengenai sebuah trak 7 tan milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang tergelincir semasa operasi membawa calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Rantau Panjang disahkan tidak benar.

Menurut kenyataan Markas 2 Divisyen Infantri, kejadian trak tergelincir itu berlaku semasa Op Murni, namun kenderaan tersebut hanya dinaiki oleh anggota tentera yang sedang melaksanakan tugas bantuan banjir.

Truk ATM dipandu anggota mahir diatur gerak bagi membawa orang awam termasuk pelbagai keperluan di kawasan terjejas banjir (Foto:BERNAMA)

“Operasi khas ini telah berjaya dilaksanakan dengan jaya tanpa berlaku sebarang kemalangan yang tidak diingini kepada semua pelajar sekolah. Trak berkenaan telah tergelincir semasa melalui jalan raya yang ditenggelami air,” menurut kenyataan berkenaan.

Difahamkan, kejadian ini berlaku akibat arus deras di kawasan Kalbot Lima, namun trak tersebut berjaya dikeluarkan tanpa sebarang kerosakan serius dan sudah kembali beroperasi sepenuhnya. 

ATM memberi jaminan bahawa keselamatan semua pihak yang dipindahkan, sentiasa menjadi keutamaan.

 

Anggota ATM membantu memindahkan calon Sijil SPM yang terjejas banjir ke kawasan yang lebih selamat bagi memudahkan pelajar menduduki peperiksaan (Foto: BERNAMA)

Tiada calon SPM tercicir, kemudahan terbaik disediakan

Mengulas lanjut, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, turut mengesahkan bahawa proses pemindahan calon SPM di kawasan terjejas banjir di seluruh negara selesai sepenuhnya tanpa sebarang calon tercicir.

“Alhamdulillah, semua calon SPM kita berjaya dipindahkan ke tempat selamat dengan bantuan pelbagai agensi. Mereka ditempatkan di asrama dengan kemudahan terbaik seperti buku, akses internet, dan komputer untuk persediaan menghadapi peperiksaan,” katanya pada Isnin.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada agensi yang terlibat termasuk ATM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang telah bertungkus lumus memastikan keselamatan calon.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mencetuskan kekeliruan, terutama semasa operasi penyelamatan sedang dijalankan. -airtimes.my

#PertahananDanKeselamatan #Banjir #CalonSPM #Kelantan #ATM

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!